ADSENSE

Sabtu, 12 Julai 2014

Bulan puasa rasa rindu... rindu nak makan Nasi Kuning!

Ketika sama-sama memilih barang-barang dapur di pasaraya, Amie tanya Encik Suami, apalah yang nak dihidangkan untuk anak-anak waktu buka puasa nanti. Buat nasi kuning pun boleh.... selamba saja Encik Suami bersuara. Agaknya dah lama tak makan nasi kuning kot! Maklumlah Nasi Kuning memang hidangan sarapan pagi yang terkenal di Negeri di Bawah Bayu. Okeylah, tak dapat makan sebelah pagi makan waktu berbuka puasa pun kira okey kaaannn....


Nasi Kuning
Bahan-bahan:
5 pot rice cooker beras bashmati
1 batang serai - dititik
3cm halia - hiris halus
1 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh garam
500ml pati santan

Cara:
1. Didihkan air dalam periuk pengukus.
2. Masukkan santan bersama serai, halia, serbuk kunyit dan garam ke dalam kuali. Buka api dapur dan biarkan sehingga mendidih.
3. Masukkan beras dan kacau sekali-sekala sehingga beras kembang dan mengering.
4. Pindahkan beras dari kuali ke dalam periuk pengukus.
5. Kukus selama 15-20 minit atau sehingga nasi masak.


Kalau nak hasil nasi kuning yang lebih sedap, gunakan beras biasa atau beras wangi dan campurkan segenggam beras pulut. Rasa nasi yang agak melekit dengan pulut itu yang selalu menambahkan selera bila dimakan bersama sambal ikan tambah lagi kalau ada serunding! Cadangnya kelmarin (semasa menyediakan Nasi Kuning ini), Amie nak campurkan beras biasa dengan beras pulut, tapi bila selongkar sana sini tak jumpa pula beras pulutnya! Entah di mana Amie simpan. Akhirnya Amie gunakan beras bashmati saja. Banyak kali juga Amie kongsi entri Nasi Kuning, kalau rajin carilah di bawah label Aneka Hidangan Nasi. Amie kongsikan salah satu entri DI SINI.


Hidangan Nasi Kuning memang cukup sedap kalau ada sambal ikan, tapi bertambahlah sedapnya jika rajin buat serunding dan sediakan sup!


Amie tambahkan lauk ayam goreng yang ringkas, bubuh rempah sedikit bersalut sedikit tepung. Siapa sanggup tolak ayam goreng? Anak-anak yang tak sanggup.... Amie & Encik Suami tolak 'dulu' ayam goreng sebab nasi kuning lebih sedap berlauk sambal ikan! He he hehehe.... Kita tengok resepi sambal ikan tenggiri di bawah ini:

Sambal Ikan
Bahan-bahan:
3 keping ikan tenggiri - saiz besar
garam secukupnya
gula secukupnya
1 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu makan asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
minyak

Bahan kisar:
15 biji cili kering
5 biji bawang putih
7 biji bawang merah
1.5cm belacan
1 batang serai

Cara:
1. Lumurkan ikan tenggiri dengan garam dan kunyit. Goreng hingga masak. Ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Tumis semua bahan kisar sehingga terbit minyak.
3. Masukkan pati asam jawa.
4. Masukkan ikan tenggiri yang telah digoreng. Biar masak sehingga kuah memekat.
5. Masukkan garam dan gula secukupnya.
6. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.


Alhamdulillah....


1 ulasan:

Bicara Kak Noor berkata...

cantik nasi lemak kukus ni pasti sedapppp bangattt Mie teliurrr