ADSENSE

Khamis, 8 September 2016

Tanah Suci Kota Mekah

Entri berkaitan:



Ya Allah!
Hamba-Mu yang dhaif ini mengunjungi rumah-Mu.
Hamba-Mu yang penuh dosa ini ingin mengerjakan ihram, tawaf, sai'e dan bertahallul mengikut tertibnya.


Kami tiba di tempat penginapan kira-kira pukul 12 tengahmalam. Syukur kepada Allah, walaupun tidak dapat tempat penginapan yang paling hampir (Hilton Towers telah penuh semasa kami daftar umrah), tetapi kami tetap selesa menginap beberapa hari di Hera' Palace Hotel yang terletak kira-kira 690 meter  dari Masjidil Haram.
Menjelang pukul 1 malam, kumpulan kami meneruskan perjalanan menapak ke Masjidil Haram untuk mengerjakan tawaf.
Bonda agak lemah ketika itu. Amie telah memberitahu mutawwif bahawa Amie memerlukan sebuah kerusi roda dan seorang yang boleh membantu menolak kerusi roda tersebut, semasa kami berada dalam bas, ketika perjalanan dari Lapangan Terbang Jeddah ke tempat penginapan. Bayaran untuk petugas menolak kerusi roda ialah sebanyak RM350 untuk sekali umrah (tawaf 7 pusingan dan saie 7 pusingan).Tiba masanya untuk bergerak ke Masjidil Haram, mutawwif memberitahu Amie kerusi roda ada, tetapi petugas untuk menolak kerusi roda tersebut tidak ada (tidak mencukupi). 
Alhamdulillah, dengan tenaga yang ada Amie cuba tolak kerusi roda  dari tempat penginapan ke Masjidil Haram, dan terus mengerjakan tawaf  mengelilingi kaabah sebanyak 7 pusingan, seterusnya melakukan sai'e dari Bukit Safa dan bertakhir di  Bukit Marwah, juga sebanyak 7 pusingan, sehinggalah selesai bertahallul.
Mudah-mudahan ibadah umrah kami mengikut tertibnya yang bermula pada tengahmalam hingga menjelang hampir Subuh itu diterima Allah.
Syukur kepada-Mu ya Allah kerana memberi kekuatan pada hamba-Mu ini untuk menolak kerusi roda itu.... 
Seingat Amie, setiap kali berhenti minum air zam-zam, Amie tidak berhenti berdoa agar diberi tenaga untuk menolak kerusi roda Bonda sehingga tamat bersai'e. Ada ketika Farid turut membantu ketika melihat Amie agak termengah-mengah menolak kerusi roda ke tempat yang tinggi. Pada ketika itu, memang airmata tak dapat ditahan.... sebab merasakan ini hanyalah khidmat yang sangat kecil untuk Bonda! 
Hari-hari seterusnya, sepanjang 6 hari berada di Mekah, ketika menunaikan umrah kali kedua dan ketiga serta solat memang Amie tidak benarkan Bonda berjalan kaki dari hotel ke Masjidil Haram. Amie akan bertukar ganti dengan Farid menolak kerusi roda. Ada kalanya kerusi roda yang digunakan sudah terlalu uzur, jadi perjalanan ke Masjidil Haram agak terganggu sedikit. Bagaimana pun, terima kasih yang tidak terhingga kepada insan-insan yang tidak dikenali kerana sering membantu Amie menolak kerusi roda Bonda ketika melalui jalan yang agak sukar (ketika itu pembaikan jalan sedang dilakukan di sana-sini). 
Kerusi roda yang digunakan adalah kerusi roda yang diwakafkan oleh mereka yang menunaikan haji atau umrah yang menginap di hotel tersebut. Pengalaman ini sebenarnya begitu menginsafkan Amie, terutamanya bila memikirkan betapa seseorang yang uzur itu memerlukan kerusi roda. Anda boleh mewaqafkan kerusi roda dengan bayaran sebanyak 400 rial (harga 2014) untuk sebuah kerusi roda. Alhamdulillah.... Allah telah memberi jalan dan rezeki kepada hamba-hambanya yang ingin beramal jariah di sini.


Kamera tidak dibenarkan sama sekali di bawa ke Masjidil Haram. Eloklah ikut peraturan itu kalau tidak mahu kamera anda dirampas!

Tapi boleh ambil gambar menggunakan telefon bimbit. Nampaknya hanya ini sahajalah (gambar atas) kenangan Amie mengerjakan umrah di Mekah. Kalau tak silap gambar diambil ketika menunaikan umrah ketiga.

Banyak perkara baru yang Amie temui semasa berada di Masjidil Haram.
Antaranya,
setiap kali selesai solat fardhu, pasti disusuli dengan solat jenazah. Amie lihat ketika itu jemaah wanita pun turut solat jenazah. Setelah 2 hari menyaksikan perkara yang sama (memang setiap kali selesai solat fardu mesti ada jenazah yang akan disolatkan), Amie pun ikut serta. Itulah kali pertama Amie menyertai solat jenazah sehinggalah kami tiba di Madinah Al-Munawarah, juga perkara yang sama Amie lakukan.
Kami berangkat meninggalkan Kota Mekah pada petang Jumaat selepas selesai menunaikan solat Jumaat / Zuhur. Dan untuk pertama kalinya juga Amie melakukan solat Jumaat dalam hidup!
Apa yang sangat menarik semasa berada di Masjidil Haram ialah suasana sebelum menjelang Subuh. Ketika azan pertama dilaungkan, orang ramai berpusu-susu keluar dari segenap penjuru... bertali arus, tidak putus-putus! Subhanallah!
Ketika melakukan umrah, sudah merasai keadaan 'laut manusia', agaknya ketika ibadah haji.... hanya yang pernah mengalaminya sahaja yang boleh menceritakan suasananya! Ya Allah.... dengan izin-Mu, kubermohon.... mudah-mudahan hamba-Mu yang kerdil ini dapat menyempurnakan rukun Islam yang kelima itu. In shaa Allah.

Ehsan: Google

Biarpun di luar cuaca panas, tapi tidak terasa teriknya! Air zam-zam ada di mana-mana untuk membasahkan tekak. Suasana persekitaran yang sangat aman dan damai, menambahkan rasa takjub terhadap kebesaran Tuhan! Ini Tanah Suci!  Teringat pesan mutawwif, ketika ini sentiasalah muhasabah diri, banyakkan solat taubat. Mohon ampunkan segala dosa... kenangi dosa-dosa yang pernah kita lakukan untuk menambah taqwa dan keyakinan agar diberi keampunan. Di sinilah tempat kita menyucikan diri dari dosa syirik dan kufur aqidah, dosa berbuat derhaka kepada ibu bapa, dosa berbuat maksiat, dan segala dosa yang pernah kita lakukan!
Capailah al-Quran yang sentiasa memenuhi setiap rak di dalam Masjidil Haram. Bacalah...bacalah sebanyak mana yang kita mampu. Kita bukan selalu dapat datang ke sini. Kita bukan selalu dapat menatap kaabah! Kita hanya diberi kesempatan sebagai tetamu kerdil  Bacalah dari Subuh sehingga Zuhur atau daru Zuhur sehingga Asar, bacalah pada waktu siang atau malam....tujuan kita berada di sini adalah untuk penyucian jiwa!

Memandangkan tidak ada alat bantu bercerita (gambar yang terdelete dalam handphone), banyaklah juga perkara yang Amie dah lupa... Yang Amie masih ingat, kami menaiki bas dan berhenti sebentar di beberapa tempat seperti di Jabal Thur, Jabal Rahman dan Bukit Arafah. Mutawwif yang bertugas sangat peramah dan sentiasa memberikan pelbagai informasi serta pandai pula bercerita trentang sejarah Islam di Kota Mekah.  Sambil bas melalui beberapa tempat, misalnya melalui Mina, mutawwif yang kami panggil Ustaz terus menerangkan satu persatu tentang tempat-tempat tersebut.

Ini mutawwif kami yang sangat peramah dan sentiasa menjaga kebajikan ahli jemaah.




Suasana di Mina dengan khemah yang tak terhitung jumlahnya!

Kenangan menarik dan menyeronokkan sewaktu melangkah kaki dari halaman Masjidil Haram, sudah tentunya ketika dapat menikmati jus buah-buahan yang dijual di gerai di tepi laluan menuju ke hotel. Kali pertama (pada hari pertama) Amie beli jus buah, Amie minta tiga bekas dengan menyebut "thalatha" dalam bahasa Arab yang bermaksud tiga. Penjual jus buah tersenyum sambil mengulang perkataan "thalatha". Harga setiap gelas jus buah ialah 5 rial. Amie hulurkan 15rial. Bagaimanapun, penjual jus buah tersebut hanya mengambil 10 rial dan mengembalikan 5 rial kepada Amie, sambil sekali lagi menyebut "thalatha". 
Oh! Mungkin dengan sebutan bahasa Arab itu, Amie dapat diskaun!
Keesokan harinya, Amie singgah lagi dan beli 4 gelas jus buah dan menghulur 20 rial. Nampaknya kali ini tak dapat diskaun! Ha ha haaa.... agaknya Amie sebut empat (dalam bahasa Melayu). Bila dikenang peristiwa ini, Amie sering tersenyum sendiri! Sebenarnya Amie terlupa, peniaga di sana sebenarnya tahu berbahasa Melayu juga!

