Jumaat, 24 Februari 2012

Amie Sedang Diduga Oleh-Nya!

Salam petang Jumaat buat semua rakan dan pengunjung setia Amie's Little Kitchen. Tak tahu nak tulis apa, dan bagaimana untuk memulakannya! Mungkin inilah yang dikatakan ujian dan dugaan daripada-Nya. Namun Amie yakin, Amie boleh melaluinya dan percaya ada hikmah di sebaliknya.

Hari Selasa malam Rabu, Encik Suami dimasukkan ke hospital akibat bisul yang tumbuh membesar di bahagian tengkuk dan terpaksa menanggung kesakitan hampir 2 minggu lamanya. Inilah kali pertama Amie berhadapan dengan keadaan begini. Ketika diberitahu pada jam 11.30 malam tersebut, kakak ipar suruh Amie berkemas menyiapkan pakaian dan apa-apa yang patut untuk dihantar ke hospital. Entah mengapa, Amie tidak boleh berbuat apa-apa, menggeletar dan terduduk beberapa ketika. Malam itu juga, Amie tinggalkan anak-anak tidur di rumah, dan Amie menjaga Encik Suami di hospital. Menjelang pukul 4.30 pagi,. Amie bergegas pulang ke rumah untuk menyiapkan anak-anak ke sekolah. Ketika itulah Amie rmenyedari minyak kereta hampir kering dan sudah keluar tanda amaran! Dan untuk pertama kalinya Amie ajak anak kedua Amie (sekolah petang) ke stesyen minyak untuk isi minyak pada pukul 4.45 subuh kerana dia tahu bagaimana untuk mengisi! Ini merupakan pengajaran pertama buat Amie!
Amie mengambil cuti tehat khas pada hari Rabu kerana pada pagi itu Encik Suami menjalani pembedahan. Sekali lagi Amie terpana, kerana doktor beritahu Encik Suami disyaki mempunyai risiko kencing manis! Sehari selepas pembedahan, tahap gulanya meningkat kepada 17.6. Kepada bondalah tempat Amie mengadu siang dan malam melalui telefon. Banyak kata-kata perangsan dan semangat bonda berikan untuk Amie. Amie tidak boleh cerita panjang di sini kerana sebentar lagi Amie akan mengambil anak bongsu dari sekolah, kemudian pulang menukar pakaian dan akan bergegas semula ke hospital. Selepas kelas pagi tadi, Amie hantar anak sulung untuk menjaga ayahnya di hospital dan mengambil anak tengah yang menjaga ayahnya dari subuh tadi. Anak kedua bersekolah di sebelah petang. Setiap malam memang Amie yang menjaga Encik Suami sehingga pukul 4.30 pagi.
Banyak pengajarn yang Amie perolehi, antaranya:
1. Jangan bergantung segala perkara kepada suami termasuk mengisi minyak kereta, sehingga nak buka pintu tangki minyak pun Amie tak tahu.
2. Selama ini hanya suami yang beri belanja sekolah anak-anak, sekarang Amie pula yang terkial-kial sediakan wang kecil untuk mereka.
3. Telefon bimbit Amie tidak boleh digunakan selama 2 hari ini kerana telah tamat tempoh perkhidmatannya disebabkan sudah sampai waktu untuk membayar pada 22 Februari, tapi Amie tak tahu bagaimana untuk membayarnya.
4. Road-tax kereta yang Amie bawa telah tamat tempoh pada 23 Februari tapi Amie tidak tahu bagaimana untuk menguruskannya.
5. Ansuran bulanan kereta untuk bulan ini sepatutnya dibayar pada hari ini, 24 Februari pun Amie tidak tahu bagaimana untuk membayarnya.
6. Dan pelbagai lagi....

Doktor beritahu Amie, sekiranya masih ada saki-baki akar bisul, pembedahan akan dijalankan sekali lagi! Waduh! Biarpun namanya bisul tetapi Amie tidak tahu ada bisul yang cukup membahayakan nyawa!

Beberapa hari ini memang rutin harian Amie sudah tunggang-langgang, tak terurus, makan pun mana yang sempat. Anak-anak..... kasihan! Tapi bonda pesan, uruskan Encik Suami baik-baik. Katanya lagi ini cubaan daripada-Nya. Banyak ingin Amie cerita tapi masa amat terbatas. 

Teman-teman tersayang.... doakan Amie kuat, doakan Amie tabah!

Isnin, 20 Februari 2012

Acar Ayam

Salam sayang buat semua. Amie ingin kongsi satu resepi biasa tetapi Amie gunakan bahan yang mungkin agak berbeza untuk menghasilkan menu Acar Ayam.


