ADSENSE

Selasa, 26 Jun 2018

Aidil Fitri 2018 : Hari Raya Pertama Bersama Keluarga di Bukit Hijau

Assalamualaikum dan salam sayang buat semua pengunjung setia Amie's Little Kitchen.
Alhamdulillah, dapat juga bersua kembali di alam maya setelah lebih seminggu balik kampung berhari raya bersama keluarga.
Bagaimana sambutan Aidil Fitri tahun ini di tempat anda?
Amie rasa seronok, tapi ada sedikit yang mengganggu keseronokan beraya...huhuuuu! Sakit gigi!
Kenapa dapat sakit gigi?
Apa lagi kalau bukan disebabkan langgar pantang makan terutama sepanjang Ramadhan ketika berbuka puasa! Ais dan makanan yang manis-manis itulah salah satu penyebab gigi jadi begini...hiks! Amie tak sedar, usia semakin bertambah! Kalsium pun semakin berkurangan, gigi pun dah mula mereput....ahaks! Akibatnya, sepanjang beraya di kampung, mood pun tak berapa ceria!
Apa pun, Aidil Fitri tetap disambut meriah!
Catatan ini Amie usahakan agar anak cucu cicit keturunan kami akan datang dapat membacanya, dan menelusuri serba sedikit susur galur keluarga agar silaturahim terus diperkukuhkan.

Sebahagian daripada ahli keluarga kami di pagi raya, termasuk cucu dan cicit.
Yang lain belum sampai, ada yang berhari raya bersama keluarga sebelah mertua.

 Kami terbang dari LD ke KK pada pukul 11.10 pagi.


Terima kasih Lina, kerana sudi uruskan kenderaan kami di lapangan terbang.


Petang Rabu 13 Jun 2018 kami selamat mendarat di KLIA pada pukul 5.30 petang. Farid menyambut ketibaan kami bersama kereta yang disewanya dari Seri Iskandar, Perak. Terima kasih buat Ziah, kerana sudi mengambil kami, mengurangkan kesesakan dalam kereta! Fuad dan Fairuz dalam satu kereta bersama Ziah, dan kami berempat termasuk Farid, Encik Suami dan Firdaus dalam satu kereta yang disewa Farid. 
Berbuka puasa juga di dalam kereta, ketika berada di Puncak Alam, beberapa minit sebelum sampai kampung halaman!

Suasana di rumah Bonda. Anak menantu, cucu cicit datang bergotong royong menyediakan juadah berupa kuih-muih sebagai hidangan hari raya buat tetamu pada keesokan harinya.



Sempat berpuasa selama satu hari di kampung dan berbuka puasa bersama keluarga. 
Memandangkan keadaan Bonda yang agak uzur, Bonda tidak memasak untuk membalas punjungan, sebaliknya Bonda menyediakan bungkusan kuih sebagai balasan punjungan dari jiran tetangga dan saudara mara. Amie sempat masak-masak sekadar untuk santapan keluarga. Kak Ros masak ketupat, Amie pula masak nasi minyak. Pelbagai lauk sempat disediakan termasuklah ayam goreng berempah, acar mentah, rendang dan sebagainya.

Bonda sangat risau kalau ada anak cucu, menantu, dan cicit tidak dapat menjamah hidangan di pagi raya. Jadi, Bonda minta Amie masak macam-macam!

Selain ayam masak kicap (tak sempat ambil gambar), sebahagian ayam Amie masak sambal kacang.

Sebelum tidur pada malam menjelang hari raya, Bonda sudah pesan supaya Amie masak lodeh keesokan paginya. Rasanya baru mata terlelap, telinga sudah terdengar bunyi-bunyian di dapur. Amie bingkas bangun, dan Bonda sudah menyiapkan segala bahan untuk dijadikan masakan lodeh. Huhuuuu...gigi masih, meragam! Tapi demi Bonda, Amie kuatkan juga semangat untuk masuk dapur!

 Encik Suami dan anak-anak di pagi raya.


Nampaknya kerja kita sebagai orang perempuan masih menunggu di dapur! Tak dapatlah nak beraksi sakan bersama mereka di ruang tamu. Amie terpaksa kembali ke dapur menyediakan juadah untuk ahli keluarga yang akan tiba sebentar lagi.

