ADSENSE

Ahad, 7 Mei 2017

Pegedil Kentang

Tiba-tiba teringat pegedil kentang yang Amie pernah makan di KFC, Surabaya, Indonesia pada tahun lepas! Saiznya yang besar memang mengenyangkan! Jadi, pagi ini cuba merajinkan diri mengolah kentang untuk dijadikan pegedil, sekaligus untuk sarapan pagi!


 Dah siap! Jemput sarapan.

Inilah pegedil kentang KFC Surabaya yang Amie katakan tadi. Gemukkan? Seketul berharga 5 rupiah. Kami beli di Jambatan Merah Plaza.

Sedap!
Selalunya Amie buat pegedil untuk makan dengan soto, dan sudah tentunya bersaiz kecil. Kali ini, bila Amie buat saiz besar, sekajap saja dah siap! 1 kg kentang, Amie dapat 6 ketul pegedil!

Bahan-bahan:
1 kg kentang - kupas kulit dan potong wedges / ikut bentuk yang disukai - goreng hingga masak - toskan
3 batang daun sup - hiris halus
3 ulas bawang putih - goreng
5 biji bawang merah - goreng
1/2 sudu kecil lada putih - tumbuk
garam / perasa pilihan secukupnya
sebiji telur 
minyak

Cara:
1. Tumbuk atau lenyek kentang goreng hingga hancur.
2.  Ramas bawang putih dan bawang merah goreng hingga hancur. Kalau suka rasanya menyerlah, ramas kasar-kasar saja.
3. Masukkan kentang ke dalam mangkuk, tambahkan bawang goreng, daun sup, lada putih dan garam / perasa pilihan. Gaul rata hingga sebati.
4. Ambil segenggam penuh dan bulatkan. Kemudian leperkan menjadi bentuk pegedil. Jika suka saiz kecil, buatlah kecil-kecil...hiks!
5. Pcahkan telur dan pukul ringan.
6. Panaskan minyak.
7. Celup pegedil ke dalam telur dan goreng hingga perang keemasan.
8. Angkat dan toskan.



 Selamat mencuba!
Pegedil saiz besar begini elok juga dibuat bekalan ke tempat kerja!

1 kg kentang dapat 6 ketul pegedil saiz besar!

Tiada ulasan: