ADSENSE

Rabu, 18 September 2013

Asam Rebus Ikan Susu @ Bolu @ Milkfish

Biasanya kalau ada ikan bolu @ ikan susu @ milkfish, Amie suka masak rebus dengan kunyit saja, atau kalau ada kerajinan Amie akan panggang dan kalau terlebih rajin Amie akan masak asam pedas. Sayang nak masak lebih dari beberapa jenis olahan yang Amie sebutkan sebab takut hilang rasa enak isi ikan bolu yang lembut walaupun ada tulang-tulang halus di dalamnya. Bukan apa, Amie suka rasanya yang lemak terutama di bahagian perutnya, maklum sajalah di Sabah setakat ini Amie belum jumpa ikan terubuk, jadi sekurang-kurangnya terubatlah selera bila terjumpa ikan bolu yang rasanya ala-ala ikan terubuk. Sesekali ada juga terjumpa ikan terubuk di coldstorage, dan itu pun didatangkan dari Sarawak. Syukurlah... kalau ada memang Amie suka beli, dan panggang sampai meleleh-leleh minyak! Sayangnya, entah berapa tahun sejak belakangan ini tak jumpa pula walau seekor ikan terubuk dari Sarawak seperti dulu.
Panjang berjela pula mukadimah Amie kali ini. Terus kepada cerita yang hendak disampaikan ye, sebenarnya Amie ingin kongsi menu Asam Rebus Ikan Susu atau masyarakat di sini memangilnya sebagai ikan susu. Orang putih panggil 'milkfish', orang Filipina pula sebut ikan 'bangos' dan Amie difahamkan di Indonesia pula ikan ini dikenali sebagai ikan 'belanak sembawa / sumbawa'.


Resepi  : Asam Rebus Ikan Susu @ Bolu @ Milkfish
Olahan  : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 ekor ikan susu - bersihkan dan potong 5
600ml air
1 batang serai - dititik
2 keping asam gelugur
2 biji tomato - belah 2
garam / perasa pilihan

Bahan kisar:
5 biji cili merah - buang biji
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 inci kunyit hidup
1/2 inci halia
sedikit belacan

Cara:
1. Masukkan air di  dalam periuk. Masukkan semua bahan kisar, serai dan asam gelugur.
2. Biarkan  masak hingga mendidih.
3. Masukkan ikan tenggiri dan masak lagi selama 5 minit. Kemudian masukkan tomato.
4. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.



Walaupun  masakan ini sangat ringkas dari segi bahan dan penyediaannya, tapi cukup menyelerakan bila digandingkan nasi panas. Dan bila melihat Encik Suami mengambil semangkuk kecil kuah, ternyata  menu masakan kali ini mendapat tempat di hatinya.



Tiada ulasan: