Main Masak-Masak di Dapur Bonda
8:16 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Masih lagi cerita di kampung laman. Kami tidaklah jalan jauh sehingga ke rumah Abang Farid di Tronoh, Perak atau ke tempat Fuad di Desaru, Johor. Hanya berputar-putar di sekitar Puncak Alam atau Kuala Selangor sahaja. Wak Aton datang ajak jalan pun kita tak ikut sebab hendak simpan tenaga bermusafir pada hari Jumaat nanti. Ke Puncak Alam pun hanya untuk membeli barang dapur dan juga mendobi pakaian. Selebihnya hanya duduk di rumah, bersihkan sekitar rumah Bonda.
Sedih jugalah melihat segala tanaman mati sebab banjir melanda dan tanah bergenang air selama dua minggu. Pokok pisang, serai dan lain-lain musnah. Bonda kata pokok cempedak nangka yang Encik Suami tanam pun mati. Yang sedihnya, kata Bonda pokok itu sudah besar, subur dan mula berputik. Tak apalah. In syaa Allah ada rezeki nanti boleh tanam lagi. Tak sempat pula melihat tanaman lain seperti pokok petai, pokok limau, jambu dan lain-lain. Pokok pisang pun banyak yang mati!
Itulah antara kesan pembangunan di Puncak Alam. Kampung kami bukan sahaja dipenuhi dengan monyet, tetapi apabila hujan, banjir turut melanda! Bonda selalu berkata : Dulu tidak pernah berlaku banjir tetapi sejak Puncak Alam dibuka, tempiasnya sampai ke kampung kami!
Okey, cerita tentang masak-masak pula. Wak Niah biasanya akan sediakan sarapan, tetapi pada hari ketiga Amie pula yang masuk dapur. Tiga hari lepas Wak Kanang hantar sebungkus mi kuning 500 gram. Katanya, dapat dari rumah orang kahwin. Bonda kata, orang sekarang macam-macamlah hadiah yang diberi untuk tetamu. Setakat ini yang Amie lihat di kampung kami ada door gift seperti kicap, sos, bihun, beras dan macam-macam lagi. Kali ini dapat mi kuning pula
Melihat mi kuning tidak diusik, Amie pun gorenglah untuk dijadikan sarapan. Goreng cucur udang dengan jagung juga.
| Cucur Udang dengan Jagung |
Sewaktu ke LOTUS Kuala Selangor, nampak udang saiz kecil sudah dibuang kulit. Nampak masih segar dan harganya pun murahlah pula, RM29.90. Belilah tak sampai sekilogram. Bolehlah separuh dibuat cucur udang campur jagung. Nenek dan Wak Niah baru makan beberapa ketul, Firdaus pula yang habiskan satu bekas... ahaks! Lama sungguh Amie tak buat cucur begini.Agaknya Firdaus rindu hendak makan.
Separuh isi udang Amie simpan untuk dibuat cucur lagi memandangkan Abang Farid akan sampai dari Tronoh pada hari Rabu malam Khamis. Bolehlah Abang Farid makan cucur air tangan kita.
| Mi Goreng Kerang |
Kita sempat juga jalan-jalan ke Pantai Remis kononnya hendak mencari telur ikan mayong. Belilah juga isi kerang dan isi lala. Isi kerang sempat dimasak bersama mi goreng, tapi lala tak sempat dibuat jemput-jemput.
| Asam Pedas Telur Ikan Mayong |
Pada mulanya hendak telur mayong ini Amie hendak masak asam pedas. Mentarang pula Amie hendak masak lemak cili padi. Entah macamana, berubah fikiran pula. Apabila melihat banyak perencah asam pedas yang ditumis, terfikir pula untuk dibahagi dua. Maka, jadilah Asam Pedam Ikan Mayong dan Asam Pedas Mentarang.
Sebenarnya malas hendak sediakan bahan untuk masak lemak cili padi... ahaks!
Isi mentarang pun tak banyak walaupun beli dua kilogram. Sewaktu Amie rebus mentarang, Bonda dan Wak Niah ambil dan makan dengan air asam. Dari dulu memang kami hanya rebus dan cecah air asam sahaja untuk menikmatinya.
| Asam Pedas Mentarang |
| Cucur Udang dengan Jagung |
Alhamdulillah. Dapat buat cucur udang dengan jagung sekali lagi pada pagi Khamis. kali ini Firdaus dengan Abang Farid pula yang berebut makan. Siapa tak suka cucur udang campur jagung? Kalau ikutkan selera, kita pun nak berebut makan juga.... ahaks!
2 comments
Best ssmua makanan tu kak Amie..asam pedas mentarang...wah..first time nampak..mesti sedap jugak tu...sayangnya banyak tanaman musnah akibat banjir
BalasPadamseperti selalu, masakan kak amie mmg sedap dan mengoda terutama telur ikan mayong. lama tak makan
BalasPadam