ADSENSE

Sabtu, 7 Januari 2017

Rebung Madu Masak Kari Dengan Ayam

Sabtu ..... 
Hari ini ada acara merentas desa di sekolah. Tengahari balik. Singgah di pasar Sri Perdana. Beli kelapa parut, sebiji RM3.00. Berapa harga di tempat anda? Beli sebij tak berparut pun RM3.00 juga! Eloklah parut sekali...hiks!
Nak buat apa dengan kelapa parut? 
Nanti dulu.... tengok apa bahan basah yang dibeli tadi. Ada sayap ayam, ada rebung madu juga. Eloklah cepat-cepat balik rumah. Boleh masak untuk hidangan tengahari merangkap ke malam!

Maka...
Jadilah menu Rebung Madu Masak Kari Dengan Ayam.

Bahan-bahan:
400 gram rebung madu - beli yang siap direbus dan dipek - 
600 gram sayap ayam - potong 2
4 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
2 sudu besar serbuk cili
4 sudu besar serbuk kari ayam
1 batang kulit kayu manis - belah dua
 2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
2 pelepah daun kari - lurutkan daunnya
1/2 cawan minyak jagung
1 biji limau nipis - ambil jusnya
garam / gula / perasa pilihan

Bahan hiris / tumbuk kasar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 labu bawang besar
3 cm halia

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan hiris hingga layu.

 2. Masukkan kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan daun kari.

3. Setelah naik bau, perlahankan api dapur dan tambahkan serbuk cili dan serbuk kari. Gaul sebati. Jika terlalu kering, tambahkan sedikit santan cair.
Biasanya orang akan jadikan serbuk kari sebagai pes, tambah air dulu baru ditumis. Amie suka terus masukkan dalam tumisan, aromanya lebih menggoda cuma kena jaga api jangan sampai hangus!

 4. Kemudian masukkan sayap ayam.

5. Gaul rata dan biarkan seketika sehingga keluar airnya, atau sehingga sayap ayam kelihatan layu (berubah warna).

 6. Masukkan santan cair.


7. Setelah kuah mendidih, masukkan rebung madu. Rebung madu tu kalau nak potong kecil pun boleh, nak potong bulat atau belah 4 pun boleh. Ikut sukalah mana yang senang masuk mulut...hiks!

8. Masak dengan api sederhana sehingga sayap ayam dan rebung madu empuk. Kemudian barulah tambahkan santan pekat. Kacar sebati.
9. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
10. Tuangkan jus limau nipis, kacau sekali dua dan padamkan api dapur.


Ada pun penggunaan jus limau nipis ini merupakan pilihan dalam masakan anda! Amie suka ikut cara masakan sebelah keluarga Encik Suami yang memang gunakan perhan jus limau nipis sebagai sentuhan terakhir dalam masakan kari. Ada yang gunakan asam gelugur. Ada yang tidak masukkan sebarang bahan 'masam' dalam masakan kari. Ikut citarasa masing-masing asalkan boleh diterima oleh keluarga!


Enak rasanya si daun bayam,
Makan dengan garpu dan sudu,
Nak masak apa dengan sayap ayam?
Masak kari dengan rebung madu!

3 ulasan:

Warisan Petani berkata...

Pasti sedap ni

Acik Erna berkata...

Telan air liur acik amie..sedapnya rebung madu

Amie berkata...

Warisan Petani,
sesekali makan rebung madu memang enak banget!

Acik,
Betul tu Acik.. memang sedap. Jemput ye...