~Morocco (Casablanca - Marrakech - Rabat - Chefchaouen - Tangier - Fes)
Dari Casablanca ke Marrakech
Bismillahirrahmanirrahim.
Hujan renyai-renyai mengiringi Majorel Voyage meninggalkan kawasan Masjid Hassan II Casablanca menuju ke Marrakech.
Marrakesh atau Marrakech (dari bahasa Perancis), merupakan bandar keempat terbesar dalam negara Maghribi @ Morocco dan salah satu daripada empat bandar diraja kerajaan negara tersebut yang terletak di sebelah barat kaki Pergunungan Atlas, 580 kilometer jauh barat daya Tangier, 327 km barat daya ibu kota Rabat, 239 km jauh selatan Casablanca, dan 246 km jauh timur laut Agadir.
Pemandangan di kala senja ketika Majorel Voyage memasuki kota Marrakech. |
Kota ini diasaskan dalam kawasan orang Amazigh pada 1070 oleh Amir Abu Bakar ibn Umar sebagai kota pusat kerajaan Murabitun. Pembangunan kota ini diperkukuhkan dengan benteng kubu merah terkenalnya sehingga mendapat jolokan Kota Merah (ville ocre). Marrakech berkembang pesat sebagai pusat kebudayaan, keagamaan dan perdagangan untuk rantau Maghreb dan benua Afrika sehingga beralih kepada Fes. Ia kembali menjadi kota diraja yang dimakmurkan semula semasa zaman Kesultanan Saadiyah dari abad ke-16 serta menjadi tarikan utama sebagai tempat beberapa wali dan sarjana Islam yang terkenal di rantau utara Afrika.
Memandangkan cuaca mendung disertai dengan curahan hujan, tidaklah dapat Amie rakam pemandangan perjalanan dari Casablanca. Hanya sempat tangkap gambar ladang yang kebanyakannya masih kosong selepas digembur. Barangkali menunggu penghujung musim sejuk untuk ditanam semula. Sesekali kelihatan barisan pokok zaitun di kiri dan kanan jalan.
Pada pukul 3:30 petang, Majorel Voyage berhenti rehat di (RNR) L'escale : Istiraha Station Petrom Oum Rabii - Marrakech. Di sini kami ambil kesempatan menggunakan toilet di cafe tetapi kena faham-fahamlah, orang berbudi kita kena berbahasa. Sudah gunakan toilet secara percuma, balaslah dengan membeli makanan atau minuman di sini.... ahaks!
Ada pun toilet di sini juga sama seperti toilet di tempat lain. Tidak ada air untuk beristinjak melainkan kena bawa botol sendiri dan isi air dari sinki.
Stesen PETROM |
Cafe di sini kemas dan cantik. Makanannya pun banyak dan nampak menggoda terutamanya dessert yang pelbagai bentuk rupa. Sebahagian peserta masuk toilet, sebahagian lagi duduk di cafe sambil memesan minuman panas seperti coklat dan kopi.
Aroma minuman panas di sini sangat menggoda! Ditambah pula dengan suhu sejuk ketika ini, memang syiok bah duduk dan minum secawan coklat panas!
Untuk masuk toilet, kenalah berbaris menunggu giliran. Jadi, selepas qada' hajat bolehlah membeli biskut atau keropok dan barang keperluan lain di kedai dan minum di cafe sekiranya ada masa.
Untuk pertama kalinya Amie gunakan mata wang Moroccan Dirham di sini untuk membeli air mineral. Kami hanya dibekalkan sebotol air mineral 500ml sehari dan sudah tentu tidak mencukupi untuk keperluan tubuh. Jadi belilah sebotol air mineral jenama SIDI ALI di sini berharga 5 MD (Moroccan Dirham).
SIDI ALI 5 MD (Moroccan Dirham). |
Biskut & Air Mineral |
Terpikat pula dengan sebungkus biskut Gullon Diet Nature - Sugar Free. Belilah juga sebungkus dengan harga 17 Dirham. Boleh bayar guna mata wang EURO tetapi Amie gunakan mata wang dirham sahaja.
