ADSENSE

Jumaat, 8 Jun 2018

Nasi Goreng Pedas Berapi & Sup Campur

Cerita kelmarin.
Entri tertunggak.
Malam itu rasa sangat letih. Telefon tertinggal di tingkat bawah.
Hanya mengharapakan Fuad mengejutkan kami bangun sahur.
Entah berapa kali terjaga tapi belum lagi ada aroma masakan yang menerjah masuk ke bilik seperti malam-malam sebelumnya.
Dan, memang tak tahu pukul berapa. Tidak pula tergerak untuk membangunkan Encik Suami.
Tiba-tiba pintu bilik diketuk.
"Baba... Baba... minta maaf. Saya tak terjaga. Sekarang sudah pukul 3.49 pagi. Saya tak sempat masak." Cemas sungguh suara Fuad.
"Kenapa tak terus masak saja?" ujar Encik Suami. Fuad turun semula.
"Minum air sajalah. Atau makan apa yang ada untuk alas perut," Amie sarankan kepada Encik Suami.
Encik Suami keluar dari bilik, dan terdengar suaranya : Fuad! Fuad.... tak payah masak!
Kun Fayakun. 
Benda nak jadi, maka jadilah.
Belum sempat Encik Suami sampai ke dapur, Fuad sudah mencuci beras!
Hurrrmmm... lain kali, janganlah harap-mengharap! Itulah, nak jadi cerita gara-gara tertinggal telefon, jadi bila terjaga tak tahu sudah pukul berapa! Sebelum ini pun tak ada siapa yang kejutkan Fuad atau Fairuz untuk sediakan sahur. Mereka bangun sendiri.

Nasi yang sudah dimasak tidaklah menjadi bubur....hiks! Cuma tak dapat kejar waktu imsak pada pukul 4.22 pagi!
Sebaliknya nasi yang tidak sempat dijamah itu, Encik Suami cadangkan untuk dibuat nasi goreng, buat buka puasa.

Hidangan berbuka puasa kami yang rngkas: Nasi Goreng Pedas Berapi & Sup Campur.

Resepi : Nasi Goreng Pedas Berapi
Bahan-bahan:
4 cawan nasi putih
1/2 cawan lobak merah cincang
1 cawan kacang panjang hiris
1 labu bawang besar - cincang
3 sudu besar kicap pedas
1 sudu besar perencah cukup rasa 
3 sudu besar minyak

Bahan tumbuk:
20 biji cili padi
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
1 sudu kecil belacan
1/2 cawan ikan bilis 

Cara:
1. Panaskan minyak dan goreng bawang besar cincang hingga kuning keemasa.
2. Masukkan bahan tumbuk dan tumis hingga wangi.
3. Kemudian masukkan lobak merah dan kacang panjang. Goreng kacau seketika.
4. Masukkan nasi putih, dan kicap pedas.
5. Tambahkan perencah cukup rasa dan gaul rata.
6. Padamkan api dapur.

Resepi : Sup Campur
Bahan-bahan:
12 biji fish ball
2 batang tauhu lembut - potong 5
1 batang jagung manis - potong 6 bahagian
1/2 biji betik mengkal saiz kecil - kupas kulit -buang biji - potong ikut suka
3 biji kentang saiz sederhana - kupas kulit - belah 2
1 labu bawang besar - belah 4
3 ulas bawang putih - pecahkan
2 cm halia - hiris halus
1 sudu kecil lada putih - tumbuk
1.5 liter air
garam / gula / perasa pilihan

Cara:
1. Jerang air di dalam periuk.
2. Masukkan semua bahan kecuali tauhu lembut, lada putih dan bahan perasa.
3. Setelah mendidih 10 minit, perlahan api dapur.
4. Biarkan sup merenih sehingga kentang dan betik lembut.
5. Masukkan tauhu lembut, garam / perasa pilihan dan lada putih.
6. Kacau beberapa kali, tutup periuk dan padamkan api dapur.


Teringat cili hijau goreng semasa di Turki.... sedap rupanya digoreng begitu saja! Kita pun goreng juga walaupun nasi goreng dah pedas, tapi cili hijau goreng tak pedas. Sedap tau! Tambahan menu, goreng juga telur...hiks! Tak lengkap rasanya nasi goreng tanpa telur goreng....ngeeee!


Dulu tak pandai makan karipap inti mee hoon!
Ada karipap inti mee hoon putih, ada inti mee hoon berkicap.
Bila nak makan, tuangkan air lada di dalam karipap.
Kata Fuad, karipap inti mee hoon ini namanya pastil!

 Tak pasti pula, pastil ini hakciptanya dari mana.
Dengarnya dari masyarakat Bajau. 

Dan satu lagi, tak tinggal!
Otak-otak!
Dah malu sangat asyik borong otak-otak di tempat yang sama, sebab hanya satu tempat saja orang jual otak-otak!
Yang ini minta Encik Suami beli, dan kita pura-pura jalan ke tempat lain cari kuih he he heeee! Sebab apa asyik beli, hanya di bulan puasa saja jumpa otak-otak ni di LD!

Tiada ulasan: