ADSENSE

Sabtu, 12 April 2014

Mee Hoon (Rice Stick) Goreng Udang

Sejak Firdaus sudah mula pandai merayap ke segenap penjuru rumah, apalagi sekarang ni dah pandai berjalan... nampaknya sangat terhadlah masa Amie untuk berlama-lama di dapur seperti dulu. Tapi, syukurlah walaupun dah menerjah ke segala sudut ruang tamu dan ruang mini library, pergerakan Firdaus masih terbatas. Firdaus belum sampai ke dapur kecuali kalau dibawa oleh Fairuz, Fuad atau Encik Suami. Kakak ipar yang jaga Firdaus kata budak kecik tu asyik buka pintu peti sejuknya dan pandai keluarkan makanan dari dalamnya. Dah tu pulak... selongkar pinggan mangkuk dalam almarinya!

Memang Amie akui semua itu... sebab di rumah pun Firdaus paling suka keluarkan satu persatu pakaian yang sudah dilipat ( ketika Amie letakkan dalam bakul sebelum di bawa ke tingkat atas untuk disusun dalam almari pakaian). Bila sunyi sepi maknanya adalah benda yang dibuatnya.... seperti sekarang ini ketika Amie taip entri, Firdaus senyap-senyap bongkar susunan buku di bahagian rak bawah.


Wokeeeyy... cerita tentang main masak-masak pulak laaa... Amie sempat buat Mee Hoon (Rice Stick) Goreng Udang. Amie suka yang pedas tapi memandangkan Firdaus pun dah suka makan apa yang kita makan, jadi Amie gantikan dengan sos tomato dan bubuh sedikit sos cili. Itu pun Firdaus makan jugak tanpa hiraukan pedasnya.... tak rasa pedas pun sebenarnya pada tekak kita. Jadi, kenalah sediakan sambal kicap untuk rasa lebih pedas dalam hidangan sendiri.

Resepi : Mee Hoon (Rice Stick) Goreng Udang

Bahan-bahan:
1 bungkus mee hoon jenis kasar  (rice stick) - rendam dengan air sejuk hingga kembang - toskan
1 cawan udang kertas yang telah dibuang kulit
1/2 cawan hirisan lobak merah
1 biji cili hijau - hiris
1 sudu makan sos tiram
1 sudu makan kicap manis
3 sudu makan sos tomato
1 sudu makan sos cili
1 sudu makan perencah MAGGI Cukup Rasa
minyak

Bahan tumbuk:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 genggam udang kering - rendam hingga kembang

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan goreng bahan kisar hingga wangi.
2. Masukkan udang dan lobak merah.
3. Bila udang bertukar warna, masukkan hirisan lada hijau dan semua jenis sos.
4. Masukkan mee hoon dan gaul sebati.
5. Tambahkan perencah MAGGI Cukup Rasa. Gaul sekali lagi.
6. Padamkan api dapur, dan angkat Mee Hoon Goreng Udang untuk dihidangkan.



Jom... kita nikmati sepiring Mee Hoon Goreng Udang dengan secawan milo panas di tepi tingkap dapur sambil menghirup udara pagi dan pancaran matahari untuk dapatkan Vitamin D.

1 ulasan:

nasa mulia berkata...

kalau makan bihun ada udang, asyik dan korek cari udang jer..hehehe