Ketika Majorel Voyage meninggalkan RNR L'Escale, sempat tangkap gambar taman permainan kanak-kanak di belakang RNR.
Gerimis masih mengiringi perjalanan kami menuju ke bandar Marrakech. Tangkap gambar jugalah sebagai kenang-kenangan walaupun hasilnya nampak kelam dan suram. Itulah gambaran sebenar yang sedang kami lalui.
Tanah ladang di kiri kanan jalan yang masih kosong dan belum ditanami.
Ketika Majorel Voyage menghampiri bandar Marrakech, kami melihat pemandangan yang berbeza terutama tumbuh-tumbuhannya. Banyak pokok palma di kawasan bandar.
Kota ini terletak di lembah Sungai Tensift yang melalui kawasan utara pinggir kota. Antara tarikan utama kota Marrakech ialah Lembah Ourika terletak 30 km dari selatan kota. Selain itu pemandangan yang menakjubkan boleh dilihat di gunung-ganang Atlas yang dilitupi salji terutamanya pada musim sejuk.
Seluruh kota ini dikelilingi tembok pertahanan warna merah kejinggaan diperbuat daripada campuran tanah liat dan batu kapur yang memanjang sejarak lebih dua belas kilometer setinggi 19 kaki (5.8 m) membentuk suatu kompleks perbentengah. Tembok ini mempunyai 20 buah gerbang pintu (bab) termasuk Bab Agnaou yang utama serta 200 buah menara pemerhati. Dalam kawasan kota lama juga terdapat sebanyak lapan buah gerbang pintu utama iaitu:
- Bab Doukkala
- Bab el-Khemis
- Bab ad-Debbagh
- Bab Aylan
- Bab Aghmat
- Bab er-Robb
- Bab el-Makhzen
- dan Bab el-'Arissa dibina zaman Murabitun.
Kekayaan bandar bersejarah ini dapat dilihat dari sejumlah besar istana dan mahligai serta taman kebun bunga yang tersergam indah di serata pelosok kota ini.
Istana El Badi |
Salah sebuah sstana yang paling terkenal sehingga ke hari ini ialah Istana El Badi dan Istana Bahia serta Istana Diraja utama sebagai salah satu persemayaman rasmi Raja Maghribi.
Kota Marrakech jug terkenal dengan rumah-rumah agama lama dan mempunyai pekarangan kebun dalaman terbuka bertembok tinggi atau riad yang bertujuan melindungi isi penghuni dan mengawal suhu sekitar bangunan. Kebanyakan riad ini dibina sejak zaman Kesultanan Saadiah sampailah ke abad ke-19 dan ke-20.
Hotel La Mamounia |
Sewaktu Majorel Voyage melalui memasuki kota Marrakech dan terpaksa menempuhi kesesakan jalan, Rachid banyak bercerita tentang hotel-hotel mewah di sini. Antaranya ialah Hotel La Mamounia yang sempat Amie rakam gambarnya yang kebetulan berada di sebelah kanan tempat duduk Amie. Harga penginapan di hotel ini mencecah 45 Ribu USD untuk sehari semalam sahaja. Ada lagi hotel lain yang lebih mewah yang sering dikunjungi oleh keluarga diraja Arab Saudi dengan harga 100 Ribu USD satu malam!
Kami dibawa menikmati makan malam di kota Marrakesh. Pada sebelah malamnya, dalam perjalanan menuju ke hotel kami dapat menyaksikan kesesakan jalan raya dan pasar! Oleh kerana hari tersebut merupakan hari Ahad, dan hari terakhir cuti sekolah jadi ibu bapa sibuk membeli persiapan untuk persekolahan anak-anak. Itu sebabnya mengapa kota Marrakech kelihatan sangat sesak dengan begitu ramai manusia. Itu kata Rachidlah... ahaks!
Kami hanya menyaksikan pemandangan dari dalam bas. Kata sebahagian peserta trip, keadaannya lebih sesak berbanding pemandangan di Petaling Street! Kalau di waktu senja kota Marrakech sudah mula dipenuhi dengan orang ramai, sebelah malam pula kesesakannya berganda-ganda.