Setiap hari, biasanya dalam perjalanan pulang dari Masjidil Haram menuju ke hotel, Amie akan beli jus buah yang sangat enak rasanya, dan sudah tentulah Amie memilih jus buah mangga dan jus buah jambu batu! Bondan dan Farid pun suka sangat minum jus buah-buahan tersebut.  Istimewanya, jus buah-buahan yang dijual tidak dicampur dengan ais batu.

Setiap kali keluar dari hotel, kelihatan berlonggok-longgok roti yang dj kedai! Saiznya pula sangatlah besar! Agaknya kalau beli sekeping, boleh kenyang makan bertiga! Tapi kami tidak pernah beli roti yang bersaiz besar, sebaliknya Farid rajin menyusur kedai-kedai makan di sekitar tempat penginapan kami. Walaupun makanan memang disediakan di tempat penginapan, tapi kami ambil kesempatan juga untuk merasa makanan tempatan. Bukankah dengan cara ini, kita lebih memahami budaya hidup masyarakat di sini?
Tapi, nampaknya kena ikut selera Faridlah.... yang dibelinya biasanya makanan ringan seperti ikan goreng bersama kentang goreng dan juga roti. Nampak macam sedaplah pulak Farid makan cicah sos yang disediakan!

Keesokannya pula, Farid beli udang goreng dengan kentang. Tak ingat berapa harganya tapi banyaklah juga.... roti pun tak pernah habis kami makan!

Ayam goreng pun ada.

Amie beli nasi beriani. Nak cuba makan masakan orang Arab / Pakistan? Sebungkus nasi beriani berharga 5 rial. Lauknya pula dengan harga yang berbeza. Kami bertiga memang tak boleh habiskan sebungkus nasi beriani tu.... banyak!
Pada hari ke (tak ingat), pihak urusetia mengadakan jamuan (hasil derma / kutipan jemaah umrah). Menu yang disediakan ialah nasi Arab berlaukkan kambing. Masha Allah! Entah berapa kali Amie manambah nasi, dan lauk! Sedap sangat! Daging kambingnya pula sangat lembut! Barangkali resepinya hasil kombinasi resepi Arab-Melayu! 

Tidak lupa buah-buahan kering yang banyak dijual di kedai-kedai berhampiran.



 Juga buah-buahan segar seperti anggur dan ceri.

Apa pun... jus buahlah yang paling menjadi kenangan! Sebab sangat sedap dan belum terjumpa di tempat kita! Kalau ada sesiapa yang pernah terjumpa, tolong bagi tahu Amie ye....

Ehsan: Google

Pada hari terakhir kami berada di Mekah, memang terasa sangat sayu untuk meninggalkan tempat paling bersejarah dalam dunia Islam ini. Apalagi ketika mutawwif yang kami panggil Ustaz Amirul mengajar kami doa agar Allah memberikan rasa rindu di hati supaya kami tetap merindui dan ingin kembali ke tanah suci ini. Sepanjang hari sebelum berangkat, bermula dari pukul 9 pagi (hari itu hari Jumaat), kami berada di dalam Masjidil Haram, menanti tibanya solat Jumaat. Pada ketika itulah, rasa terharu yang tidak dapat digambarkan oleh kata-kata. 
Ketika itu terlintas di fikiran, entah bila lagi berkesempatan untuk melakukan tawaf mengelilingi Kaabah, solat di belakang Maqam Ibrahim dan kemudian meneruskan sai'e dari Bukit Shafa dan berakhir di Bukit Marwah.
Masa yang dijanjikan akhirnya tiba jua...
Kami berangkat menuju ke Madinah dengan menaiki bas dan dijangka memakan masa selama 6 jam perjalanan. Kami singgah di Wadi Qudait untuk berehat seketika, menunaikan solat dan makan. Kami dihidangkan nasi berlaukkan ikan dan ayam goreng dan makan kongsi berlima dalam satu dulang. Alhamdulillah, makanan yang dikongsi ini terasalah enak dan lazatnya sampai habis licin kami makan!

Kemudian kami meneruskan perjalanan melalui jalan raya yang rata, di kiri kanan hanyalah pemandangan gurun pasir, bukit bukau berbatu dan pojhon-pohon yang kering di tanah yang tandus. Sesekali kami terlihat sekumpulan unta dan pondok-pondok kecil dari dalam bas.

Rasa bagaikan dalam mimpi, diri ini berada di tanah suci Mekah al-Muklarramah! Subhanallah! 

Akhrnya mata terlelap!
Bas terus meluncur laju meninggalkan Mekah menuju Madinah al-Munawarah.

1 ulasan:

mama sara nur berkata...

assalam k.amie
alhamdulillah
rinduuu sgt2 kan kak
ya Allah dpt tgk gambar2 k amie lg ,mengamit kenangan disana
tiada tempat yg menandingi keindahan bumi Allah ini
insyaallah semoga kita dpt menjejakkan lg di MEKAH