ADSENSE

Ahad, 13 November 2016

Sup Ayam Harum Kemangi

Hari minggu datang lagi. Suhu agak dingin, sebab hujan semalaman dan langit kelihatan mendung, dengan awan warna kelabu. Hmmmm.... masuk dapur jerang air, cincang daging ayam, bubuh hirisan halia, bawang besar, bawang putih, jagung, lobak merah dan betik mengkal. Biarkan merenih. Tak lama kemudian, aromanya semerbak sampai ke ruang tamu!

Bila ayam dah empuk, tambahkan perencah Maggi Cukup Rasa, lada putih tumbuk, campakkan beberapa tangkai daun kemangi dan hirisan leek. Terus padamkan api dapur. Hidangkan panas.... slurrppppp! Enaknya sup, kaya dengan pelbagai rasa dari manis jagung dan betik mengkal terus kepada harum aroma kemangi!

Bahan-bahan:
600 gram daging ayam - potong ikuit suka
400 gram betik mengkal / separuh masak - kupas kulit dan potong ikut suka
1 biji lobak merah - kupas kulit dan potong ikut suka
2 batang jagung - kerat 4
4 batang leek - potong ikut suka
5 tangkai daun kemangi - ambil bahagian yang berdaun
7 ulas bawang putih - pecahkan dan buang kulit
2 labu bawang besar - kupas dan belah 4
1 sudu kecil lada putih - tumbuk
serbuk Maggi Cukup Rasa secukupnya
2 liter air

Cara memasak:
1. Jerang air atas dapur.
2. Masukkan daging ayam, betik, lobak merah, jagung, bawang putih, dan bawang besar.
3. Masak sehingga mendidih dan kemudian perlahankan api dapur. Tutup periuk dan biarkan merenih sehingga kesemua bahan menjadi lembut dan empuk.
4. Buka penutup periuk. Tambahkan lada putih dan serbuk Maggi Cukup Rasa.
5. Akhir sekali tambahkan lekk dan juga daun kemangi. Padamkan api dapur, dan pada masa yang sama kacau masakan sekali dua.
6. Hidangkan panas.

P/S : Daun kemangi akan hilang aroma sekiranya dimasak lama. 

Tiada ulasan: