ADSENSE

Isnin, 19 Ogos 2019

Belulang @ Kulit Lembu Masak Lemak Cili Padi dengan Kencur

Lebih seminggu tak masuk dapur!
Balik Malaya jumpa Bonda dan sanak saudara.
Petang Sabtu 10 Ogos 2019 sampai kampung, sewa kereta dari KLIA.
Sepanjang bercuti tak jalan ke mana. Kakak sakit, dan dirawat di Hospital Sungai Buluh. 
Kami banyak habiskan masa menemani Bonda di rumah, ulang alik ke hospital dan menyelesaikan urusan keluarga.
Di pagi Aidil Adha, Bonda suruh Amie masak belulang @ kulit lembu. Bonda minta Amie masak lemak cili padi. Pagi itu, Amie goreng ayam... entah berapa ekor! Kak Ros sediakan pecal. Tidak lama kemudian datang kakak-kakak Amie, dan masing-masing membawa juadah dari rumah. Ada nasi himpit. Nasi briyani. Rendang ayam. Ayam masak merah. Sambal goreng. Sayur lodeh. Sambal kacang dan macam-macam lagi. 
Walaupun banyak lauk-pauk, Bonda tetap memilih belulang masak lemak cili padi!
Keesokan harinya, kakak bawa semangkuk belulang masak lemak putih dengan kencur. Sedap! Sangat sedap! Amie sempat cicipi dua sudu. Selebihnya, Bonda ratah seorang!
Cerita tentang belulang @ kulit lembu ini, sedari kecil memang kami tidak asing dengannya. Setiap kali ada kenduri kahwin di kampung kami yang sudah pastinya akan tumbang seekor atau dua ekor lembu, maka akan terpampanglah selembar kulit lembu diikat empat penjurunya menghala ke arah batang pokok getah. Memang nampak jelas kalau jalan-jalan sekitar kampung, sekiranya ada kulit lembu sedang dikeringkan. Sekurang-kurangnya 3 bulan tergantung, tuan kulit lembu akan mengolahnya. Keluarga kami pun tidak terkecuali mengolah kulit lembu, sembelihan lembu sewaktu meraikan perkahwinan kakak kami. Kulit lembu yang sudah kering akan dibakar sehingga hilang bulunya, dan kemudian direndam beberapa hari sehingga kembang berganda-ganda!
Baunya?
Memang ada aroma yang kurang menyenangkan, tetapi setelah dimasak dan menikmatinya hilanglah segala aromanya tadi...hiks! 
Itu cerita dulu.
Kita cerita belulang yang ada sekarang.

Oleh kerana tidak berkesempatan berjalan lebih jauh, jadi setiap petang kami mengunjungi mana-mana pasar malam yang berdekatan. Hari Sabtu malam Ahad jelajah pasar malam di Puncak Alam. Hari Isnin, ke pasar malam di Kuala Selangor. Petang Rabu, ke pasar malam Bukit Cheraka. Petang Khamis, kebetulan berada di Sungai Buluh, melihat-lihat pasar malam di Paya Jaras pula dan terakhir ke pasar malam di Kapar. Antara hasil yang diperolehi di pasar malam sudah tentunya belulang @ kulit lembu. Harganya pun lain-lain. Ada yang berharga RM20 sekilogram. Ada yang berharga RM15 sekilogram dan RM14 sekilogram. Beli sajalah mana yang berkenan di hati. Di LD bukannya ada belulang begini. 
Hari ini sempat masak lemak cili padi belulang dengan kencur!
Jom lihat resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
300 gram kulit lembu yang siap diproses - hiris ikut citarasa
1 cawan santan pekat
3 cawan santan cair
2 papan petai - ambil isinya
2 keping asam gelugur
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar / tumbuk:
30 biji cili padi kampung warna hijau
5 ketul isi cekur / kencur
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah

Cara memasak:
1. Masukkan kulit lembu, santan cair, asam keping dan bahan kisar ke dalam periuk. Masak dengan api sederhana sehingga kulit lembu menjadi lunak / empuk.
2. Kemudian masukkan petai, santan pekat, garam / gula / perasa pilihan.
3. Kacau beberapa kali sehingga kuah mendidih.
4. Padamkan api dapur.

Encik Suami bertanya, kenapa Amie tidak bubuh kunyit dan serai dalam masakan ini. Biasanya orang kampung kami tidak bubuh kunyit sama ada kunyit hidup atau kunyit serbuk dalam masakan lemak bersama cekur @ kencur. Apa yang Amie selalu perhatikan, semasa kenduri kendara, memang kuahnya berwarna putih. Hasilnya, aroma dan rasa cekur @ kencur dapat dinikmati sepenuhnya tanpa kehadiran kunyit atau serai. Heheeee.... kita pun sebenarnya lebih suka kuah putih kehijauan oleh warna cili padi hijau begini! Ada aromanya yang tersendiri!

6 ulasan:

Nasa Mulia berkata...

Sedap kakak yang ini, tapi klau pergi umah kenduri org jawa tak semua sediakan menu nie...

Warisan Petani berkata...

Sekarang kulit lembu dah tak terbuang.

norhidana berkata...

oooo dana ingatkan nape akak selalu biasa msk masakan jawa, rupanya akak asal jawa selangor yek... sedapnya kak kulit lembu masak kencur nih...
bau kencur tu alahai sedapnya... dana mmg paling suka masak lemak kencur nih

LiNa_Pg berkata...

Assalam kak amy...tersama pulak menu kita.Saya pun ada masak kulit lembu ni minggu lepas.Bercinta betul nak bersihkan belulang.Tapi gigih jugak sebab nak belajar punya pasal.Buat Masak Lemak Cili Padi Dan Sambal Tahun.Sambal Tahun tengah Q nak post kat blog....Pestaim makan Sambal Tahun...tersuka pulak.

عبده العمراوى berkata...



شركة تنظيف خزانات بالخبر
شركة تنظيف منازل بسيهات

inahar ali berkata...

Uishh tak pernah pun kitorang makan atau terjumpa menu belulang ni kt mana2 pun..baru pestime dgr ni amie..hihi