 Sambal goreng, hasil air tangan Kak Ros.

 Rendang ayam, juga hasil air tangan Kak Ros.

Ini hasil air tangan Amie, rendang campur daging, paru dan limpa : Rendang Nasib Kekasih Paksa Rela ha ha haaaaaaa!

Yang kuning bintik-bintik hitam di dalam dulang lauk tu.... ale-ale! Amie tumis saja dengan sos tiram. Kononnya nak dijadikan rendang, menggantikan kerang! Tapi tak larat dah nak merendang!

 Ketupat, hasil anyaman Kak Ros.




 Aksi ceria di pagi Syawal.


 Cucu dan cicit Bonda.
Cucu Bonda, Nor Rahime Ahmad, kematian ibunya sejak usia satu tahun. Ibu Nor Rahime (Kak Ijah) merupakan kakak kandung Amie yang kedua.

Kalau nak tunggu semua berkumpul agak sukar, jadi mana yang ada bolehlah bergambar sama. Yang berbunga di tepi kepala, kakak sulung kami, Kak Niah, di tengah, Kak Ros kakak ketiga, Kak Kanang, kakak keempat, kakak kelima beraya bersama keluarga mertua, Amie keenam, adik perempuan ketujuh belum sampai dan di sebelah Bonda, adik bongsu kami, Chah. (Semua yang disebut adalah nama timang-timangan).

Kak Kanang bersama empat anak-anaknya, Edy, Fatah, Alya dan Kimi. Al Fatihah buat arwah ayahanda anak-anak kakak.

 Keluarga Chah, bersama suami: Kamal, Afiq, Anieq dan Aisy.


He he heeee... keluarga Amie!
Bila orang tanya, mana anak yang besar? (sulung)
Yang badan kecil (tengah-tengah) itulah anak sulung?
Yang lucunya, dia akan dapat duit raya, tapi Fuad yang berbadan lebih besar kadang-kadang tuan rumah terlepas duit raya, dan menyangka Fuad sudah bekerja...hiks!


 Bersama Tri, si manis cucu angkat Bonda dari Solo.


 Wajah yang dipaksa senyum-senyum, walaupun sebenarnya gusi berdenyut-denyut!


Farid meminta untuk berada di rumah Bonda sepanjang hari. Katanya dia ingin mengenali sanak-saudara yang datang berkunjung. Bonda kata, seperti kebiasaannya, yang muda kenalah menziarahi keluarga yang lebih tua. Jadi, kami memang akur dengan tradisi ini. Pada pagi hari raya itu Ziah dan Tri tidak menyertai kami, sebaliknya membantu Bonda melayan tetamu yang hadir.
Selesai bermaaf-maafan sesama ahli keluarga, kami menjamu selera dan kemudian bersedia untuk menziarahi rumah keluarga terdekat.

Sebaik kami melangkah untuk meninggalkan rumah, beberapa buah kereta sudah bersusun di sepanjang jalan menuju halaman rumah Bonda. Nampaknya saudara - mara terdekat sudah mula datang beraya.

 Firdaus sangat teruja untuk berhari raya!


 Sebahagian daripada tetamu Bonda.

 Sebelum meninggalkan rumah, sempat tangkap gambar tetamu Bonda dari dalam kereta.

 Bermulalah episod perjalanan kami di pagi Jumaat nan mulia.

 Damainya kampungku!

Rumah pertama yang kami ziarahi ialah rumah abang Sahib, abang sulung kami tapi berlainan ibu.


Adeeehhh.... kerepek keladi kegemaranku yang terpaksa kupandang saja!
Gigi oh! Gigi!





Kami dihidangkan pecal!
Walaaa... enak banget!

Waktu kecil dulu, tak tahu ada seorang abang!
Setiap kali menjelang hari raya, Bonda akan simpankan ayam goreng untuk abang Sahib!
Datanglah abang Sahib bersama rombongannya dengan menaiki basikal beraya di rumah kami.
Untuk pengetahuan Abang Farid, Fuad, Fairuz dan Firdaus: 
Kamu sebenarnya ada 9 orang saudara terdekat sebelah Mommy. Adik beradik seibu sebapa Mommy ada 9 orang, iaitu 8 perempuan dan seorang lelaki, arwah Amin Fauzi (kembali ke pangkuan-Nya pada 2015), adik lelaki Mommy yang ke 8. Tambah Abang Sahib (Wak Sahib), jadilah 10 orang.

