ADSENSE

Sabtu, 27 September 2014

Ayam Masak Lemak Kencur

Tiba-tiba teringat ayam panggang disiram dengan kuah santan cili padi bubuh kencur! Aduhai... alangkah bertuahnya kalau dapat menikmatinya, dan tiba-tiba ada di depan mata! Mana mungkin! Pucuk dicita, ulam pun tak mahu datang ha ha haha... ayam panggang siram kuah santan bubuh kencur itu merupakan salah satu masakan istimewa di kampung kami, terutamanya jika ada kenduri. Jadi, kalau nak makan kenalah usaha sendiri. Malas nak panggang ayam, masak sajalah gunakan bahan yang sama tapi berbeza cara olahannya. Dan satu lagi, malas nak masak sayur, Amie tambahkan labu manis dalam masakan ini.

Alhamdulillah.... Fairuz kata sedap! Sangat sedap! Mungkin sebab dah kelaparan kot.... he heheh tapi ikut selera Amie memanglah sedap. Maklumlah dah biasa dengan aroma dan rasa kencur, jadi tak ada masalah. Kombinasi santan dengan cili padi serta isi kencur memang mampu mengundang selera untuk menambah dalam hidangan! Dan, dengan kehadiran labu manis turut menjadikan rasa masakan ini begitu unik, sebab timbul kemanisan yang asli pula!
Jom tengok resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
800 gram daging ayam - potong ikut suka
1 cawan labu manis yang dipotong dadu
200ml santan pekat
400ml santan cair
minyak
garam / perasa pilihan

Bahan tumbuk:
1 genggam cili padi hijau
kunyit hidup sebesar ibu jari
5 ketul isi kencur 
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah


Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan tumbuk hingga terbit bau.
2. Masukkan daging ayam dan gaul seketika dengan bahan tumis sehingga berubah warna atau daging ayam layu.
3. Tambahkan santan cair dan biarkan sehingga daging ayam masak atau empuk.
4. Masukkan labu manis dan masak sehingga empuk.
5. Kemudian masukkan santan pekat, diikuti garam / perasa pilihan.
6. Kacau sekali sekala supaya santan tidak pecah, dan padamkan api dapur setelah kuah mulai pekat.

1 ulasan:

rahel berkata...

Sampai sudah ke tawau aroma ayam masak kencur tu kak...berselera betul tengok bah...