ADSENSE

Khamis, 1 Disember 2016

Kacang Buncis Tumis Pedas Dengan Kerang

Selamat bertemu kembali setelah seminggu lamanya tak masuk dapur. Alhamdulillah setelah selesai urusan kerja, hari ini kita bersua lagi dengan masakan ringkas. Tengahari tadi Amie sempat hidangkan nasi berlauk ikan gelama goreng dan Kacang Buncis Tumis Pedas Dengan Kerang. Lima hari tinggalkan rumah, rupanya tak ada siapa yang masuk ke dapur! Sepi! Hanya Fuad dan Encik Suami sahaja yang ada di rumah. Fairuz masih di Kuala Lumpur dan esok akan kembali semula ke LD setelah mengikuti Jambori Pengakap Malayasia di sana.
Seronok sangat bila nampak kerang baru naik ke pasar, semasa meninjau-ninjau Pasar Ikan Tawau. Bukan senang nak dapat bekalan kerang terutama di LD, walaupun ada tapi jenis kerang yang berbeza dengan yang biasa kita dapat di Jeram, Selangor. Alhamdulillah, harga kerang juga masih murah berbanding di Jeram atau Sungai Buluh, Kuala Selangor. Selain pasar ikan, kami sempat singgah Pasar Tanjung, tempat segala macam jenis jualan termasuk sayur-sayuran, ikan kering, udang kering, buah-buahan, makanan ringan dan pelbagai lagi. Memang kalau dah sampai sini semua rasa nak beli sebab harganya lebih murah berbanding harga di LD! 
Wokey!
Jom kongsi resepi hasil dari Tawau, dari pasar ikan sehinggalah ke pasar sayur. Kacang buncis pun Amie beli di Tawau, sebab geram sangat dengan bentuknya yang kecil-kecil dan masih segar! Yang terlebih suka sebab kacang buncis yang masih muda dan manis!

Bahan-bahan:
20 batang kacang buncis - buang ekor dan pangkal - potong 2
1 cawan isi kerang
garam / gula secukup rasa
3 sudu besar minyak

Bahan kisar:
5 biji cili kering
10 biji cili padi
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
sudu besar udang kering - rendam hingga kembang dan toskan airnya - boleh gantikan dengan belacan

Cara memasak:
1. Panaskan minyak.
2. Tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
3. Masukkan kerang dan kacau rata.
4. Kemudian masukkan kacang buncis dan gaul sehingga kacang buncis berubah warna.
5. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
6. Padamkan api dapur.

Alhamdulillah, dapat juga makan kerang walaupun ketika mengopek tu.... 5 biji kerang dikopek, 4 biji masuk mulut, sebiji masuk mangkuk!

2 ulasan: