ADSENSE

Khamis, 30 April 2015

Kari Kepala Ikan

Jom pekena Kari Kepala Ikan hari ni...
Fuad & Fairuz ambil kuahnya saja, makan nasi dengan ikan goreng. Tak mahu makan kepala ikan! Anak-anak memang tak berminat dengan kepala ikan. Kata mereka, cuma kepala ikan! Bukan ada apa-apa yang boleh dimakan! Bagusnya anak-anak kami ni.... jadi hanya Amie dengan Encik Suami sajalah yang ratah kepala ikan! Amie... apalagi... bahagian mata ikan tu yang diterkam dulu!
 
 Jom kita tengok resepinya di bawah ini.


Bahan-bahan:
700 gram kepala ikan merah (pilihlah kepala ikan kegemaran masing-masing seperti kepala ikan jenahak, kerapu dll)
1 cawan santan pekat
1 sudu teh pati asam jawa - bancuh dengan 2 cawan air
2 tangkai daun kari - lurutkan
4 sudu makan serbuk kari ikan
2 biji cili hijau - belah 2, tapi jangan putus
2 biji tomato - belah 2
garam / perasa pilihan secukupnya
1/3 cawan minyak

Bahan kisar:
10 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
2 cm halia

Bahan penumis:
1 ulas bawang putih - dihiris
1 labu bawang besar - dihiris
1/2 sudu teh jintan putih kasar
1/2 sudu teh halba
1 sudu teh biji sawi

 Cara:
1. Panaskan minyak, dan tumis bahan penumis hingga wangi dan kekuningan.
2. Masukkan bahan kisar, diikuti dengan daun kari dan serbuk kari. Jika terlalu kering, tambahkan sedikit air. Masak dengan api perlahan sehingga terbit minyak.
3. Masukkan bancuhan air asam jawa dan biarkan mendidih.
4. Seterusnya masukkan kepala ikan, cili hijau dan tomato, diikuti dengan santan pekat.
5. Masak sehingga kepala kepala ikan masak sempurna.
6. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.



Selasa, 28 April 2015

Tumis Pedas Genjer @ Paku Rawan dengan Lokan

Lokan beranak- pinak dalam sungai. Genjer @ paku rawan banyak tumbuh di anak sungai. Mari kita temukan mereka dalam masakan tumis pedas dalam kuali!

Sesetengah orang panggil sayur genjer ini sebagai paku rawan. Ada yang panggil pokok lembayung. Amie beli di pasar tani hari minggu tiga hari lepas. Beli sekali isi lokan yang harum baunya tu... Sayangnya terbiar pula sayur genjer di sudut dapur sebab lupa nak masak! Jangan marah ye genjer...

 Masa beli hari tu tak keluar bunga... dah terbiar di dapur, berbunga pulak genjer ni.

 Yang tak pernah tengok genjer @ paku rawan... inilah dia. Amie pilih yang masih kuncup.

Bahan-bahan:
20 batang genjer @ paku rawan - potong sepanjang 3cm - celur sebentar - toskan
250 gram isi lokan
1/3 cawan minyak
1 sudu makan serbuk pati ayam 
1 sudu teh pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air

Bahan kisar:
15 biji cili merah
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
2 cm belacan

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan lokan dan tambahkan air bancuhan pati asam jawa.
3. Masak dengan api sederhana sehingga lokan lembut.
4. Masukkan genjer dan gaul sebati.
5. Perasakan dengan serbuk pati ayam. Kacau sekali dua.
6. Padamkan api dapur.
 
Wokey.... sudah siap pun hidangan kampung... jemput makan sama!

Ahad, 26 April 2015

Itik Goreng Untuk Encik Suami

Jam menunjukkan angka 7.19 minit malam.
Firdaus sudah tidur.
Fuad & Fairuz dengan kerja masing-masing.
Encik Suami keluar jumpa bossnya.
Amie meniarap di ruang tamu mengadap Mr. Lappy sambil diperhatikan oleh televisyen. Televisyen yang perhatikan kita ye, bukan kita yang tengok dia.... hiks!
Sesekali terhidu aroma yang enak... entah dari mana.
Mmmm... siapa yang masak ni? Masak apa?
Kami makan malam sebelum pukul 6 petang tadi.
Bila tengok Fairuz & Fuad, masing-masing konsentrasi dengan kerja masing-masing.
Aroma masakan terus menerpa hidung!
Amie bingkas bangun ke dapur!

Aroma misteri tadi rupanya datang dari slow cooker di dapur! Ada seperiuk daging itik sedang direnih! Daging itik itu sebenarnya sudah lebih dua minggu tersimpan dalam peti sejuk. Pagi tadi Amie keluarkan dan letakkan di atas sinki. Memandangkan bungkusan daging itik itu agak besar, banyaklah ruang dalam bahagian sejuk beku yang tak boleh digunakan untuk menyimpan bahan lain. Kemudian Amie dan Encik Suami pun keluar membeli-belah di pasar. Dalam perjalanan ke pasar, Encik Suami tanya, kenapa keluarkan itik?
Amie kata, tak cukup ruang nak isi ikan dan lain-lain.
Masaklah itik tu, sedap bahagian dadanya, kata Encik Suami.
Rebus, lepas tu goreng, katanya lagi. Wah itu resepi keluarganya turun temurun.... kata Amie dalam hati.
Malaslah nak masak. Itik tu keras, jawab Amie sebab teringat dua minggu lepas hampir satu hari rebus itik! Kami beli dua ekor itik jantan... entah berapa kilogram beratnya! Besar!
Rebuslah guna slow cooker, lama-lama lembutlah... kata Encik Suami lagi.
Tengoklah nanti, Amie tak berjanji!
Ketika Amie menyiapkan hidangan tengahari, Amie masukkan daging itik tadi ke dalam slow cooker. Amie bubuh serai, hirisan halia, bawang putih, bawang besar dan serbuk pati ayam. 

Rupanya daging itik yang direnih selama setengah hari menjadi lembut! Amie toskan airnya dan Amie perap seketika dengan bahan kisar seperti halia, bawang putih, bawang besar, lada hitam, lada putih dan juga sos tiram. Kemudian Amie goreng. Sambil menggoreng itik yang lembut isinya itu, terbayang Encik Suami yang akan pulang sebentar lagi... tentu suka hatinya dapat makan itik goreng! Sebelum itu mari kita lihat resepi Itik Goreng di bawah ini.

Bahan-bahan:
1 ekor itik seberat 2 kg - bersihkan dan potong ikut citarasa
3 cm halia - hiris nipis
2 batang serai - dititik
7 ulas bawang putih - diketuk
1 labu bawang besar - belah 6
4 sudu makan sos tiram
2 sudu makan serbuk pati ayam 
1 liter air panas mendidih
minyak

Bahan kisar:
5 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
3 cm halia
1 sudu teh lada hitam
1 sudu makan lada putih 

Cara:
1. Masukkan air panas bersama halia, serai, bawang putih dan bawang besar ke dalam slow cooker. 
2. Masukkan daging itik dan taburkan serbuk pati ayam. Tutup periuk dan tekan butang 'high'. Biarkan itik masak sehingga empuk.
3. Keluarkan daging itik dan toskan.
4. Perap daging itik bersama bahan kisar selama 20 minit.
5. Goreng hingga garing.... kalau tak suka garing, goreng sekejap saja.
6. Angkat dan toskan minyaknya.

Ketika Amie sedang goreng itik, tiba-tiba Encik Suami muncul di pintu dapur. Sedapnya bau.... katanya! 
Fairuz & Fuad pula menyerbu ke dapur! Firdaus yang sedang tidur terbangun!
Jadi, kami pun makanlah sekali lagi.... makan Itik Goreng cicah sos cili Thai, tak sempat nak sediakan plum sos!

Sabtu, 25 April 2015

Sedapnya Ikan Alu-Alu Masak Taucu!

Siapa kata ikan masak taucu tak sedap.... jangan angkat tangan! Nanti kalau dah cuba dan rasa keenakannya... tentulah malu sebab dah angkat tangan... ahaks!

Amie kongsikan sekali lagi masakan bertaucu yang menjadi kegemaran anak-anak. Sebab apa Amie kata anak-anak gemarkan masakan ini? Sebab setiap kali masak ikan bubuh taucu anak-anak akan habis licinkan pinggan lauk, dan cari lagi di dapur kalau ada lebihan kuah di daam kuali! Mengolahnya pun tidaklah sesukar mana. Hanya perlu goreng ikan dan sediakan bahan-bahan untuk menumis taucu. Itu saja.
Tapi terlebih dahulu Amie ingin kongsikan gambar ikan alu-alu yang Amie ambil dari album Encik Google. Bukan apa, setiap kali Amie paparkan resepi ikan alu-alu, pasti ada yang bertanya.... macamana rupa ikan alu-alu itu? Nak paparkan ikan alu-alu yang dibeli, sudah siap dipotong dari pasar pulak, sebab semasa kami beli ikan itu, peniaga ikan tak mahu jual sekilogram tapi jual seekor yang beratnya 2.5 kg.  Wokey, rupa ikan alu-alu @ barakuda @ barracuda seperti di bawah ini yea...

Biasanya ada dua jenis ikan alu-alu di pasaran iaitu alu-alu ekor warna putih dan alu-alu ekor warna kuning. Katanya alu-alu warna kuning lebih sedap. Amie biasa beli kedua-dua jenis... tak peduli warna kuning atau putih tapi memang benarlah kalau alu-alu ekor warna kuning isinya lebih sedap... tapi ikut citarasa masing-masinglah kaaann....Jom tengok resepinya yang mudah seperti di bawah ini:

Bahan-bahan:
4 keping ikan alu-alu (ikan apa-apa pun boleh) - lumurkan dengan sedikit garam dan serbuk kunyit
4 sudu makan taucu
2 ulas bawang putih - hiris
1 labu bawang besar - mayang bulat
3 biji cili merah - hiris nipis
2 cm halia muda - hiris seperti batang mancis
1 sudu teh pati asam jawa - bancuh dengan secawan air
garam / gula secukup rasa
minyak

Cara:
1. Goreng ikan alu-alu hingga masak. Angkat dan ketepikan.
2. Ambil 4 sudu makan minyak gorengan ikan tadi dan tumiskan bawang putih, cili merah, dan halia hingga terbit bau.
3. Masukkan bancuhan pati asam jawa dan biarkan kuah mendidih.
4. Masukkan ikan goreng tadi bersama bawang besar dan perasakan dengan garam dan gula.
5. Biarkan seketika dan padamkan api dapur.

Mari jodohkan Ikan Alu-Alu Masak Taucu ini dengan nasi panas! Bismillah....

Khamis, 23 April 2015

Resepi Amie's Little Kitchen dalam Majalah SAJI Edisi Mei 2015

Terima kasih berjuta-juta banyaknya buat pengarang Majalah SAJI, Mr. Joha Ahmad yang sudi menyiarkan 14 buah resepi dari dapur Amie di dalam Majalah SAJI Edisi Mei 2015.

Terima kasih yang berjuta-juta juga buat rakan blogger yang menjadi rujukan masakan Amie seperti DAYANG JACK....

Sebab... salah satu resepi yang tersiar ialah Resepi Kek Lumut yang Amie rujuk dari blog beliau. Kredit untuk Dayang Jack yea... moga Dayang Jack yang kini menyepi akan kembali aktif berkongsi resepi.

Dan yang seronoknya sebab Mr. Joha terpandang juga, dan memilih Kek Lapis Keju Masam Manis yang kelazatannya tiada tolok bandingannya untuk disiarkan.... he he heee!

Tidak ketinggalan buat KAK JEE... berjuta-juta kasih untuk Kak Jee sebab sudi kongsi Sambal Ijonya... dan Mr. Joha terpandang pulak dengan resepi Ikan Goreng Sambal Ijo itu!

Kawan-kawan jangan ketinggalan memiliki Majalah SAJI Edisi Mei 2015 ini yea... Selain resepi Amie's Little Kitchen, banyak lagi .Resepi dari dapur rakan-rakan blogger yang lain juga tersiar seperti Hafizah FIZA'S COOKING, Fauziah dari GEE HUT dan Evelyn Gemina dari MY BAKING WORKHOP. Jom terus meriah-meriahkan dunia masakan tanahair!

Selasa, 21 April 2015

Minum Petang dengan Sanggar Pappek @ Peppe'

Ini cerita pada 11 April 2015 lepas, tapi baru sempat dijadikan entri. Bersama-sama cerita tentang Sanggar Pappek ini, ada kisah lain di sebaliknya.... kisah bersama teman-teman belajar membuat buras, sejenis makanan tradisi masyarakat Bugis yang terkenal sebagai hidangan hari raya. Tak sambut raya pun boleh buat, dan boleh nikmatinya. Nantilah ye... ada kesempatan Amie akan paparkan juga kisah masak-masak itu...
Sanggar Pappek ini pula 'menyelit' di antara kerja-kerja membuat buras. Jom kita cerita dan kenali serba sedikit tentang Sanggar Pappek ini yea...

Inilah hasil Sanggar Pappek @ Peppe' @ Tumbuk @ Ketuk... pisang nipah (dalam bahasa kita), yang diketuk atau ditumbuk. Amie pun tak pasti mana satu ejaan yang betul, sama ada pappek, peppe', tumbuk atau ketuk!

Kawan-kawan yang sudi bertandang ke rumah pada petang Sabtu itu... walaupun letih selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pelajar di sekolah sehingga tengahari, tapi tetap bersemangat untuk berkumpul untuk menambah ilmu, belajar masakan tradisional. Nampak tak daun-daun pisang yang banyak di atas tu... terima kasih Misa sebab susah payah bawa daun pisang, terima kasih buat ayahanda Misa sebab sanggup carikan daun pisang itu yea... Daun pisang itu nanti akan digunakan untuk membalut isi buras. Gambar di atas itu... Kamsiah, rakan yang sangat rajin membantu sedang diikat tangannya oleh Waritie... he he hee tangan masuk kompek, takut kena getah pisang. Ini ceritanya nak kupas pisang laaa.... di samping kerja-kerja menyiapkan buras!

Sebaik-baiknya gunakan pisang tua, yang setengah masak, tapi masih keras. Kupas macam biasa dan kemudian lumurkan dengan sedikit garam.

 Lepas tu goreng pisang tadi, tapi jangan sampai garing pulak!
Pisang yang sudah digoreng tadi dibawa semula keluar... kami buat kerja di luar dapur. Ruang terbuka, dapat banyak angin sambil santai-santai di situ.

Ini dia... tukang ketuk pisang profesional... adik bongsu kesayangan gang XPDC, si Ramlee bah itu! Ramlee mula tunjuk skil memappek @ mengetuk pisang. Ramlee gunakan alu dan pelan-pelan mengetuk @ menumbuk pisang tadi....

 Haaa... inilah hasilnya pisang ketuk @ tumbuk itu... hasil tangan Ramlee.

 Katanya... hasil yang bagus pisang tak akan putus. Macam di atas tu...

Oh! Ramlee dikelilingi kawan-kawan yang ingin tahu rahsia membuat Sanggar Pappek! Memang cantik betul... intergrasi kaum... Ramlee keturunan Bugis dari Tawau, kalau tak silap Bugis Bone, maafkan daku kalau silap ye dik Ramlee. Misa di belakangnya yang berbaju biru juga keturunan Bugis, tapi lupa pulak... Bugis Andrekankah Misa?  Berbaju kuning (ikut lawan jam) Zana @ Nano... dia itu asalnya dari Perak & Pahang... alamak betulkah apa yang aku tulis ini Nano oiii! Yang bertopi tu Anwar, haaa... ini dia pendekar Bajau dari Semporna! Kamsiah pula, tak silap Bugis Andrekan juga... (maafkan daku kalau silap lagi Kam). Berbaju oren di sebelahnya itu... Ustaz Faiz, dari Kelantan, dan membelakangkan kamera berbaju merah itu Jamasri, yang selalu kusangka orang Dusun Kadazan, sekejap kusangka Bajau dan rupanya Jamasri keturunan Bugis!

Sambil membungkus buras, sambil pula menggoreng sanggar pappek, pisang yang sudah ditumbuk @ ketuk tadi di dapur (kalau tak silap Nano tukang gorengnya!)... dan kawan-kawan pun sambil-sambil pula mengetuk pisang bulat yang digoreng dan kemudian nanti akan digoreng semula sampai garing! Warite begitu bersemangat membungkus buras.... naaaa... Waritie sudah dapat anak murid pulak! Si Fauzan pun ikut belajar sama membungkus.... Faiz ikut mengikat! Nampaknya, hasil buras itu nanti bukan saja dari air tangan orang Bugis, tapi hasil bersama tangan-tangan dari Kelantan juga!

Kupas pisang, goreng pisang, ketuk pisang, goreng semula pisang jadilah Sanggar Pappek yang siap terhidang dengan sambalnya sekali. Sebenarnya Sanggar Pappek dihidangkan bersama sambal belacan atau sambal tomato. Adeeehhh.... sambil buat kerja, sambil menghirup teh o panas kurang manis.... sambil-sambil pula meratah Sanggar Pappek! Alangkah sedapnya! Sekarang kerja mempappek bertukar tangan, dari tangan Bugis asli, Ramlee ke tangan Anwar pulak! Ramlee sudah sibuk dengan kerja mengikat buras!

Sekadar cerita tentang Sanggar Pappek... tapi ia adalah sebuah kenangan... santai di petang Sabtu, yang tak mungkin kami dapat lupakan! Kerana kami tidak pasti... adakah suasana sebegini akan kami rasai lagi...

Ahad, 19 April 2015

Asam Pedas Ikan Patin

Selamat berhujung minggu buat semua yang sudi bertandang ke dapur Amie. Terima kasih buat pengikut baru, dan juga kepada sesiapa yang sudi mencuba resepi dari bawah tudung saji kita ni.... Buat teman-teman blogger yang sudi komen, terima kasih banyak kerana turut memeriahkan suasana di sini. In shaa Allah ada kesempatan dan peluang Amie akan bertandang ke rumah teman-teman. Maklum sahajalah, adakalanya disebabkan kesuntukan masa, ditambah pula dengan talian yang lambatnya mengalahkan perjalanan seekor siput, Amie hanya paparkan entri, dan kemudian terus tutup, tak sempat nak berjalan-jalan ke rumah kawan-kawan seperti dulu.
Seperti biasa, hari ini masak biasa-biasa saja memandangkan banyak benda lain yang nak dibuat, jadi tak boleh berlama-lama di dapur. He he heee.... nak main-main dengan Firdaus bah! Bujang kecilku itu pagi tadi bangun awal. Dia pulak bangunkan kita.... Mummy... Mummy... manun... katanya!

