ADSENSE

Sabtu, 28 Januari 2017

Pegedil Jagung @ Perkedelek

Selamat bercuti sempena Tahun Baharu Cina, Tahun Ayam 2017.
Jom ambil kesempatan jengok dapur, bagi yang tak ke mana-manalah seperti Amie. 
Kali ini Amie nak kongsikan sejenis makanan tradidi masyarakat Bugis di Sabah iaitu Pegedil Jagung. Amie pernah buat beberapa kali, terutamanya ketika Amie sediakan bubur jagung atau barobbo  DI SINI dan DI SINI.
Terima kasih buat Nani Daud yang sudi kongsi nama pegedil jagung mengikut sebutan masyarakat Bugis iaitu 'perkedelek'. Katanya makanan ini wajib ada semasa majlis perkahwinan masyarakat Bugis.


Amie pun sebenarnya banyak terdedah dengan pelbagai makanan tradisi masyarakat Bugis. Biras Bugis, anak buah kahwin dengan orang Bugis, jiran kiri dan kanan Bugis, kawan-kawan Bugis, dan dua kali pernah ambil pembantu rumah berketurunan Bugis.
Berdasarkan pengalaman dan pengamatan Amie, Pegedil Jagung @ Perkedelek ini mempunyai pelbagai versi. Maksudnya, dari segi penggunaan bahan dan juga cara memasaknya. Kalau biras Amie buat, biasanya ia lebih kepada rupa dan bentuk jemput-jemput, dengan melebihkan penggunaan tepung. Kalau jiran pula, lebih kepada penggunaan jagung dan hampir sama dengan pegedil jagung yang dijual di pasar malam. Ada yang tumbuk hancur separuh daripada jagung. Amie suka semuanya. Pantang jumpa pegedil jagung, rasanya nak duduk mengadap meratah sepanjang masa sampai habis!
Wokey...
Jom kita lihat bahan-bahan untuk membuat perkedelek.

Bahan-bahan:
3 batang jagung  manis - hiris biji jagung dari batang
2 sudu besar tepung jagung
2 sudu besar tepung gandum
1 labu bawang besar - cincang 
3 tangkai daun sup - hiris 
1/2 sudu kecil lada putih - tumbuk
sebiji telur
garam / gula / perasa pilihan
minyak

 Sebaiknya gunakan jagung manis atau jagung muda. Isinya lembut.

 Ada juga yang tidak gunakan dun sup. Kalau Amie beli di pasar malam, jarang jumpa yang berdaun sup.

Boleh gunakan bawang merah dan bawang putih serta halia. Kali ini Amie gunakan bawang besar saja. Kalau gunakan bawang merah, bawang putih dan halia, eloklah tumbuk ketiga-tiganya sekali.

 Ambil 1/2 sudu kecil sahaja lada putih tu.

Tentang tepung pula, biasanya biras dan anak buah gunakan tepung gandum sahaja. Amie campur tepung gandum dengan tepung jagung.

Mula-mula kita hiris isi jagung. Bukan hiris terus sampai ke batang, tapi hiris nipis beberapa kali sampailah ke batang jagung. Amie dapat 4 kali hirisan.

 Wokeh!
Isi jagung daripada hirisan 3 batang jagung manis!
Kalau rajin, bolehlah tumbuk atau kisar separuh hirisan jagung tu. Amie malas nak buat...hiks!

Cara:
1. Masukkan isi jagung ke dalam sebuah mangkuk.
2. Tambahkan bawang besar cincang dan hirisan daun sup.

 3. Pecahkan sebiji telur dan masukkan ke dalam bahan adunan.

 4. Taburkan lada putih dan perasa. Suka hatilah dah bubuh garam ke, gula ke atau apa-apa. Amie bubuh dua sudu kecil MAGGI CUkup Rasa.

 5. Lepas tu gaul bahan tadi.

 6. Tambahkan dua sudu besar tepung jagung. Dan gaul lagi.

 Beginilah rupanya bila sudah digaul dengan tepung jagung.

 7. Tambahkan lagi dua sudu besar tepung gandum.

Setelah digaul rata, beginilah rupanya. Ada pun kalau nak gaul semua bahan sekali harung pun boleh. Tak ada masalah.

8. Panaskan minyak. Dalam bab minyak ni, sebab nanti pegedil jagung tu jadi leper, jadi tidak perlu bubuh minyak terlalu banyak. 
9. Ambil satu sudu besar adunan dan letakkan dalam kuali. Adunan akan terbentuk sendiri.

10. Terbalikkan pegedil untuk mendapatkan warna kuning keemasan pada kedua-dua belahnya.

 11. Angkat dan toskan.

 Boleh juga buat saiz kecil sedikit. Bubuhlah 3/4 atau 1/2 sudu besar saja seperti di atas tu. Jadi hasilnya lebih comel! Sekali masuk mulut saja!

Jom ratah!
Tak ada barobbo... makan saja gitu!

2 ulasan:

namakucella berkata...

Wahhhh....
Sedapnyer pegedil jagung...
Mak kiter pun banyak kali dah buat..tapi 1st time buat amik resipi dari blog ni..pastu nemang selalu buat sebab sedappppppp..tq aunty

Amie berkata...

Cella,
terima kasih sudi cuba.. sekadar kongsi mana yang ada