Gado-Gado
9:07 PTG
Hari ini Encik Suami cuti sempena Pesta Kaamatan. Esok pun cuti lagi. Yuhuuuu! Amie pun ada teman untuk bersembang di rumah sepanjang dua hari ini. Masa pun banyak terluang sebab Encik Suami bantu bersihkan rumah. Kami sempat keluar berbelanja ke pasaraya dan juga pasar basah. Alhamdulillah, hasrat hati nak buat gado-gado untuk juadah berbuka tertunai juga.
Gado-gado sangat terkenal di Lahad Datu, (umum mengetahui asal Gado-Gado dari negara jiran, Indonesia) begitu juga di Tawau dan daerah lain di Sabah. Pada mulanya Amie sangka pecal, rupa-rupanya bukan! Ada beza pecal dengan gado-gado! Pecal yang biasa kita makan, kuahnya tak perlu dimasak. Hanya dibancuh dengan air panas dan sudah semestinya ada aroma kencur atau cekur! Gado-gado pula, kuahnya perlu dimasak terlebih dahulu dan kacang tanah yang digunakan lebih halus berbanding kacang tanah yang digunakan dalam kuah pecal!
Boleh dikatakan Gado-Gado juga merupakan salah satu makanan kegemaran Encik Suami dan anak-anak. Selalunya ketika bulan puasa Encik Suami akan beli di pasar Ramadhan, tapi kali ini tidak pula. Agaknya malas nak bersesak-sesak di jalan raya.
Jom, kita lihat paparan resepi Gado-Gado di bawah ini. Untuk kuahnya, Amie tambahkan sedikit lada untuk 'merasa' kepedasannya sedikit. Selalunya kuah Gado-Gado terasa manisnya! Inilah yang seronoknya, kalau masak sendiri kita boleh olah ikut citarasa.
2 cawan kacang tanah - goreng dan buang kulit - kemudian kisar sehingga 'hampir' halus
1 sudu besar pati asam jawa
3 helai daun limau purut
1 batang serai - dititik
5 cawan air
1 cawan santan pekat
garam dan gula melaka secukup rasa
1/3 cawan minyak
Bahan kisar:
10 biji cili kering
1/2 cawan udang kering - rendam hingga lembut - toskan airnya
1 labu bawang besar
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar, daun limau purut dan serai dengan api sederhana sehingga pecah minyak.
2. Tuangkan air dan kacau sekali-sekala sehingga mendidih.
3. Kemudian masukkan kacang tanah.
4. Tambahkan gula melaka, dan pati asam jawa.
5. Tuangkan santan dan masak sehingga kuah menjadi pekat.
6. Taburkan garam secukupnya.
7. Kacau sekali lagi dan padamkan api dapur.
Sebaiknya kuah Gado-Gado disediakan beberapa jam lebih awal supaya rasanya mesra dan sebati sebagaimana kuah sate atau sambal nasi lemak!
Biasanya gado-gado dihidangkan bersama pelbaga jenis sayuran yang dicelur, dan kuah dituang panas ke atasnya. Terpulanglah dengan citarasa masing-masing untuk sediakan bahan sayuran. Walaupun kuantitinya sedikit tetapi bila disatukan, banyaklah pula jadinya! Jangan lupa hidangkan bersama keropok goreng!
Antara bahan untuk gado-gado yang Amie gunakan termasuklah :
kacang panjang
taugeh
lobak merah
timun
telur rebus
kangkung
nasi himpit / ketupat / lontong
kentang rebus
tauhu
keropok
keropok
Ini pula gado-gado yang biasa disediakan oleh keluarga sebelah Encik Suami. Selain bahan di atas, bahan wajib ada sudah tentunya mee! Bukan mee kuning basah tapi mee kuning kering yang perlu direbus terlebih dahulu! Dan satu perkara lagi, bahan tambahan lain yang tidak dilupakan oleh mereka ialah sambal kicap siap perah jus limau kasturi! Ha ha haaa.... kalau kami makan gado-gado yang dibeli, sudah tentunya kuahnya terasa manis begitu saja, tapi kalau makan bersama keluarga Encik Suami, hilang rasa manis kuah, timbul rasa pedas masam manis sambal kicap!
Apa pun, setiap resepi itu memiliki keunikannya yang tersendiri.
1 comments
Meleleh air liur
BalasPadam