Sebelum Encik Suami keluar hantar Fuad ke kelas tuisyen, Encik Suami sempat ke dapur dan bila dilihatnya ada 2 ekor ikan patin di atas sinki dapur, terus dia berkata: Sedap ni kalau masak asam pedas. Alhamdulillah.... walaupun Amie tak sempat menyahut sebab Encik Suami terus tinggalkan dapur, tapi sekurang-kurangnya selesai satu masalah untuk fikirkan masakan apa yang nak diolah dengan ikan ini. Lagi pun, Fuad penggemar tegar ikan patin. Sesuai sangatlah tu, sebab balik dari kelas tiusyen pukul 12 nanti,  Fuad boleh terus makan tengahari.
Daun kesum tak ada... bunga kantan pun yillleeekkk.... jadi macamana nak jadikan asam pedas? Wokeeeyyy.... asam pedas tidak semestinya ada daun kesum dan bunga kantan, sebab bahan-bahan itu sebenarnya sebagai tambahan untuk timbulkan aroma dan penyedap citarasa. Lain negeri, lain daerah berbeza asam pedasnya. Bonda Encik Suami ada resepi asam pedasnya yang tersendiri bila masak ikan patin, tapi Amie tak boleh pula sediakan mengikut resepinya sebab tak ada cili padi. Unik dan menarik bukan... asam pedas masyarakat Melayu Cocos gunakan cili padi!
Jom kita cuba resepi asam pedas yang mudah, yang hanya gunakan bahan asas yang ada di dapur. Yang penting ada cili kering, bawang, belacan, halia, kunyit, serai.... Amie tambahkan daun limau purut (suruh Fairuz petik daun limau purut di tepi dapur) untuk aroma lebih segar, selain tambahkan satu sudu teh lada putih tumbuk. Siaplah sebelanga Asam Pedas Ikan Patin!

Masaklah asam pedas dengan penuh kasih sayang... dari hati yang tenang dan tenteram, in shaa Allah hasilnya sangat berbaloi dengan kesabaran anda. Bukan apa, sebenarnya untuk menghasilkan kuahnya yang lazat kenalah bersabar menanti bahan perencah atau bahan tumisan masak dengan sempurna dan sekata sehingga terbit minyak. Lepas tu, setelah ditambah air, biarlah mendidih lama sedikit agar kuahnya mesra dan sebati dengan bahan tumisan. Nak asam pedas berkuah pekat atau cair, itu terpulanglah. Amie suka dua-dua... pekat dan cair! Lada putih atau lada hitam itu, terpulanglah... tak gunakan pun tak apa. Amie masukkan juga sebab Amie suka. Gunakanlah kunyit hidup, sebab bila kunyit hidup bertemu halia dan serai dalam tumisan, wadeeeehhhh.... naik semerbaknya! Daun limau purut pula (kalau nak guna daun itu laaa), masukkan di saat akhir, jangan terlalu lama dimasak sebab nanti baunya tak berapa mengancam. Kita nak aromanya yang segar mewangi tu....

Bahan-bahan:
2 ekor ikan patin seberat 1.2 kg - bersihkan dan potong 5 bahagian setiap seekor
1 liter air
1 sudu teh pati asam jawa
1 keping asam gelugur
2 biji tomato - belah 4
2 batang serai - dititik
5 helai daun limau purut
1 sudu teh lada putih - ditumbuk
garam / perasa pilihan secukupnya
1/2 cawan minyak untuk menumis

Bahan kisar:
25 biji cili kering
3 ulas bawang putih
7 biji bawang merah
2 cm belacan
2 cm kunyit hidup
2 cm halia
Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga pecah minyak. Masukkan serai, pati asam jawa dan asam gelugur. Gaul sebati.
2. Masukkan air dan biar mendidih dengan api sederhana panas selama 10 minit atau lebih.
3. Kemudian masukkan ikan patin. Tambahkan lada putih.
4. Apabila ikan patin masak, masukkan potongan tomato dan biarkan seketika
5. Perasakan dengan garam / perasa pilihan secukupnya.
6. Akhir sekali masukkan daun limau purut dan kacau sekali dua, dan padamkan api dapur setelah daun limau purut berubah warna.

Seperti telah dijanjikan, sebaik sahaja siap masak untuk hidangan tengahari... Fuad pun sampai bersama ayahandanya. Apalagi... kami anak-beranak pun makanlah hidangan yang disajikan.... nasi panas berlaukkan Asam Pedas Ikan Patin. Alhamdulillah... rezeki Allah.

Donut & Kopi Hitam!

Jom sarapan pagi...

Resepi donut yang biasa-biasa saja.... tak ada yang istimewa, tapi tetap menyelerakan dijadikan santapan pagi yang ringan sebagai alas perut dengan secawan kopi panas! Bahannya pun tak susah nak cari, cuma kena selongkar dapur masing-masing.... ngeeee! Kebetulan ada tepung ubi kentang, Amie tambahkan 100 gram dalam adunan. Tak ada tepung ubi kentang pun ok, rasa tetap sama kalau gunakan tepung gandum.

Bahan-bahan:
500 gram tepung gandum
100 gram tepung ubi kentang 
1 paket yis mauripan - 11gram 
2 sudu makan mentega - cairkan
1 biji telur
4 sudu makan susu tepung
3 sudu makan gula pasir
1 cawan air suam
gula icing, atau gula halus

Cara:
1. Satukan gula pasir bersama air suam dan kacau hingga larut, kemudian masukkan yis mauripan. Ketepikan selama 10 minit.
2. Dalam sebuah bekas, masukkan tepung, susu tepung,telur, mentega cair dan juga larutan gula pasir bersama yis mauripan.
3. Gaul sebati sehingga menjadi doh, dan jika agak lembik tambahkan sedikit tepung di tangan supaya tidak melekat semasa menguli.
4. Banting-bantingkan doh beberapa kali dan kemudian rehatkan selama 40 minit  atau sehingga doh mengembang dua kali ganda dari keadaan asal.
5. Canai doh mengikut ketebalan yang diingini. Dan kemudian terap menggunakan penerap donut.
6. Goreng di dalam minyak yang banyak menggunakan api sederhana panas.
7. Apabila donut kelihatan kuning keemasan, angkat dan toskan.
8. Golek-golekkan di atas gula icing atau gula halus atau apa sahaja bahan manisan yang digemari.

