ADSENSE

Selasa, 17 Januari 2017

Lempeng Pisang Dengan Jagung Krim

Teringat keenakan makan lempeng pisang campur dengan jagung krim! Itu cerita lama....sebab dah lama tak buat lempeng tu. Petang tadi bila terpandang lebihan pisang raja lepas buat kuih nagasari tiga hari lepas, rasa sayang pulak tengok pisang tu yang mula nampak hitam-hitam sedikit di bahagian kulitnya!
Ditambah pula dengan cuaca sejuk, hujan di petang hari! Elok benarlah kalau dapat minum secawan teh panas dengan sekeping dua lempeng pisang!

Lempeng Pisang dengan Jagung Krim ini sebenarnya dah banyak kali Amie buat, tapi adalah juga sekali dua kongsi dalam blog. Pernah sekali tu masuk dalam majalah AROMA. Alhamdulillah walaupun ikut kreativiti sendiri tapi lempeng ni memang sedap! Sedap pada selera Amie dan juga seisi keluarga!
Amie kongsikan resepinya di bawah ini:
Bahan-bahan:
5 biji pisang raja masak ranum - Amie lecek jadi 1 1/2 cawan
1 1/2 cawan tepung gandum
3 sudu besar susu tepung
1 tin jagung krim
1/2 sudu kecil baking powder
1/2 sudu kecil soda bikarbonat
marjerin

Sukatan bahan tu boleh ubahsuai ikut citarasa masing-masing. Tak perlu bubuh gula, sebab pisang tu dah cukup manis, tapi kalau nak lebih manis pandai-pandailah sukat berapa banyak nak masukkan gula.

Cara:
1. Lecek pisang hingga hancur.


 2. Tambahkan tepung gandum.

 3. Masukkan sekali susu tepung, baking powder dan soda bikarbonat.

 4. Jangan lupa satu tin jagung krim. Amie tidak tambah garam sebab jagung krim sudah cukup rasa lemak manis dan masin.


5. Adun sebati dan biarkan seketika. 
6. Oleskan marjerin di dalam kuali. Kalau nak lempeng kecil comel, gunakanlah kuali kecil. Amie gunakan kuali kecil sebab adunan ini sangat lembut, jadi mudah nak terbalikkan. Api pun kena yang kecik juga... jangan api kuat nanti terus hangus!
7. Tuangkan adunan mengikut sukatan masing-masing. Amie gunakan 3 sudu besar untuk sebiji lempeng.

Haa.. cam gitulah kejadian lempengnya dalam kuali. Ingat ye, api kena jaga sebab adunan tu dah manis jadi cepat sangatlah proses 'mengkaramelkan' ha ha haaa... bahasa apa ini. Harap fahamlah kan. Kalau api besar, bahagian luar lempeng nampak masak tapi isinya masih mentah!

8. Agak-agak dah masak bawahnya tu, terbalikkan dengan penuh hati-hati sebab lempeng ni lembut sangat. Kalau tak tahan hati nak layan kelembutannya semasa memasak, bubuhkan lebih tepung supaya keras sikit. Tapi sebab Amie nak rasa pisang dan jagung krim, itu yang sanggup bersabar tu...hiks!
Maaf ye... gambar tak jelas! Sikap teknik...ahaks!

9. Dah masak kedua-dua belah, bolehlah angkat keluar.
Biasalah kan.... orang tak sabar! Masak sekeping, buat lagi sekeping! Sementara menunggu kepingan kedua masak, jamu selera dulu dengan yang sekeping tu....hihihiii! Tapi Amie nasihatkan, tunggulah seketika, jangan makan panas-panas, nanti melocot mulut tu!

Untuk adunan di atas, Amie dapat buat 10 keping lempeng! Habis semuanya tak tinggal sisa! Tak tahulah berapa keping Encik Suami dan  Fairuz makan. Amie makan 3 keping saja!

2 ulasan:

Phong Hong berkata...

Best kalau boleh makan lempeng untuk breakfast!

Amie berkata...

PH,
ya betul tu... memberi tenaga!