ADSENSE

Isnin, 22 Ogos 2016

Allah Maha Besar! Allah Maha Agung!

Tidak tahu bagaimana untuk memulakan bicara dengan Bonda. 
Bonda kelihatan sangat tenang.
Di hati ini....
Barangkali bukan rezeki untuk bawa Bonda pergi umrah. Selama ini, sering berangan untuk membawa Bonda menjadi tetamu-Nya di tanah suci. Sejak adik Amin disahkan mempunyai masalah mental, Bonda amat sukar sekali untuk berenggang dengannya. Sejak 1994.... Bonda harungi hidup penuh airmata! Adik Amin satu-satunya anak lelaki Bonda, selain kami 7 beradik perempuan ( sebenarnya 8, tapi salah seorang kakak kami telah pergi menemui-Nya). Beberapa tahun kemudian, setelah puas berubat  di sana sini, demi keselamatan dan keadaan Bonda yang semakin uzur, kami sepakat menghantar adik Amin ke pusat penjagaan di Jalan Kebun. Untuk mengurangkan beban kos rawatan, penjagaan dan ubat-ubatannya, kami adik-beradik berkongsi semampunya.
Sedih pulak nak cerita.... tapi iktibar yang kami peroleh dari pengalaman ini ialah, hidup kita tidak semestinya indah sepanjang waktu. Ada kalanya, dalam tempoh sesaat... segalanya boleh berubah! Masih teringat betapa gembiranya Ayahanda dan Bonda menerima kehadiran adik Amin! Kami terlebih lagi sebab adik Amin satu-satunya anak lelaki dalam keluarga kami. Allah Yang Maha Agung, menitipkan kebahagiaan itu dengan dugaan! Dari seorang anak lelaki yang cergas, bijak dan berkarisma, akhirnya segalanya Dia ambil kembali pada usianya baru mencecah 17 tahun!
Terkenang kembali segala urusan umrah yang begitu dipermudahkan tanpa sebarang kesulitan! Untuk menceritakan satu persatu secara kronologi, agak mustahil sebab Amie pun lupa-lupa ingat. Apa yang terpahat dalam ingatan Amie ialah rasa sangat berpuas hati dengan khidmat ANDALUSIA TRAVEL & TOURS.
"Mak dah siapkan semua pakaian dalam beg," lebih kurang begitulah Bonda bersuara sambil menunjukkan beg besar berwarna biru, yang tertulis "PENYUCIAN JIWA DI TANAH SUCI".
Jadi... mak ikut umrah? Pertanyaan itu tersekat di celah kerongkong Amie. Tak mampu keluar.
"Ini semua ujian Allah," sambung Bonda.
"Sudah berpuluh tahun adik begitu.... tapi mengapa Allah pilih hari ini untuk semua itu?"
Ya... hati ini menyahut. Kenapa malam tadi tiba-tiba adik Amin koma. Tiba-tiba masuk ICU dan tiba-tiba dikatakan nazak.
"Sebab Allah nak uji hati kita. Nak uji iman hamba-Nya," ujar Bonda lagi.
Terasa ingin menangis kuat-kuat! Tapi air mata kutahan... tahan air mata agar jangan sampai keluar!
Di situ, jawapan sebenar sudah Bonda berikan.
"Mak dah bincang dengan semua. Dengan anak-anak mak, dengan cucu dan menantu."
"Apa yang dibincang mak?" Tak sabar rasanya tunggu Bonda habiskan cerita.
"Semua sepakat minta mak teruskan ke sana.... ke kiblat. Urusan di sini urusan mereka. Urusan mak dengan Allah, didahulukan."
Ingin rasanya menyahut begini : Tak apa mak. Tak ada rezeki kali ini, mungkin waktu lain masih ada kesempatan. Adik kritikal. Tapi tak juga terkeluar. Peti suara seakan terkunci!
Bukankah Bonda terlalu sayangkan adik Amin! Di saat begini, mengapa Bonda begitu tenang  dan yakin sekali dengan keputusan yang disuarakan sebentar tadi.
Ya Allah. 

Pagi, sebelum berangkat ke KLIA pada 31 Mei 2014 bersamaan pada hari Sabtu.

Pagi itu rasa syahdu sangat. Rasa lemah longlai menuruni anak tangga. Terlihat airmata Bonda menitik satu-satu menuruni telekungnya. Tidak putus-putus sanak saudara dan jiran tetangga berpesan pada Bonda, agar kuat semangat dan bersabar di atas musibah yang menimpa.

Kami dijadualkan terbang ke Makkah (Jeddah Airport)  pada pukul 3 petang. Alhamdulillah, di KLIA tidaklah sukar untuk menemui ahli rombongan yang lain. Sekali lagi Amie sangat berterima kasih kepada petugas  Andalusia Travel dan Tours kerana sentiasa menghubungi / menelefon Amie dari semasa ke semasa. 
Ketika kaki melangkah ke dewan pelepasan antarabangsa, kerana sebentar lagi akan menaiki pesawat Saudi Airlines,  tiba-tiba Kak Ros mengejar kami dari belakang dan berteriak memanggil Bonda! Panggilan telefon dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah diterima!
Kak Ju telefon. (Kak Ju sekeluarga berkampung di HTAR selama adik Amin dirawat di ICU).
Kami berdebar-debar menunggu apakah berita yang disampaikan oleh Kak Ju. Kami semua menumpukan seluruh perhatian ketika Bonda sedang berbicara dengan Kak Ju menerusi telefon.
Adik Amin dah sedar!
Adik Amin dah bangun!
Adik Amin dah bangun dari koma!
Adik Amin tanya : Mak dah pergi umrah ke?

Ehsan : Google

Apa yang mampu kami ucapkan selain menyebut nama-Mu ya Allah! Engkau Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih! Engkau Maha Pengampun!
Engkau Maha Besar ya Allah!
Engkau Maha Agung ya Allah!
Ya Allah!
Ya Allah! Ya Rahman!
Ya Allah! Ya Rahim!

7 ulasan:

wmm chevy berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
wmm chevy berkata...

Allah Maha Agung, Maha mengetahui.

Warisan Petani berkata...

Maha besar Allah.
Itulah ketentuanNya.
Semoga adik Amin sudah sembuh sekarang.

Faizah Syakira berkata...

Allahuakbar.
Semuanya Allah sudah aturkan yang terbaik buat akak sekeluarga.
Jangan sedih ye kak.
InsyaAllah. semoga adik Amin sembuh seperti sediakala. Aminnn

Kin Aziz berkata...

Subhanallah...

Kakzakie Purvit berkata...

Allahuakbar! entah kenapa airmata kakak pula bergenang
Kakak ingatkan dia pergi buat selamanya tapi sebaliknya berita indah - subhanallah.

yasmin ahmad jana berkata...

Allahuakbar..hebatnya kuasa Allah