Selamat berhujung minggu kawan-kawan....

Khamis, 16 April 2015

Udang Tumis Pedas Dengan Kacang Buncis

Assalamualaikum....
Mengait kelapa dapat sekarung,
Nyalakan seludang gunakan mancis,
Cara mudah masak sekali harung,
Tumis udang sama kacang buncis.


Masak tumis pedas udang dengan kacang buncis memang sungguh menyelerakan! Tak cukup pedas dengan cili merah, tambahkan cili padi pula! Waduh.....! Temukanlah menu ini dengan nasi panas... perrrgghhhh!

Bahan-bahan:
500 gram udang kertas - bersihkan - dan belah belakang - tinggalkan ekor - tarik uratnya
15 batang kacang buncing - bersihkan - potong sepanjang 3 cm
4 sudu makan minyak
1 sudu teh serbuk pati ayam
1 labu bawang besar - mayang kasar

Bahan kisar:
7 biji cili merah 
10 biji cili padi
2 sudu makan udang kering - rendam hingga kembang
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah

Cara:
1. Panaskan minyak  dalam kuali dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan udang dan gaul rata. Masak sehingga udang berubah warna.
3. Masukkan kacang buncis dan tutup kuali selama 2 minit.
4. Buka penutup kuali dan taburkan bawang besar serta serbuk pati ayam.
5. Kacau sekali dua dan padamkan api dapur.

Isnin, 13 April 2015

Terima Kasih Mr. Nuffnang!

Minggu lepas.... cuaca sungguh panas, dan peluh melekit di badan.
Menjelang tengahari, hujan turun dengan lebatnya.
Balik ke rumah, ada surat terselit di pintu pagar! 
Basah.... dan bila dibuka, rupanya dapat kiriman sekeping cek kiriman Mr. Nuffnang.... yang basah kuyup! Terpaksalah Amie keringkan dengan penuh hati-hati, takut terkoyak. Syukurlah bank tetap terima walaupun di kaunter keluar pertanyaan... cek basah ke?

Terima kasih Mr. Nuffnang. Ini kali pertama Amie terima...
Tak ingat bila masanya Farid pasang iklan dalam dapur maya ini.
Apa pun... rezeki Allah yang beri, walaupun tak seberapa tapi bolehlah diguna untuk keperluan maya...
Untuk Mr. Posmen... terima kasih sebab jalankan tugas hantar sampai ke rumah, tapi lain kali masukkanlah dalam peti surat yang menempel tepi tiang pagar tu, nanti taklah basah kuyup kalau hari hujan, atau diterbangkan ke tempat lain kalau angin bertiup kencang.

Rabu, 8 April 2015

Telur Itik Masak Lemak Cili Padi Sama Terung Pipit

Lama rasanya tak sembang dengan Bonda tentang telur-telur itik yang Bonda bersihkan setiap pagi. Entah berapa ratus biji yang dikutip setiap pagi... bertambahkah atau sudah berkurangkah jumlahnya? Cuma seingat Amie, memang telur-telur itik yang dikutip itu tidak sempat diasinkan sebab sudah ramai pelanggang menempah. Kata Bonda, orang kampung kami dan orang kampung berhampiran kampung kami juga sekarang ini kalau buat kenduri kahwin pun, sampai menempah 500 biji telur itik.... hah? Telur itik dibuat hidangan kenduri kahwin? Ya... kata Bonda. Oh! Mungkin dijadikan lauk untuk orang-orang yang datang rewang kot! Atau selera orang sekarang sudah mula berubah... tak semestinya menghidangkan nasi minyak semasa majlis kahwin... entahlah!

Telur Itik Masak Lemak Cili Padi Sama Terung Pipit ini Amie olah petang tadi, untuk hidangan malam kami. Amie ikut cara Bonda masak.... pecahkan telur ke dalam air mendidih, dan biarkan masak seketika. Kemudian angkat telur tadi, dan kemudian barulah dimasak bersama bahan-bahan lain. Untuk dapatkan rasa yang enak, gunakanlah santan pekat ye... santan dari kelapa segar, dan bukannya dari serbuk kelapa atau santan kotak. Tapi itu semua terpulanglah pada citarasa dan kesenangan masing-masing. Gunakan cili padi kampung, dan juga kunyit hidup. Barulah nanti timbul aromanya yang tersendiri! Jangan lupa siat sedikit daun kunyit dan masukkan bersama bahan masakan tadi.
Oh!.... Hampir terlupa nak cerita tentang bahan tambahan yang Amie bubuh dalam masakan ini. Amie goreng terung pipit hingga layu, dan kemudian campurkan dalam masakan tadi. Adeeeehhhh..... wadeedeeeehhhh!
Ketika makan, Fuad sangka terung pipit itu kacang peas! Bila dia gigit... dia kata kenapa rasanya lain?

Bahan-bahan:
4 biji telur itik
1 cawan terung pipit - pisahkan dari tangkainya
250 ml santan pekat 
1 helai daun kunyit - siat-siat
1 batang serai - diketuk
garam / perasa pilihan secukupnya

Bahan tumbuk:
10 biji cili padi kampung
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
1/2 sudu teh belacan
2 cm kunyit hidup

Cara:
1. Didihkan air di dalam periuk. Pecahkan telur itik dan rebus sebiji demi sebiji sehingga masak. Keluarkan dan toskan.
2. Goreng terusng pipit hingga layu. Keluarkan dari kuali dan toskan minyaknya. Ketepikan.
3. Masukkan santan pekat ke dalam periuk. Campurkan kesemua bahan tumbuk, daun kunyit dan serai.
3. Jerang di atas api sederhana. Masukkan telur itik dan masak sehingga kuah mendidih. Kacau supaya tidak pecah santan.
4. Akhir sekali masukkan terung pipit yang sudah digoreng tadi bersama garam / perasa pilihan.
5. Padamkan api dapur.

