ADSENSE

Isnin, 5 Oktober 2015

Daging Tetel Masak Asam Pedas Seri Bayu

Selamat petang buat teman-teman pengunjung yang budiman.
Amie nak kongsikan resepi asam pedas yang Amie telah ubahsuai mengikut selera keluarga kami. Sebelum ini Amie pernah kongsikan resepi Asam Pedas Sabah DI SINI. Memandangkan masakan ini diterima baik oleh anak-anak dan Encik Suami, Amie cuba masak gunakan daging ayam pula. Pada masa itu kebetulan datang anak buah kami, dan nampaknya masakan tersebut habis licin! Pada hari yang lain, Amie masak cara yang sama tapi tak sempat nak tangkap gambar untuk dipaparkan di sini.

Kali ini Amie cuba gunakan daging pula. Ketika daging sedang direnih atas dapur, aromanya memang cukup menggamit selera! Tak sabar rasanya menunggu kepulangan anak-anak dan Encik Suami untuk makan bersama.

Sebagai sentuhan akhir sebelum memadamkan api dapur, Amie perahkan jus limau kapas dalam masakan asam pedas daging. Wadeeeehhh.... cara begini sebenarnya Amie terikut-ikut dengan MIL ketika masak asam pedas atau masak kari! MIL & FIL memang cukup berselera kalau ada lauk-pauk yang ada rasa masam-masam limau nipis.

Dulu sewaktu hayat MIL dan FIL masih ada, tak payah beli limau nipis sebab mereka ada sepohon yang rendang dan lebat berbuah. Besar-besar pula tu! Sayangnya setelah kedua-duanya kembali menyahut panggilan-Nya, pokok limau nipis pun menjadi kering dan layu dan terus mati. Di tempat kami susah nak dapat limau nipis. Yang banyak dijual di pasar atau pasaraya hanyalah limau kapas seperti di bawah ini.

Tak apalah... tak ada rotan akar pun berguna, tak ada limau nipis, limau kapas pun boleh diguna!
Jom kita lihat resepi Daging Masak Asam Pedas Seri Bayu seperti di bawah ini.

Bahan-bahan:
600 gram daging tetel - hiris nipis
2 sudu besar serbuk kari daging
2 tangkai pokok kesum
1 kuntum bunga kantan - belah 2 
3 biji kentang - kupas kulit dan belah 2
1 sudu teh pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
1 biji limau kapas - ambil jusnya
3 cawan air
4 sudu besar minyak
garam & gula / perasa pilihan secukupnya

Bahan kisar:
10 tangkai cili kering
1 helai daun kesum
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 labu bawang besar
2 cm halia
2 cm lengkuas
2 cm kunyit hidup
2 cm belacan
1 sudu kecil lada hitam

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar menggunakan api sederhana hingga pecah minyak.
2. Masukkan serbuk kari dan kacau sebati. Kemudian masukkan bancuhan pati asam jawa.
3. Setelah mendidih, masukkan daun kesum serta bunga kantan. 
4. Masukkan daging dan gaul sebati sehingga daging menjadi layu dan berubah warna.
5. Tambahkan air dan biarkan mendidih selama 10 minit.  Masukkan kentang. Kemudian perlahankan api dapur.
6. Masak daging sehingga empuk dan kuah menjadi pekat.
7. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
8. Tuangkan jus limau kapas / nipis dan kacau sekali dua.
9. Padamkan api dapur.
 
Alhamdulillah... tak rugi kalau kita suka mempelajari masakan orang lain, kemudian kita cuba sendiri mengikut citarasa dan selera. Kalau tak cuba, mana tahu sedap tidaknya... betul tak? Jom makan.
Bismillah...