ADSENSE

Khamis, 6 Mac 2014

Sotong & Udang Goreng Berempah

Minggu lepas Amie buat Udang Goreng Berempah tapi tak sempat kongsikan resepinya. Kelmarin petang Amie buat sekali lagi tapi dengan menggunakan sotong pula. Jadi, pagi ini harap-harap dapatlah Amie taipkan entri ini hingga ke noktah yang terakhir.


Jika anda berminat untuk mencubanya, Amie persilakan dengan segala senang hati sebab hasil resepi ini sudah tentu disukai ramai terutama anak-anak! Cadang Amie nak buat lauk makan nasi, tapi nampaknya habis diratah begitu saja oleh anak-anak & Encik Suami.



Banyak resepi dan cara untuk membuat sotong atau udang goreng berempah. Amie gunakan resepi sendiri dengan memasukkan serbuk ENO untuk merangupkan gorengan. Barangkali ada yang tidak pernah gunakan serbuk ENO, tapi sesekali mencuba apa salahnya. Amie gunakan serbuk ini setelah melihat kakak ipar gunakannya entah berapa tahun yang lalu! Tapi, untuk perencah dan rempah-rempahannya Amie gunakan kreativiti sendiri.

Resepi: Sotong & Udang Goreng Berempah
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 kg udang - bersihkan - buang kulit - tinggalkan ekor - belah belakang untuk buang urat - dan jika mahu gorengan udang menjadi panjang tidak melengkung bolehlah kelar-kelar sedikit di bawah perut udang
atau
1 kg sotong - bersihkan - buang kulit dan isi - jika ambil bahagian kepala pastikan matanya dibuang - tujuannya supaya tidak meletup semasa digoreng  - toskan hingga kering
1 cawan tepung gandum
3/4 cawan tepung jagung
10 helai daun kari - gunting halus
1 sudu teh serbuk kari
1 biji telur
1 sudu makan serbuk ENO
1/2 - 3/4 cawan air - 
garam / gula / perasa pilihan
minyak

Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 sudu teh ketumbar biji
1 sudu teh jintan manis biji
1 sudu teh jintan putih biji



Cara:
1. Campurkan tepung gandum dan tepung jagung.
2. Masukkan serbuk kari, daun kari, lada putih, serbuk ENO, garam & perasa pilihan, bahan kisar, telur dan air.
3. Gaul sebati dan biarkan selama 5-7 minit.
4. Panaskan minyak yang banyak untuk menggoreng terendam.
5. Celupkan sotong atau udang ke dalam adunan dan goreng hingga kekuningan.
6. Angkat dan toskan.
7. Enak dimakan begitu saja dengan sos pilihan.


Selamat mencuba!

3 ulasan:

myda_ahmad berkata...

.mmg betullah,sedap ratah gitu aje...

ummiross berkata...

kalau singgah blog Amie kan, mesti best!, rasa nak ratah semua udang2 tu, hihi..

Cik Wan berkata...

sedap sungguh nampaknya Amie...apatah lagi kalau ratah je..nyum..nyumm