Selasa, 7 April 2015

Ekspedisi Menawan Puncak Kinabalu (Episod 20) : Sekian & Jumpa Lagi!

Ini episod terakhir.
Episod  ke-20 catatan tentang ekspedisi mendaki gunung Kinabalu, yang meleret sehingga ke pulau, sampailah kami selamat sampai ke LD lewat pukul 3 pagi pada 19 Februari 2015. Kalau diimbas kembali memang tak cukup tangan Amie nak tulis... tapi secara ringkasnya, kami bertolak dari Kota Kinabalu pada sebelah petang, ada masalah tayar van dan kami berhenti seketika untuk menyelesaikan masalah tersebut di sebuah kedai.... kedai terakhir akan ditutup sebab esoknya sambutan Tahun Baru Cina akan bermula! 

Waktu itu... bateri kamera pun sudah lemah... habis khidmat untuk tuannya! Bateri telefon pun sama juga, bukan Amie seorang... kawan-kawan pun sama! Memandangkan Junizam tidak boleh memandu disebabkan kakinya yang masih sakit, kami bergantung sepenuhnya kepada James. Adeeeehhh.... bayangkan James, yang tidak pernah sedikit pun mengeluh, memandu van sebaik sahaja turun dari gunung, terus ke Kota Kinabalu. Kemudian akan memandu dari Kota Kinabalu ke LD... oh! Semua orang dapat rasakan betapa kuatnya semangat James! Kami berhenti di Kundasang, berhenti untuk menunaikan solat dan membeli sayur-sayuran dan buah-buahan. Ketika itu, hari sudah malam. Dan... sepanjang perjalanan dari Kundasang kami sengaja membuat riuh rendah dengan pelbagai permainan bersahut-sahutan supaya James tidak mengantuk. Ramlee ... yang duduk di depan Amie sudah 'mematahkan lehernya' awal-awal lagi, dan entah suara kami mengganggu lenanya entah tidak, kami tak tahulah.... Tapi, tidak lama kemudian suara-suara jadi hilang lenyap! Dan Amie pun tak sedar... kami berhenti di hadapan restoran. James berehat, tidur sebentar dan kami masuk ke bilik air. Lepas tu sambung lagi perjalanan sampailah LD!

Seminggu kemudian pada 26 Februari, kami sepakat ingin mengadakan bacaan doa selamat, bacaan Yasin dan tahlil untuk arwah Cikgu Munim.... yang kami sudah anggap sebagai seorang abang, salah seorang pentadbir yang sangat berwibawa, berpengalaman, kuat bekerja, tenang dan yang paling kami kagumi kerana beliau dikenali sebagai seorang yang sangat penyabar!

Amie cuba cari gambar-gambar arwah yang sempat Amie rakam, di antara berpuluh ribu gambar masakan yang tersimpan dalam folder. Gambar ini diambil sempena sambutan Aidil Fitri yang diadakan di sekolah pada tahun lepas.

Ini pula sewaktu Cikgu Munim menjadi salah seorang pengadil pertandingan masak-masak di sekolah. Ini bukan gaya pengadil lagi ni... Cikgu Munim memang benar-benar ingin menikmati keenakan menu soto!

Ini pula semasa sambutan hari guru peringkat sekolah.... teringat kata-kata beliau: Cikgu Salami kalau menyanyi Lagu Negaraku dalam perhimpunan kalah suara murid! He he heee... betul tu! Nampaknya Amie memang memiliki suara yang kuat! Bukan merdu.... hiks!

Gayanya... memang sentiasa begitu terutama ketika mesyuarat. Merenung, memikir dan paling akhir bersuara... tapi tiap patah perkataan yang diucapkan sentiasa penuh makna dan didengar oleh semua!

Beliau sentiasa melayani setiap karenah kami, mendengar dengan bersungguh-sungguh apa sahaja masalah yang kami timbulkan, dan kemudian cuba memberikan jalan penyelesaian. Pyan kata.... sekarang Cikgu Munim berehat.... berehat dengan aman, sebab kata Pyan... selama ini Pyan melihat Cikgu Munim penat bekerja... siang dan malam, tidak cukup tidur, dan tidak cukup rehat! Benar itu Pyan...memang benar! Sewaktu Amie menjadi 'jirannya' beliau sendiri mengatakan tidur pada pukul 3 pagi, dan bangun pukul 4.45 pagi untuk bergegas ke sekolah. Ya... Pyan banyak bercerita tentang ketekunan dan kegigihan beliau ketika bersama-sama bertungkus-lumus untuk menyelesaikan 2 tahun pengajian di peringkat sarjana. Oh! Hanya guru sahaja yang memahami tugas seorang guru... apalagi jika guru itu seorang penolong kanan di sekolah. Kebetulan pula setelah memiliki sarjana,  beliau sambung belajar lagi untuk memiliki Diploma Kepengetuaan, dan Alhamdulillah hajatnya sudah terlaksana. Cuma satu lagi... beberapa kali beliau suarakan kepada Amie... Salami, marilah sama-sama ambil Ph.D.... Oh! Cikgu Munim ambillah... saya tak laratlah cikgu... selesaikan masters dulu pun dah setengah mati! Cukuplah setakat ini dulu... nanti dah tua-tua lepas pencen baru saya ambil Ph.D ha ha haaa....!

Tahun depan saya akan pindah sekolah.
Saya sedang tunggu surat arahan pindah.
Tahun depan saya tidak ada lagi di sekolah ini.... itu kata-kata yang sering beliau ucapkan sewaktu bersama-sama menikmati sarapan di kantin, atau ketika duduk-duduk di bangku bersebelahan pintu bilik guru. Kemudian beliau tergelak perlahan.
Kami sahut...
Kami nak ikut cikgu.
Kalau cikgu jadi pengetua di sekolah lain, bawalah kami bersama.
Kalau cikgu jadi pengetua, janganlah jahat dengan kami...
Dan Cikgu Munim tetap senyum-senyum mendengar ocehan kami.
Rupa-rupanya... memang benarlah seperti apa yang diperkatakannya. Cikgu Munim memang berpindah... Cikgu Munim berpindah dari sekolah kami! Cikgu Munim berpindah dari alam nyata ke alam barzakh!  