 Moga abang Sahib terus hidup berbahagia di samping anak isteri tersayang.

Teruskan perjalanan raya.

Kami menziarahi rumah keluarga arwah Pak Cik Supahat, adik arwah Ayahanda kami. Sedih bila dikenangkan, tiada lagi bapa saudara dan emak saudara yang masih hidup di kampung kami. Terdahulu, ibu saudara kami, Jamina dan bapa saudara kami, Samuji juga telah dijemput oleh-Nya. Ada beberapa orang lagi, tetapi menetap di tempat lain. Ibu saudara kami, Jamilah khabarnya menetap di Riau, dan sehingga kini seakan terputus hubungan pula. Kali terakhir kami bertemu pada tahun 1983. Ada lagi ibu saudara dan bapa saudara kami yang menetap di Tanjung Karang. Jadi, anak-anak semua, sebenarnya banyak saudara-mara sebelah Mommy di Malaya, cuma kekangan waktu menyebabkan kita tidak dapat berhubung dan mengenali di antara satu sama lain.
Gambar di atas, berbaju Melayu biru tua dan berkaca mata ialah Omar, sepupu kami. Mula-mula tidak kenal, sebab terlalu lama tidak berjumpa! Omar, anak bongsu arwah Paman Jani, adik arwah Ayahanda. Ayahanda kami merupakan anak sulung dalam keluarga.

Kami memanggilnya Bik Semah (berbaju ungu). Bik Semah mempunyai anak paling ramai, tak silap 18 orang kesemuanya!

Sempat mengabadikan gambar kenangan di rumah Bik Semah.


Ini rumah arwah Nenek Fatmah, bonda kepada arwah Ayahanda kami. 
Kami berkunjung ke rumah Paman Hamid, berhadapan rumah arwah Nenek Fatmah. Paman Hamid adik bongsu Ayahanda yang telah meninggal dunia pada tahun lepas. Al Fatihah.

Seperti biasa, Amie suka mengambil gambar-gambar kuih-muih yang dihidangkan. Ini kami panggil halwa kolang-kaling atau buah kabung. Dari dulu, inilah salah satu manisan wajib yang dihidangkan sebagai salah satu di antara kuih raya.


Bagaimanapun, banyak kuih-muih tradisi yang tidak dapat dilihat pada tahun ini, kecuali beberapa jenis termasuk rempeyek kacang hijau dan rempeyek kacang dal. Manakala halwa dan jeruk buah-buahan masih seperti dulu. Cuma, sejak beberapa tahun kebelakangan ini sudah tidak nampak lagi halwa betik yang dianyam cantik, halwa kundur dan halwa mangga.

Rempeyek kacang dal, antara kuih paling digemari.

Kerepek ubi!
Inilah kuih raya paling istimewa sebab masih wujud pada hari ini, dan dijumpai di rumah arwah Paman Hamid.

Gambar-atas dan bawah juga kerepek atau serepeng ubi.
Bezanya serepeng ubi dengan kerepek ubi ialah serepeng ubi digoreng terus menggunakan ubi segar, manakala kerepek ubi pula ubi direbus terlebih dalu, kemudian dihiris nipis dan seterusnya dijemur hingga kering sebelum digoreng. 


Dan tidak ketinggalan, kerepek pisang!


Kami sempat singgah di rumah arwah Paman Jani, disambut oleh Azlan dan isteri.


Kuih siput penuh nostalgia!

Rempeyek kacang dal buatan sendiri.

Tidak ketinggalan serepeng ubi kuning!


Kami sambung ziarah ke rumah arwah Tini.
Sedihkan!
Semua rumah yang diziarahi sudah menjadi arwah. Al Fatihah.
Apa pun kita teruskan tanggungjawab menyambung silaturahim bersama mereka yang masih ada.



Ini rempeyek kacang hijau, atau tumpi. 
Kalau gigi tak sakit, memang nak makan sebalang!


