ADSENSE

Sabtu, 4 Februari 2017

Ayam Masak Sup dengan Betik

Apa khabar semua?
Kami sihat walafiat. Syukur ke hadrat Ilahi kerana masih diberi kesempatan untuk bernafas di muka bumi-Nya. Suhu di tempat kami hari ini sejuk saja, sekitar 24 "C. Mendung sepanjang hari. Sebentar tadi hujan. 
Sejuk-sejuk begini, elok benarlah minum sup panas. Untuk hidangan tengahari, selain ikan dan sambal, Amie tambahkan satu menu iaitu Ayam Masak Sup dengan Betik. Menu ini sudah banyak kali Amie ulang. Amie suka masak ayam dengan betik! Apalagi setelah ditambah dengan sedikit lada putih, bubuh setangkai dua daun kemangi! Waduh! Hirup dua mangkuklah jawabnya! Tapi kali ini Amie tak ada simpanan daun kemangi. Sup pun nampak togel saja, tanpa aksesori yang sepatutnya. Apa yang penting, khasiat sup itu yang Amie cari sebenarnya.

Bahan-bahan:
1/2 kg daging ayam - potong ikut suka
1/2 kg betil mengkal - kupas dan potong dadu
3 kuntum cendawan shiitake - bilas dan rendam hingga kembang - jangan buang air rendaman
1 labu bawang besar - belah 4
3 ulas bawang putih - ketuk
3 cm halia - ketuk
1 sudu kecil lada putih - tumbuk
2 liter air
garam / gula / perasa pilihan

Cara:
1. Jerang air di dalam periuk. Nyalakan api dapur.
2. Masukkan bawang besar, bawang putih dan halia, daging ayam serta betik dan juga cendawan shiitake. Masukkan sekali air rendaman cendawan tadi
3. Masak dengan api besar sehingga mendidih.
4. Setelah mendidih, tutup periuk dan perlahankan api dapur.
5. Renih sehingga daging empuk.
6. Perasakan dengan lada putih, garam / gula / perasa pilihan.
7. Hidangkan panas dengan taburan daun sup dan bawang goreng.

Amie biasa gunakan betik mengkal. Walaupun warnanya merah tetapi isinya masih keras. Pernah sekali Amie gunakan betik yang agak masak (semasa masak di kampung Bonda - tapi rasanya okey juga. Bonda suka sangat hirup kuah supnya!)

 Apa-apa jenis bawang besar pun boleh digunakan. Halianya pula, biasanya Amie suka gunakan halia muda, dan hiris nipis. Kali ini Amie ketuk saja halia tu.

Cendawan shiitake ini, tak perlu bubuh banyak. Cukuplah setakat dua atau tiga kuntum. Inilah yang membantu menaikkan aroma masakan sup! Bila dah kembang dalam mangkuk rendaman, belah dua atau belah empat jika saiznya besar. Katanya kalau kita selalu amalkan pengambilan cendawan shiitake dalam hidangan tahap kolesterol dalam darah boleh menurun sehingga 40-50%. Mengikut artikel yang Amie pernah baca, berdasarkan satu penyelidikan jika berterusan mengambil cendawan shiitake, ia juga boleh menyingkirkan lebihan lemak dalam badan.

 Nampaknya betik yang Amie gunakan ini sudah mula masak! Tak jadi masalah tu...masukkan saja dalam periuk, lebur bersama yang lain! Betik ini selain harganya yang murah dan mudah diperolehi, ia juga mempunyai pelbagai khasiat terutama dalam membantu proses pencernaan atau penghadaman dalam perut kita! Rasanya semua sudah tahu apa manfaatnya... selain sebagai ubat pelawas secara semula jadi, ia dikatakan juga menjadi ubat kepada masalah sembelit dan buasir! Yang lebih hebatnya, betik juga mampu mencegah terjadinya batu karang dalam pundi kencing!

Untuk daging ayam pula, terpulanglah nak gunakan bahagian mana. Ada yang suka kaki dan bahagian leher, dada, tulang dan juga peha. Kalau nak gunakan bahagian kaki dan leher pun okey, sebab lagi lama proses merenih, lagilah sedap hasilnya!

 Masak sekali harung dalam periuk!

 Gunakan api besar sehingga mendidih.
Pada masa ini jangan lupa ambil penutup periuk dan tutup periuk tu!

Dan perlahankan api ye. Amie suka renih lama-lama. Segala bahan jadi lembut, keluar semua patinya! Anak-anak suka hirup kuahnya pun dah kira okey sebab macam-macam khasiat yang terkandung di dalamnya!
Selalunya Amie masak sup ini dahulu, kemudian barulah masak nasi dan olah lauk yang lain. Amie biarkan sup merenih sementara menyiapkan masakan lain dan bila telah selesai semuanya, barulah Amie buka tutup periuk, perasakan dengan lada putih, garam dan sebagainya.
Kalau nak rasa sup lebih ringan, tak perlulah bubuh lada putih. Biarkan saja begitu, dan ia memang sesuai untuk kanak-kanak yang tak suka rasa pedas!


Inilah hasil kejadiannya.
Lupa bubuh bawang goreng.... hiks!

2 ulasan:

Phong Hong berkata...

Hmmm...menarik sekali, Amie! PH dok terfikir macam mana agaknya ada betik dalam sup.

Amie berkata...

PH,
he he heee....