ADSENSE

Ahad, 19 Februari 2017

Cucur Badak

Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung setia Amie's Little Kitchen.
Petang ini Amie kongsikan sejenis kuih yang pelik! Aneh bin ajaib! Setelah sekian lama makan kuih ini, namun sehingga kini masih tidak dapat jawapan kenapa namanya Cucur Badak! Pelik kan? Rupanya comel jew...tak adalah hodoh! Apalagi rupa badak! Bayang badak pun tak ada! Intinya pula bukan main sedap, bukan juga inti badak! Tentu ada sebab kenapa namanya demikian. Apa pun, marilah kita minum petang bersama. Secawan teh panas kurang manis dengan sebiji kuih cucur badak, cukup tak?

Cucur Badak ni banyak versi! Ada yang bubuh udang, bertengge seekor di atasnya. Ada yang biar togel begitu saja. Ada versi Cucur Badak yang diperbuat daripada ubi keledek, dan ada juga yang diperbuat daripada pisang! Menarik dan unikkan? Yang versi pisang Amie belum pernah merasa dan teringin nak cuba buat jika ada kesempatan nanti.

Cucur Badak yang Amie hidangkan ini, janganlah pula disalah tafsir sebab Amie bubuh inti dalam mangkuk kecil! Sebenarnya intinya sudah ada dalam kuih, cuma saja letak lebihan inti dalam mangkuk. Amie ini kaaann... sifatnya begini : Kalau makan Cucur Badak, suka inti banyak!  Jadi sambil makan kuih tu, sambil cicah lagi inti yang ada! Sama macam makan pulut panggang! Nak inti lebih. Begitu juga dengan karipap! Makan intinya saja! Tepi-tepi karipap tu bagi kat kawan sebelah! Tu pasal kalau buat karipap, doh belum habis, inti sudah tinggal separuh! Ngap laju-laju masuk mulut dulu!

Jom lihat resepinya di bawah ini  Versi yang Amie buat ini versi inti di dalam bubuh udang basah. Selalunya udang basah tenggek kat luar, tapi Amie simpan di dalam...hiks!

Bahan untuk inti:
1/2 biji kelapa parut
1/2 cawan udang kering - rendam dan tumbuk kasar
5  biji cili kering - kisar
2  ulas bawang putih - kisar
3 biji bawang merah - kisar
2 batang serai  - hiris halus – kisar
1 sudu kecil serbuk kunyit
2 sudu besar minyak
Garam dan gula secukup rasa
15 ekor udang kertas – bersihkan – buang kulit, kepala dan ekor – potong  4
Cara:
1   1.   Panaskan minyak dan tumis semua bahan kisar termasuk udang kering sehingga pecah minyak.
2   2. Masukkan kelapa parut, gula dan garam.
3   3.  Apabila agak kering  masukkan udang basah dan gaul rata sehingga udang masak. Padamkan api dapur.

Bahan untuk doh:
500 gram ubi keledek oren
180 gram tepung  gandum
1 sudu besar tepung ubi

Cara:
K  1. Kupas ubi keledek dan rebus hingga empuk.
2   2.  Lenyek ubi keledek hingga hancur  dan gaul dengan tepung  gandum  serta tepung ubi hingga sebati dan jadikan doh.
3   3. Bulat-bulat doh mengikut saiz yang dikehendaki dan masukkan inti di tengahnya serta tutup kembali dengan sempurna.
4   4.  Goreng di dalam minyak yang banyak menggunakan api sederhana panas sehingga kuning keemasan.

 Buat inti waktu malam. Gambar pun tak berapa jelas, berbayang-bayang! 

Sebenarnya inti yang Amie buat ni banyak lebihnya. Jangan risau, lebihan itu boleh digunakan untuk cicah nasi pulut atau dibuat lauk makan nasi! 

 Kalau udang tu saiz kecil, tak perlulah dipotong.

 Kalau rajin, buatlah saiz kecil, nampak lebih comel. Amie tak berapa rajin. Nak cepat siap...hiks! Tapi bagi Amie dah cukup kecillah saiz tu! Bolehlah untuk 2 atau tiga kali gigitan orang dewasa. Kalau Firdaus gigit, mungkin 4 atau 5 kali juga tu!

Intinya pula, ikut kesesuaian saiz doh. Nanti isi lebih-lebih, doh semakin nipis, terburai pulak sewaktu digoreng!

Waktu menggoreng, gunakan minyak yang banyak dan goreng tenggelam. Api dapur pula hendaklah sederhana panas. Biar masak sekata. Dah kuning keemasan, bolehlah angkat dan toskan.

Cucur Badak dah siap!

Kuih tradisi sedap rasanya,
Pelik sungguh disebut namanya,
Leper bulat inti di dalamnya,
Cucuk Badak mana badaknya?

Tiada ulasan: