ADSENSE

Ahad, 17 September 2017

Kuih Penjaram

Salam sayang buat semua pengunjung Amie's Little Kitchen.
Agak lama juga Amie tak kongsi resepi.
Nampaknya mood bercuti masih belum dapat dipisahkan...ahaks!
Dan agak kekok juga untuk siapkan entri resepi kali ini sebab semenjak dua menjak ini sudah terbiasa lepas masak terus makan!
Wokey...kita cerita tentang kuih penjaram. Kuih ini sering Amie temui di Lahad Datu, dan juga tempat-tempat lain di negeri Sabah. Enak dinikmati ketika masih panas. Opps!!! Janganlah makan sebaik keluar dari kuali! Kang melecur mulut tu....hiks!


Banyak kali juga Amie cuba buat kuih penjaram. Kalau di negeri lain namanya memang berbeza, tapi mungkin bahannya sama. Ada yang sebut nama cucur Jawa, ada yang kata topi Mexico! Cara penyediaannya pun mungkin agak sama, tapi mengikut pengamatan Amie, melalui beberapa pertanyaan dengan rakan-rakan dan mereka yang menjual kuih penjaram ini ada sedikit yang membezakannya. Ada yang kata kena peram semalaman. Ada juga kata biarkan saja selama 2 hingga 4 jam dan ada pula yang kata tak perap! Terus goreng! Ada yang gunakan gula merah. Ada yang suka campurkan gula melaka. Ada yang hanya bbuh gula putih sahaja, dan tidak kurang juga gunakan dua jenis gula!

Bahan-bahan:
2 cawan tepung beras
2 cawan tepung gandum
200 gram gula melaka - parut
3/4 cawan gula pasir - jika suka manis, boleh tambah
2 cawan air
secubit garam 
minyak untuk menggoreng

Cara:
1. Ayak tepung beras bersama tepung gandum.
2. Kemudian masukkan gula pasir, gula melaka, garam, air dan gaul rata.
3. Tapis adunan.
4. Biarkan lebih kurang 8 jam - biasanya Amie siapkan adunan sebelum tidur dan biarkan semalaman. Keesokan paginya barulah Amie goreng.
5. Panaskan lebih kurang 2/3 cawan minyak di dalam kuali melengkung saiz kecil.
6. Masukkan satu senduk adunan ke dalam kuali. (Jika suka saiz besar boleh gunakan senduk besar tapi tambahkan minyak. Jika suka yang kecil dan comel, gunakan senduk saiz yang agak kecil).
7. Ketika adunan sedang digoreng, kuih mula kelihatan seakan-akan obor-obor, dan keruping-keruping di bahagian tepinya terbentuk.
8. Setelah kelihatan sempurna, terbalikkan kuih, dan ia akan kelihatan seperti topi coklat keemasan..
9. Biarkan sebenta dan kemudian angkat kuih penjaram tadi, dan toskan.
 
Kalau suka, boleh kreativitikan kuih penjaram ini. Selain penggunaan gula merah untuk warnanya, boleh juga tambahkan pewarna pandan atau pandan emulco supaya warnanya menjadi hijau.



 

Tiada ulasan: