ADSENSE

Selasa, 8 September 2015

Asam Pedas Sabah

Banyak kali juga Amie masak ikan gaya begini, bukan setakat untuk hidangan keluarga, malah untuk tetamu sempena rumah terbuka raya juga. Sayangnya, Amie tidak tahu nak bagi nama apa....
Ceritanya, sebab tak dapat melupakan kelazatan hidangan ini di salah sebuah hotel di Kota Kinabalu! Seingat Amie mulai 2002 hingga 2004 atau 2005 Amie tak pernah duduk diam, asyik terbang ulang-alik ke Kuala Lumpur, dan Kota Kinabalu. Masa tu sibuk menjadi jurulatih utama semakan KBSM Tingkatan 1-5. Kemudian kami kena beri kursus di peringkat negeri pula. Dalam banyak-banyak hotel tempat kami memberi kursus, ada sebuah hotel yang sederhana sahaja tarafnya, dan Amie pun tak perasan entah ada bintang atau tidak! Dalam tempoh 3 tahun Amie menjadi jurulatih utama, Pegawai JPN (Encik Daniel Jebon Janaun - sekarang mendiang) selalu memilih hotel ini sebagai tempat kursus para peserta. 
Pada suatu ketika, semasa rehat kami menikmati makan tengahari bersama salah seorang pegawai dari JPN, Encik Zaini yang memantau perjalanan kursus kami. Salah seorang jurulatih di antara kami berkata : Setiap kali makan tengahari mesti ada lauk ikan ini! (Merujuk ikan yang Amie sendiri tidak tahu apa nama resepinya).
Tapi... lauk inilah yang paling cepat licin! Sambungnya lagi.
Perasan tak? Semua pelanggan yang datang ke sini mesti pesan menu ini. Itu pula bunyi sahutan Encik Zaini.
Apa nama masakan ini? Amie menyampuk.
Ini asam pedas. Satu-satunya menu paling sedap yang menjadi daya tarikan pelanggan datang ke sini. Tak ada hotel atau restoran lain di sini yang boleh sediakan masakan begini. Jawab Encik Zaini.
Waktu itu.... Amie tidak menyangka, menu itu sebenarnya asam pedas! Yang Amie ingat, ikan yang dihidangkan jenis ikan lembut seperti jenahak dan kadang-kadang ikan putih. Maklumlah kalau asam pedas tentulah kuahnya pedas, dan merah kerana lada, dan juga rasa masam oleh asam jawa atau asam keping. Selain itu sekurang-kurangnya ada aroma serai atau limau purut!
Yang Amie lihat setiap kali hidangan ini tersaji di atas meja kami dalam keadaan masih panas berasap, kuahnya yang sedang-sedang pekatnya itu seakan-akan warna kuning coklat, ada warna kehijau-hijauan sedikit. Bila dijamah, ada bau daun kesum! Tapi tak pernah nampak daun kesum atau batangnya!

Beginilah lebih kurang asam pedas ikan itu! Cuma kuah yang Amie hasilkan ini agak pekat sedikit. Boleh tambahkan kacang bendi jika suka. Amie pernah gunakan ikan jenahak, ikan tenggiri, ikan putih dan juga ikan talapia untuk resepi ini. Amie gunakan sedikit saja cili kering sebab inginkan rasa yang sama yang kami selalu nikmati di Kota Kinabalu itu. Selain itu Amie tambahkan daun kesum dan kisar bersama bahan-bahan lain! Alhamdulillah.... menjadi juga walaupun mungkin tidak 100% resepi sebenar!
Kali ini Amie gunakan ikan bayan pula. Ikan bayan isinya lembut, sama macam ikan jenahak, tapi kalau nak lebih sedap eloklah pilih ikan jenahak! Kami pernah dihidangkan bahagian ekornya..... pergghhhhh! 
Jom tengok resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
600 gram ikan - pilih ikan yang lembut seperti ikan jenahak atau bayan, tapi ikan lain pun boleh - Amie gunakan 2 ekor ikan bayan 
2 sudu besar serbuk kari ikan
2 biji tomato - belah 2
1 sudu teh pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
2 cawan air 
4 sudu besar minyak
garam dan gula secukup rasa

Bahan kisar:
5 tangkai cili kering 
12 helai daun kesum
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 labu bawang besar
2 cm halia
2 cm lengkuas
2 cm kunyit hidup
2 cm belacan

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan serbuk kari dan kacau sebati kemudian masukkan bancuhan pati asam jawa. Setelah mendidih tambahkan 2 cawan air dan biarkan mendidih lagi selama 7 hingga 10 minit.
3. Kemudian masukkan ikan bayan dengan tomato. 
4. Masak di antara 5 hingga 7 minit sahaja, sebab isi ikan bayan sangat lembut dan cepat masak.
5. Perasakan dengan garam dan gula.
6. Padamkan api dapur.


Berani cuba tak resepi ini? Tak jauh beza dengan asam pedas biasa, cuma daun kesum itu dikisar sekali dengan bahan kisar lain!

3 ulasan:

Bbwana adienia berkata...

Erm..wana tengok malam2 ni jadi lapar la kak amieee..huhu

-ilyannur- berkata...

hi, nk tau apa nama restoran dekat sabah tu?

Amie berkata...

Bbwana,
jemput ...


ilyannur,
saya tak tahu masih adakah lagi menu ini, di Ruby Hotel, di restorannya.