ADSENSE

Ahad, 22 Januari 2017

Gulai Batang Pisang

Cerita tentang batang pisang ni, sebenarnya lama dulu Amie pernah dengar dari cerita kakak ipar. Tapi Amie buat tak kisah. Encik Suami pun ada cerita juga tentang beberapa jenis masakan daripada batang pisang. Amie sangkakan, menu batang pisang hanya terdapat di utara Malaya, tapi terkejut jugalah sebab orang Melayu Cocos di Lahad Datu pun sudah lama makan batang pisang @ umbut pisang! 
Cuma, baru hari ini berkesempatan masak batang @ umbut pisang di kampung! 

Inilah hasilnya setelah menanti dengan penuh sabar!

 Jom dengar celoteh Amie di bawah ini:

Kakak ipar suruh Encik Suami tebang anak pisang di depan rumah. Katanya ini pokok pisang nipah.Dengan berbekalkan parang yang tak berapa nak tajam, Encik Suami pun naiklah bukit... he he hee ... di lereng bukit jew!

Tumbangkan sebatang pokok pisang atau lebih mesra dipanggil dengan nama anak pisang, sebab dia belum pandai berbuah! Mak pisang jangan diusik tau!

 Sesi menyiat pelepah pisang pun bermula.

 Siat pelepah demi pelepah sampailah jumpa isinya yang putih bersih!
Teriak kat kakak ipar dari lereng bukit:
Cukupkah kak satu batang?
Mana cukup! Tebanglah lagi!

Encik Suami pun tebang sebatang anak pisang lagi. Nampak benarlah parang tumpul! Tebas dua tiga kali barulah tumbang!

Cukuplah tu dua batang! Jom kita balik rumah! Dua batang umbut pisang ni nampak macam banyakkan! Mari kita lihat resepinya di bawah ini. Kami masak agak banyak! Sesekali tebang batang pisang, alang-alang buat gulai biar sebelanga penuh!


Bahan-bahan:
2 batang umbut pisang - potong menyerong dan buang benangnya
1 kg tulang
1 kg daging - potong ikut suka
75 gram serbuk kari daging
1 cawan cili kering kisar
4 cawan santan pekat
2.5 liter santan cair
1 cawan minyak
3 keping kulit kayu manis
6 kuntum bunga lawang
4 tangkai daun kari - lurutkan 
garam / gula / perasa pilihan secukup rasa

Bahan hiris:
30 biji bawang merah
15 ulas bawang putih
8 cm halia

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan hiris hingga layu.
2. Masukkan kulit kayu manis dan bunga lawang. Biarkan sehingga timbul aroma.
3. Masukkan cili kisar dan gaul sebati.
4. Kemudian masukkan serbuk kari serta daun kari. Tambahkan 1 cawan santan cair. Perlahankan api dapur. Tumis bahan hingga terbit minyak.
5. Campurkan daging bersama tulang dan masukkan kesemuanya ke dalam kuali. Gaul rata dan masak sehingga daging menjadi layu.
6. Tambahkan santan cair. Biarkan gulai mendidih sehingga daging empuk.
7. Masukkan umbut pisang. Masak lagi sehingga umbut layu / lembut.
8. Akhir sekali tambahkan santan pekat, garam / gula / perasa pilihan.
9. Setelah masakan sempurna, padamkan api dapur.


Tumis hirisan bawang merah, bawang putih dan halia hingga layu. Waktu ini aromanya memang sungguh menggoda! Tak sabar nak masukkan bahan seterusnya!

 Masukkan kulit kayu manis dan bunga lawang. Tumis sampai keluar aroma rempah tu!

 Tambahkan cili kisar. kalau suka pedas, tambahlah lagi!

Kemudian masukkan serbuk rempah kari dan juga daun kari. Tumis dengan api perlahan sebab tak mahu bagi tumisan tu hangus. Amie tambahkan satu cawan santan cair supaya tumisan tidak terlalu kering. Biasanya rempah kari tu dijadikan pes, campurkan dengan bawang dan sebagainya, tapi seperti biasanya, Amie suka cara begini.

 Dengan sabar dan tekun, sila masak sehingga pecah minyak!

 Kemudian masukkan tulang dan daging lembu.
Orang kata kalau nak sedap eloklah pilih tulang rusuk, tapi Amie dapat tulang tengkuk!
Tengkuk pun tengkuklah!

 Gaul sebati sampai daging tu jadi layu. 

Lepas tu barulah tuangkan santan cair. Kenalah bubuh santan cair lebih sikit sebab nak bagi daging tu empuk dengan cara semulajadi...hiks! Ni tak main paksa supaya daging cepat empuk, sebab tak ada pressure cooker! Kalau nak cepat masak, eloklah rebus dulu tulang dan daging tu awal-awal dalam pressure cooker supaya tak buang banyak masa kawal api tunggu sampai masak.
Jom tengok batang pisang yang terbiar dari tadi... nama resepinya Gulai Batang Pisang, tapi lebih-lebih pulak uruskan tulang lembu!

 Umbut pisang tadi kita potong serong dan terus rendam dalam air untuk elak lebam. 

 Buangkanlah benang batang pisang tu.

Mmmm... aroma gulai sudah harum semerbak! Hujan masih turun tanpa hentinya! Sementara kacau gulai di dapur, ambil dulu gambar hujan ikut belakang dapur!

Boleh tak bayangkan suasananya... dengan aroma gulai yang menusuk hidung! Dengan hujan dan suhu dingin! Mesti perut rasa lapar sangatkan?

 Nampaknya daging pun mulai empuk, kuah pun mula pekat...

 Kakak ipar kata bolehlah masukkan umbut pisang!

Masak lagi sampailah umbut pisang nampak kecut!
Masa ni Amie tanya, nak bubuh kerisik tak? Kakak ipar kata, tak payahlah sebab kuahnya pun dah pekat tu. 

 Masukkan pula santan pekat.

Jangan lupa garam / gula / perasa pilihan secukup rasa!
Bila semua dah sebati, daging dah empuk, umbut pisang dah kecut, kuah dah pekat, padamkanlah api dapur!

Ketika kami sedang menikmati nasi berlauk Gulai batang Pisang, hujan masih turun dengan lebatnya!
Baki Gulai Batang Pisang tu kakak ipar bahagi-bahagi ke rumah jiran tetangga!
Sekian, kisah di hari minggu.

6 ulasan:

Nadia Nurul berkata...

sedap ni gulai macam ni


cikkyra blogspot berkata...

umbut pisang x pernah makan. umbut kelapa pernah makan. hehe. baru je mak buat baru2 ni

Kakzakie Purvit berkata...

Amie jgn tak tahu kakak dah tua macam ini tak pernah lagi makan lagi tau gulai batang pisang ni. Teringin juga tapi sebab tak pandai buat dan takpernah jumpa kat kawasan kakak ni yg masak macam ini.

Phong Hong berkata...

Ooohhhh...tak tau pulak batang pisang boleh makan. Dulu kat sekolah pakai batang pisang untuk buat corak2 masa kelas lukisan.

Amie berkata...

Nadia,
betul tu...dah dua kali masak...selama ni asyik dengar saja orang utara masak gulai batang pisang, gulai kawah batang pisang.

Cikkyra,
inilah uniknua dunia masakan, semakin dipelajari semakin banyak yang perlu digali!

Amie berkata...

Kakzakie,
Saya pun antara percaya dengan tidak kak. Tapi bila dah masak sendiri, dah makan barulah tahu hihihiii...

PH,
dunia masakan luas tanpa sempadan kan...