ADSENSE

Isnin, 15 Januari 2018

Sambal Paru

Jumpa lagi.
Lama tak kongsi sebarang resepi.
Maklumlah, anak teruna sering ambil alih tugas memasak. 
Biarlah dia masak apa yang dia suka. Siap masak, dia hidang atas meja, kita datang terus suap dalam mulut!
Alhamdulillah. Masak apa pun, kita tak pernah bersungut. Syukur ada anak teruna 17 tahun yang rajin ringankan tugas di dapur!
Petang tadi sempat jengok dapur sebab teringin nak makan sambal paru! Sambal paru memang cukup sedap kalau digandingkan dengan nasi lemak. Sayangnya, tak ada pula nasi lemak di petang hari. Makan sajalah dengan nasi putih....hiks!
Amie olah sambal paru ikut selera keluarga. Seperti biasa, sebagai lauk nasi lemak (kononnya) Amie juga gunakan bahan yang sama sebagaimana kebiasaan membuat sambal ikan bilis, atau sambal udang yang juga digandingkan dengan nasi lemak. Jadinya, Amie tambahkan belacan di dalam sambal paru ini. Kalau tak bubuh pun, tidak mengapa sebab bukan wajib, tapi sekadar pilihan sahaja.

Bahan-bahan:
400 gram paru 
2 batang serai - dititik
2 keping asam gelugur
1 labu bawang besar - hiris kasar
minyak
serbuk kunyit /garam / gula melaka / perasa pilihan secukupnya 

Bahan kisar:
30 tangkai cili kering
10 biji bawang merah
5 biji bawang putih
1 sudu kecil belacan
1 cm halia 

Cara:
1. Rebus paru hingga empuk.
2. Angkat dan toskan. Hiris nipis.
3. Gaul paru dengan satu sudu kecil serbuk kunyit dan satu sudu kecil garam.
4. Panaskan minyak dan goreng paru tadi. Amie inginkan paru goreng yang tidak garing, jadi Amie goreng sebentar sahaja dan kemudian angkat, serta toskan paru goreng tadi.
5. Tinggalkan lebih kurang 1/2 cawan minyak bekas gorengan paru tadi di dalam kuali.
6. Tumis bahan kisar hingga wangi, dan tambahkan serai, gula serta asam keping. Gunakan api sederhana dan biarkan sehingga pecah minyak.
7. Masukkan paru goreng dan gaul rata. Jika terlalu kering, tambahkan sedikit air panas.
8. Tambahkan hirisan bawang besar, garam dan perasa pilihan.
9. Kacau beberapa kali sehingga bawang besar layu, dan padamkan api dapur.

Gambar pun tak berapa terang, sebab dah hampir senja baru siap masak! Apa pun sambal paru ini memang sedap!

3 ulasan:

Gee® berkata...

Sedapnya sambal paru... nyums!

ujie othman berkata...

saya suka sambal paru...sedapnya tengok gambar ni!

bagusnya ada anak teruna rajin kat dapur.

Amie berkata...

Gee,
sedap ratah2 gitu jew.

Ujie,
alhamdulillah... bolehlah mommy dia rehat2 huhihiii