ADSENSE

Jumaat, 13 Disember 2013

Hati Masak Semur (Hati Lembu Masak Kicap)

Berangan-angan nak makan nasi himpit dengan kuah sate daging... akhirnya kuah sate daging jadi Semur Hati! Ini cerita petang kelmarin punya. Ingatkan Amie rendam daging lembu, sebab beberapa hari lepas Encik Suami bawa pulang bungkusan.... katanya ada daging lembu, ekor lembu, ada hati lembu & jantung lembu. Dia masukkan dalam freezer. Amie pun dah tak tengok lagi sebab masa tu sibuk & letih sebab baru balik dari mesyuarat, kebetulan ada kenduri di rumah kakak ipar & adik ipar. 


Dah rendam daging lembu, Amie pun biarkan atas sinki sementara menunggu nasi himpit masak. Amie pun buatlah tugasan yang perlu diselesaikan di ruang tamu. Bila kembali semula ke dapur, benda yang Amie rendam rupanya hati lembu! Hilang ghaib segala bayangan kuah sate daging yang akan dicicah dengan nasi himpit! Amie renung-renung hati lembu sambil memikirkan apakah resepi masakan yang sesuai untuk mengolahnya. Tiba-tiba terbayang suasana raya di kampung, zaman kanak-kanak dulu... makan ketupat dengan Semur Ayam! Oh! Ayam... bukannya hati lembu!


Apa pun kalau resepi 'semur' yang diolah dengan sempurna, hasilnya memang sungguh menyelerakan! Memang Amie tak pernah jumpa (atau terlepas pandang), hidangan Semur Hati di hari raya, tetapi Amie tidak dapat melupakan Semur Hati yang dihidangkan dalam majlis kenduri kahwin di kampung! Setiap kali diadakan majlis perkahwinan di kampung kami, sekiranya tuan rumah sembelih lembu...  Semur Hati tidak dapat dipisahkan sebagai salah satu menu di antara lauk-pauk yang terhidang buat tetamu. Dan secara tiba-tiba, terbayang nostalgia masa lalu di majlis kahwin, orang kampung sibuk rewang membantu masak pelbagai hidangan. Dalam sibuk-sibuk menyediakan macam-macam menu, aroma 'semur' tetap semerbak ingin menandingi bau rendang daging & pajeri nanas atau masakan kari dan juga sup tulang! 


Resepi : Hati Masak Semur (Hati Lembu Masak Kicap)
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
600 gram hati lembu - potong dadu
3 biji kentang - kupas kulit dan potong baji (tak bubuh kentang pun tak apa)
6 sudu makan kicap pekat 
1 labu bawang besar - mayang kasar
3 biji lada hijau - hiris kasar
1 cawan air
1 sudu makan lada putih - tumbuk
garam & gula (jika perlu)

Rempah penumis:
1 batang kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih

Bahan tumbuk : 
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
2 cm halia
1 sudu makan biji ketumbar
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh jintan manis

Cara:
1. Gaul hati lembu dengan sedikit garam dan serbuk kunyit. Ketepikan.
2. Goreng kentang hingga masak dan ketepikan.
3. Panaskan sedikit minyak. Tumis semua bahan tumbuk bersama rempah penumis hingga wangi. Masukkan hirisan bawang besar dan biarkan seketika.
4. Masukkan hati lembu dan gaul rata sehingga hati lembu berubah warna.
5. Masukkan kicap dan air dan tutup kuali. Biarkan sehingga hati lembu masak dan  kuah menjadi pekat.
6. Masukkan lada putih dan gaul sebati.
7. Perasakan dengan sedikit garam dan gula, tetapi sekiranya anda menggunakan kicap manis seperti Kicap Cap Kipas Udang (Habhals), tidak perlu masukkan garam dan gula kerana kicap ini sudah cukup rasa.
8. Setelah kuah kelihatan pekat seperti yang dikehendaki, barulah masukkan kentang goreng dan hirisan lada hijau. Gaul seketika dan segera padamkan api.


Jika anda ingin mencuba resepi ini, pastikan hasilnya.... dengan kuah kicap yang pekat, sedikit rasa manis dan sudah semestinya ada rasa lada putih! Jadi... jangan gunakan serbuk lada putih, sebaliknya gunakan lada putih yang ditumbuk sedikit kasar! Boleh juga gunakan lada hitam, tapi kami biasa gunakan lada putih yang ternyata lebih menyengat!



2 ulasan:

ummiross berkata...

Amie kalau masak apa pun memang best,tengok gambar pun dah berselera ni Amie.

Roha berkata...

salam amie..
hati masak semur..tak penah makan lagi masak semur ni..lebih kurang macam masak kicap ea amie ?

kalau makan hati berulam jantung selalu jugak hehe..:D