Petang Khamis itu... 26 Februari 2015... rakan ekspedisi pertama yang tiba di rumah Amie... Kamsiah di bawah ini:

Bertungkus-lumus Kamsiah menggulung popia! banyak cantik aku kan? Main arah-arah saja ha ha haaa...

Lepas tu muncul Nano... hah! Apa dibuatnya tu? Jenuhlah Nano memotong sepanjang petang tu... nak buat acar! Tapi nasi belum dimasak lagi.... Bila kawan-kawan tanya, nak masak nasi apa kak? Amie jawab... tengoklah apa bahan yang ada... memang tak terfikir nak masak nasi apa! Ini kira sudah bagus... acar siap dulu, nasi kemudian fikir!

Akmi dan Misa pun sampai... Pyan pun ada. 

Ini dia Mimie... yang berjanji akan cuci piring lepas makan kah kaha kaaahhh...

Fauzan dengan ceritanya... apa ceritanya tu?Kalau tak silap Fauzan bercerita tentang kejadian api dapur menyambar tangan dan mukanya...  kan Fauzan?

Terima kasih Azman kerana sudi datang... jauh tau tempat tinggal  Azman, tapi demi semangat kumpulan yang kental, sanggup Azman meluangkan masa bersama kami.

Aturcaranya... solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan bacaan Yasin, dan tahlil....

Allahu Akbar!
Ya Allah... sesungguhnya dengan izin-Mu jua kami dapat melihat alam maya ini dengan penuh rasa ketakjuban... dari darat ke gunung terus meredah lautan... semoga apa yang kami saksikan akan menambah taqwa kami kepada-Mu yang Allah. Sesungguhnya kami teramatlah kerdil di tengah-tengah kebesaran-Mu! Syukur pada-Mu ya Allah kerana memberi peluang kepada kami melihat keindahan alam semesta, pergi dan kembali dengan selamatnya. 

Marilah menempuh kejayaan.....

Wah! Hidangan sudah tersedia...
Terlebih dahulu Amie ucapkan terima kasih berjuta-juta kerana rakan-rakan memberi sumbangan... walaupun sebenarnya Amie tidak mengharapkan, disebabkan memang Amie selalu adakan majlis bacaan Yasin di rumah bersama keluarga. Apa pun... Amie terima dengan rasa ikhlas sebab mereka memang ikhlas mengumpul dana untuk majlis pada malam tersebut. Jadinya... bila ditambah dengan hidangan yang Amie sediakan, banyaklah menu yang tersaji pada malam itu...

Antaranya... menu Ayam Masak Batu Hitam....

Bell pula sibuk menyiapkan minuman... Jus Oren Tropicana Batu Kuning! Ha haaaa...... sebenarnya kami sepakat menamakan setiap menu dengan nama-nama sempena peristiwa dan objek yang kami temui sepanjang ekspedisi... yang meninggalkan kesan manis dalam hidup kami! Cerita pasal batu kuning ini... memang kami tak boleh lupa menyeret kaki berkilo-kilo meter menuju ke Laban Rata mengikut laluan batu-batu bewarna kuning!

Darwisah dan Akmi sedang menyusun Popia Tangga Bersusun... sempena peristiwa menyusuri anak-anak tangga ketika pendakian, dan teringat betapa sakitnya lutut dan kaki ketika menuruni tangga bersusun menuju ke Pondok Timpohon dalam keadaan hujan!

Minta maaf kawan... Amie nak buat Mango Casablanca tapi hampir 5 hari berpusing mencari mangga di seluruh LD, sebiji pun tadak!.Amie gantikan dengan buah pic... jadi menu Pic Casablanca Laban Rata!

Wah! Nampak bertingkat-tingkat Popia Tangga Bersusun!

Inilah dia nasi yang dimasak... kami menamakannya Nasi XPDC!

 Alhamdulillah... rezeki kami pada malam itu....

Pandai ko lipat popia ye Kamsiah... pandai ko goreng popia ye Nano! 

 Mmmmm.... tak sabar nak makan!

 Ada lagi ni.... Sate Ayam Pulau Sapi.... laaaaa... dah sate ayam ada sapinya pulak. Hantam sajalah labu.... koran jugak yang namakan menu tu begitu kan...ahaks!

Ini acar yang Nano potong sepanjang petang... katanya ini Acar Timpohon. Wokeh... ada kenangan di Pondok Timpohon tuh!

Ayam Batu Hitam ni... dah tak nampak rupa sebab dah tertimbus dengan pelbagai aksesori termasuk bunga kantan, daun ketumbar, hirisan mangga dan juga sos ...

Ini Udang Kam Heong Balsam... ho hohoooo... teringat peristiwa sarapan pagi sebelum mendaki di Balsam Restaurant!

Fauzan pula ringan tulang sediakan puding.... terima kasih Fauzan. Malam itu kami ramai-ramia namakan puding ini sebagai Puding Kabus Kinabalu!

Jom kita makan... Bismillah...

Baca doa dulu ye kawan-kawan...

Ustaz Za Fauzan khusyuk membacakan doa.... Allahumma bariklana fima razaktana waqina azabannar... amin.

Makan Akmi... jangan segan, jangan malu....


Moga gembira menikmati hidangan yang disajikan....

Selamat menikmatinya....

Tambah ye James... jangan malu-malu bah...

Ko jumpa bebek mainan Firdaus pulak ye Bell... ha ha haaa

Selalunya Johnny tukang sponsor sate... kali ini berikan peluang Johnny makan sate puas-puas!

He he heee...memang pandai Akmi menempatkan dirinya!

Harap semuanya berpuas hati pada malam itu.

Seronok tengok kawan-kawan makan. Misa... nanti ko limpang-limpang lagi di dada Gunung Kinabalu tu yea... cantik gambarmu itu...

Apa agaknya aksi yang boleh kita fikirkan selain aksi Misa di atas tu ha....


Wokeh... Fauzan... selamat menjamu selera! Fauzan tanya resepi Nasi XPDC tu... alahai, dah tak ingat apa benda yang dicampak masuk dalamnya... kita buat resepi barulah Fauzan yea... haaa... satu lagi, bila kita nak buka kedai makan he he heee.