Walaupun matahari panas terik, tapi semangat untuk berhari raya terus membara!
Sebelum tiba waktu Zohor untuk menunaikan solat Jumaat, kami bercadang untuk menziarahi rumah saudara mara, mana yang sempatlah!



Kerepek keladi!
Adeeehhh.... setiap kali nampak kerepek ubi dan keladi, teringat gigi huhuhuuuu!
Beginilah keadaannya di kampung kami. Kerepek ubi keladi memang menjadi sajian wajib untuk dicicipi para tetamu.


Melayan Firdaus yang kehausan!

Sempat bergambar dengan Rolia.
Moga Rolia sihat-sihat selalu.

Rumah terakhir sebelum menjelang Zohor yang sempat kami ziarahi ialah rumah Paman Sukirman, adik lelaki Bonda.
Kemudian kami pulang ke rumah dan berjanji akan meneruskan ziarah pada sebelah petang.

Bila sampai ke rumah, rupanya Wi, adindaku sudah sampai bersama anak menantu dan cucunya.

Kita posing dulu ye Wi!


Inilah enam beradik perempuan bersama Bonda yang ada setakat ini kerana seorang lagi masih beraya di Rawang.
Bila sudah berehat, rasa agak malas pula untuk meneruskan ziarah...hiks!
Akhirnya kami bergerak lagi untuk menziarahi mana yang sempat saudara sebelah Bonda di Bukit Kuching.

Sudah tentunya kami ziarahi Wak Qulon (Wak Marfuah) kakak kepada Bonda kami.
Moga Wak Qulon terus sihat walafiat.

Rombongan kami bertambah dengan kehadiran Wi, anak dan cucunya.

Bersama sepupu. Kak Bedah.
Setelah menziarah beberapa buah rumah keluarga (dah tak larat nak tangkap gambar), kami solat Asar di Masjid Bukit Kuching dan kembali semula ke Bukit Hijau.
Aton, kakak kita yang ke-5 sudah berada di rumahnya.

Sempat menjamah laksa dan juga ketupat lauk rendang kerang dan daging.

Dapat juga makan rendang kerang!

Dan kerepek keladi ini.... kujamah juga!
Sangat rangup, dan tidak pula menyakitkan gigi!

7 beradik bertemu di rumah Aton!

Moga ikatan kami berpanjangan sehingga ke syurga!

Bila dapat berkumpul, beginilah aksi kami!
Depan sekali Aton, belakang tudung merah, Wi dan disebelahnya, Kanang.
Yang pandang bawah pakai kaca mata berbaju hijau itu Ros.
Hujung sekali tudung oren Niah, Amie dan yang suka senyum nampak gigi itu Chah.


Semoga kita akan bertemu lagi di hari raya akan datang.

Berakhirlah sudah episod raya pertama pada hari Jumaat nan mulia, 15 Jun 2018.

Sambung lagi cerita raya pada hari esok!

6 ulasan:

Gee® berkata...

Selamat Hr Raya Amie... kirim salam kat dak Daun... hehe

notie berkata...

Alhamdulillah. Dapat berjumpa dengan semua adik beradik. Seronok kan kalau dapat berkumpul beramai-ramai macam tu. Masa ni lah dapat mengeratkan lagi silaturahim.

Kuih-kuih tradisional tu yang tak tahan tenguk. Sedapnya. Teringat dolu-dolu kerepek-kerepek tu semua.

Al fatihah buat semua keluarga Amie yang sudah meninggal dunia.

Fadzillah berkata...

Bestnya... seronok tengok keluarga ramai. Meriahnya raya tahun ni.
Selamat Hari Raya Amie... mohon maaf zahir bathin.

Cheq Sue berkata...

Selamat Hari Raya Aidilfitri Kak Amie & Keluarga... salam rindu..

Puan Hazel berkata...

Selamat hari raya k.Amie...

Seronok sungguh says tgk keluarga k.Amie beraya. Meriah!

Amie berkata...

Gee,
selamat hari raya juga. Salam sudah disampaikan.

Notie,
banyak dah kuih tradisi yang dah pupus.

Fadzillah,
selamat hari raya juga, sesekali jumpa memang seronok sangat.

Cheq Sue,
Salam rindu juga... selamat hari raya maaf zahir batin.

Puan Hazel,
selamat hari raya juga. Seronokkan raya bersama keluarga.