ADSENSE

Rabu, 2 Disember 2015

Ikan Ekor Kuning Masak Brengkes

Petang tadi, Encik Suami jinjing bungkusan terus bawa ke dapur. Kita tengah menyeterika alas meja sambil tengok televisyen. Bila keluar semula ke ruang tamu, kita tanya.
- Beli apa?
+Ikan.
-Ikan apa?
+Ikan kembung.
Malas nak tanya lagi. Kembung kecik ke kembung besar? Kenapa asyik beli ikan kembung. Tak ada ikan lain ke? Ni mesti beli kembung yang dah pecah perut! Ni mesti kena tipu lagi oleh penjual ikan. Nampak ikan tersusun cantik, tapi bila kita beli, main sodok je ddari bahagian bawah ikan yang sudah sedia buruk!  Argh..... bila teringat Bonda selalu pesan jangan banyak membebel kalau suami pulang dari kerja, kita pun diam-diam sajalah. Kembung pun kembunglah. Bolehlah masak asam pedas. Yang penting air basuhan ikan kembung tu nanti boleh siram kat pokok selasih dan pokok limau purut, limau kasturi dan limau kapas. 

Mmmm.... lauk dah siap! 
Ada rupa ikan kembung tak?
Bila kita ke dapur, kita tengok bukan ikan kembung yang Encik Suami beli.
Ada dua jenis ikan... tapi susah benarlah nak cerita nama ikan ni. Nak senang cerita, yang dibelakang tu ikan Uji Rashid. Entahlah.... dari mana dapat namanya, sebab pernah dengar mata ikan ni bulat besar macam mata Uji Rashid. Yang di depan pulak MIL panggil ikan buntut kuning sebab ekornya kuning kot. Kalau di pasar, penjual ikan panggil ikan sulig. Kalau jengok Wikipedia, katanya nama ikan ni ikan ekor kuning, juga disebut ikan suli atau ikan sulih, atau juga ikan suliri dan ada juga disebut ikan sunin. Orang tempat kita sebut ikan apa ehhh....

Sewaktu hayat MIL masih ada, MIL selalu gunakan ikan ekor kuning ini untuk membuat serunding. Adeeehhh.... dah 9 tahun MIL tinggalkan kami! MIL pandai pilih ikan kalau ke pasar. Katanya ada jenis ikan kaku kejang, dan ada jenis ikan yang lembut isinya. Entahlah.... tak sempat menuntut ilmu.... patutlah kadang-kadang terjumpa ikan kejang keras bila digoreng!

Kita berkira-kira nak masak brengkes, masakan kegemaran keluarga MIL. Walaupun MIL tak berapa gemar gunakan ikan ini untuk masakan brengkes, tapi kita cuba saja, sebab beberapa kali pernah termakan brengkes ikan ini di tempat kenduri. Dua benda yang kita ingat sangat kalau nak masak brengkes ini ialah penggunaan kepala santan dan juga jus limau nipis. Itu bahan wajib! Masak sehingga pecah minyak. Masak dengan penuh hati-hati macam MIL selalu buat! Kalau nak terbalikkan ikan, MIL buat perlahan-lahan supaya ikan tak pecah!

Yang penting, air basuhan ikan kita nak siram kat tanam-tanaman di sekeliling rumah terutamanya pokok sweet basil. Encik Suami yang tolong siramkan pokok-pokok ini memandangkan kita tengah sibuk di dapur. Alhamdulillah, akhirnya nampak hasilnya berkat kesungguhan siram pokok sweet basil ini dengan air basuhan ikan. Gambar di atas baru kita ambil petang tadi. Gambar di bawah kita ambil sebulan yang lalu.

Wokey.... kita cerita tentang menu Ikan Ekor Kuning Masak Brengkes pulak. Tengah tumis bahan perencahnya, Encik Suami masuk dapur....
Mmmm... sedapnya bau! Katanya.
Itu bau tumisan perencah bercampur ketumbar. Gunakan ketumbar biji yang dikisar bersama cili kering dan bawang dan bukannya serbuk ketumbar.
Agaknya teringat masakan ibunya kot. Apa pun, jom kita lihat resepi warisan MIL di bawah ini.

Bahan-bahan:
2 ekor ikan ekor kuning - bersihkan 
3/4 cawan santan pekat - ambil kepala santannya sahaja
1  sudu besar serbuk kunyit 
2 biji limau nipis - perah jusnya 
garam / perasa pilihan
1/2 cawan minyak

Bahan kisar:
5 biji cili kering 
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
3 sudu besar biji ketumbar 

Cara:
1. Goreng ikan separuh masak - angkat dan ketepikan
2. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga pecah minyak menggunakan api sederhana panas.
3. Masukkan serbuk kunyit dan gaul rata.
4. Masukkan ikan dan tuangkan santan pekat.
5. Masak sehingga kuah mulai pekat dan keluar minyak. Jangan selalu diterbalikkan ikan kerana isi ikan yang lembut (setengah masak) akan pecah. Gunakan api perlahan.
6. Tambahkan garam / perasa pilihan.
7. Akhir sekali tuangkan jus limau nipis dan balik-balikkan ikan perlahan-lahan.

7 ulasan:

tiga lalat berkata...

wahh sedappnyer ikan kuning emas tuuu., ;p

LiNa_Pg berkata...

Kak amie..saya pernah tau dan x kenal ikan ekor tu macam mana..ingtkan tempat saya nama lain.Tapi ternyata..tadak kat sini..agaknya mendarat di LD saja kot hehee..
Sedap tu Masak Brengkas..nnt boleh tiru tp kena guna ikan lain hehee

Kakzakie Purvit berkata...

Kakak kalau dpt macam ini ratah pun kakak suka tau:)

Datin Sitie berkata...

nampak sedap dan menyelerakan..

Wattie berkata...

Assalamualaikum Amie sayang,
Kita surrender siap2, bab nama2 ikan mmg fail. Tapikan,ikan apapun kalau Amie yg masak mesti best in the world.

Wattie berkata...

Assalamualaikum Amie sayang,
Kita surrender siap2, bab nama2 ikan mmg fail. Tapikan,ikan apapun kalau Amie yg masak mesti best in the world.

kasihilmar.com berkata...

Amie, terbaik!