Ini adik bongsu kesayangan kami... yang kuat semangat, dari gunung sampai ke pulau... Tidur sendirian dalam van ketika ahli kumpulan bermain bowling... dan membuatkan kami tertoleh-toleh ke belakang melihat kesungguhannya berjalan walau kakinya dalam keadaan sakit!

Anwar kata dia habiskan 1/2 kilo udang... ha hahaaa... kalau ko suka, makan jak laaa... Terima kasih Anwar sebab sudi makan udang, dan tunjukkan kulit udang penuh satu pinggan! Nanti kita panggang-panggang udang di Semporna pulak ya Anwar.

Ijat... moga terus sihat, dan mendaki lagi untuk tahun-tahun berikutnya! banyak rupanya cerita budak ni... tiap kali terserempak semasa mendaki, ada saja kisahnya yang kami kongsi....

Jamasri @ James... terima kasih berjuta-juta sebab sanggup bawa kami dari LD ke KK dari KK ke LD dengan selamatnya. Moga Allah kurniakan ganjaran besar buatmu...

Azman... walaupun tidak lagi di bawah bumbung yang sama, tapi diharapkan selepas ini tetap bersama kami! Terima kasih sebab sporting!

Faiz... lepas turun gunung, kena jaga badan pulak dah... he he hehe selamat menjadi ayah! Moga dikurniakan cahayamata yang sihat walafiat... amin.

Terima kasih ... Johnny sudi hadir malam itu... Johnny merupakan pencetus idea mendaki gunung bersama Cikgu Munim....

Cynthia... orang terakhir sampai pada malam itu!
Sebenarnya ada dua orang lagi yang tidak dapat hadir iaitu Jill...terpaksa ke Kudat membawa pelajar mengikuti aktiviti kokurikulum.

 dan juga Junizam, yang terlibat melatih pelajar untuk aktiviti sukan.

Dan Bell... apa pula yang Bell buat di tangga tu?

Amboi!! Comelnya.... Bell bawa aiskrim dan bekas contongnya sekali...

Bertambah cute adik bongsu kami ini dengan aiskrim coletnya!

Malam itu... terasa sungguh kelucuannya... masing-masing dapat asikrim colet yang disediakan oleh Bell! Ha haaa... bila dikenang kembali memang mahu ketawa saja....

O'oooo... majlis belum habis tau... ada orang sambut birthday malam tu!

Nano... dengan kek harijadinya!
Selamat ulang tahun Nano... moga bahagia selalu, ceria, panjang umur, dimurahkan rezeki dan bertambah ketaqwaaan kepada Allah!





Usia ke berapa Nano? Biarlah rahsia.... ha ha haaa... yang penting terus awet muda giteww...

 Ada yang melucukan kot... sampai tergelak besar kawan-kawan.

Apa agaknya lagu yang dinyanyikan kawan-kawan tu...

 Moga Nano rasa gembira pada malam itu... kita raikan ulang tahunnya bersama-sama!

Majlis pun selesai... kawan-kawan yang lain membantu membersihkan pinggan mangkuk, Cynthia pula habis satu rumah disapunya... sampai ke dapur! Apa pun terima kasih ye Cynthia dan kawan-kawan!

Kawan-kawan,
di samping kita bergembira... sebenarnya pada malam itu terlintas dalam ingatan tentang arwah abang kita yang telah pergi meninggalkan kita untuk selama-lamanya.Pemergiannya pada 30 November 2014 masih lagi kita rasai... dan ketika kita menjamu selera, di tempat yang sama beliau pernah ada di situ....

Ya... ketika itu hari raya, beliau berkunjung ke rumah... dan dinding kayu di belakangnya belum dicat seperti dinding yang kawan-kawan belakangkan pada malam itu! Jadi... sebenarnya beliau tetap bersama kita.... Semoga doa ikhlas untuknya akan Allah sampaikan padanya.

Sesiapa yang pernah bekerja bersamanya akan mengatakan betapa beruntungnya mempunyai seorang penolong kanan yang begitu penyabar, tenang dan banyak membantu menyelesaikan segala masalah. Dan sudah semestinya pemergiannya memberi kesan mendalam kepada kami yang ditinggalkan...
Darwisah... sudah tentu akan mengenang beliau selama-lamanya sebagai seorang insan yang berhati mulia, sehingga beberapa kali Amie terdengar Darwisah menyuarakan.... orang yang baik cepatnya dipanggil Tuhan!

Dan Kamsiah... membawa semangat Cikgu Munim sehingga berjaya menawan  puncak Gunung Kinabalu... Kamsiahlah guru wanita pertama yang menyahut cabaran beliau!

Amie minta maaf... 
Kawan-kawan ekspedisi... sebenarnya masing-masing ada kenangan bersama beliau, tapi sayangnya kita tidak sempat kongsikan bersama.
Anwar dan Mimie yang pada mulanya sangat sedih dengan berita mengejut pemergian Cikgu Munim, akhirnya bertekad menguatkan semangat meneruskan hasrat dan cita-cita Cikgu Munim.

Tahukah kalian... kita telah melalui jejak-jejak yang pernah Cikgu Munim lalui suatu ketika dulu... dan kita telah menyudahkan hasratnya itu...

Walaupun Amie berpatah balik turun ke Laban Rata... tapi sekurang-kurangnya  sampai juga ke sini suatu masa dahulu! Teringat kata Cikgu Munim... daki saja, sampai tak sampai itu belakang kira!

 Apa pun semuanya hanya tinggal kenangan.....

Hanya tinggal kenangan... setelah kutinggalkan dunia pentadbiran yang penuh cabaran, Cikgu Munim pula meninggalkan kami buat selama-lamanya!

 Sekadar berkongsi gambar kenangan bersama arwah...

Dia sudah tiada lagi... jauh... jauh... jauh..... selama-lamanya!

Seorang Sahabat (Jatt Black Dog Bone)
Telah hilang takkan pulang
seorang sahabat setia
yang menjadi pembimbingku
semasa hayatnya masih ada

Belum sempat ia melihat
kugenggam cita dan harapan
yang disemai agar aku
berjaya menempuh hidup

Datang pula khabar pilu
membuat aku tersedu
ia pergi lebih dulu
menyahut panggilan Ilahi

Tidak dapat kumembalas
segala jasa dan budinya
hanya doa tulus ikhlas