Silakan jamu mata terlebih dahulu. Kalau berminat untuk mengetahui resepinya, beritahu Amie tau! Jangan malu, jangan segan. Malu bertanya sesat jalan, malu tanya resepi, tak dapat makan... ha ha hahahh.


Acar Ayam ini sedap makan ratah begitu saja, tetapi tidak kurang enaknya kalau kita makan dengan nasi putih panas atau nasi beraroma!

Jumaat, 17 Februari 2012

Mari Berkenalan Dengan Putu, Ikan Bakar & Agar-Agar Laut

Salam petang Jumaat. Entah mengapa,  akhir-akhir ini seakan-akan 'mati liur'. Mati liur ialah istilah yang digunakan oleh keluarga sebelah Encik Suami yang membawa maksud tidak mempunyai selera untuk makan. Petang kelmarin, beberapa kali Encik Suami telefon ke rumah, bertanya Amie.... nak masak apa? Amie kata, tak tahu nak masak apa. Tanyanya lagi, nak makan apa? Amie kata, tak tahu nak makan apa. Amie rasa nak baring-baring merehatkan badan saja. Rasa letih lesu semacam saja dan akhirnya Amie tertidur di depan televisyen. Tak tersedar pula Encik suami sudah masuk ke rumah dan kejutklan Amie. Katanya, ada putu dengan ikan bakar. Baru Amie teringat, kalau Amie mati liur, biasanya Amie minta Encik suami belikan putu dengan ikan bakar serta agar-agar laut. Alhamdulillah, agaknya dia teringatlah tu menu untuk menghidupkan kembali liur kita... he he hehh


Putu ialah sejenis makanan tradisional masyarakat Bajau di Sabah. Putu diperbuat daripada ubi yang diparut, diperah airnya dan kemudian dikukus hingga masak. Putu di atas kelihatan bulat panjang sebab setelah dikukus, putu tersebut dimasukkan ke dalam helaian plastik dan setelah padat, putu digulung sehingga menjadi bentuk seperti itu. Sebenarnya putu di dalam gambar di atas Amie potong dari sebatang putu yang kemas diikat di dalam plastik. Biasanya Encik Suami beli ikan kayu panggang tapi kali ini dibelinya pula ikan bolu panggang. Okeylah tu.... terima kasih banyak-banyak!


Pelengkap kepada menu putu ini, Encik Suami belikan agar-agar laut yang digaul bersama hirisan mangga muda serta kerisik, bersama limau kasturi dan cili padi.


Sebenarnya selain ikan panggang, putu juga boleh dimakan bersama ikan rebus, sagol pari atau sagol ikan buntal. Sebut tentang ikan buntal, tentu terbayang sejenis ikan bulat  berduri yang dikatakan beracun. Sebenarnya, Amie sudah pun makan sagol ikan buntal beberapa kali! Bukan masak sendiri, tapi kawan yang masak dan ada sekali pernah makan di kampung, FIL yang masak! Kepada sesiapa yang tidak pernah makan ikan buntal, Amie beritahu di sini... rasanya sangat sedap! Isi ikan buntal  kenyal tetapi lembut. Tapi kalau tak tahu mengolahnya, jangan sesekali cuba ye... apa-apa berlaku Amie tak bertanggungjawab tau! Sebab memang pada bahagian tertentu ikan buntal mengandungi racun!

Khamis, 16 Februari 2012

Kepedel@Cempedel & Nasi Berkat

Salam tengahari Khamis. Tentu rakan-rakan baru saja selesai menjamu selera. Apa agaknya hidangan tengahari ini ye. Amie ingin kongsi dengan rakan-rakan tentang sejenis resepi yang terkenal dalam masyarakat Melayu Cocos iaitu kepedel atau sesetengahnya memanggil cempedel. Kepedel@cempedel ini biasanya ditemui dalam nasi berkat semasa kenduri tahlil. Kalau di tempat kita lebih dikenali dengan nama nasi ambeng dalam kalangan masyarakat Jawa, tapi dalam kalangan masyarakat Melayu Cocos pula, nasi berkat pula yang sinonim dengan mereka. Oleh kerana semasa majlis tahlil allahyarham ayahanda, Amie menggoreng kepedel@cempedel jadi Amie ambil kesempatan untuk merakamkannya di sini. Menurut kakak ipar Amie, kepedel berasal dari perkataan pegedil atau bergedel, tapi menurut Encik Suami pula sebutannya menjadi cempedel. Entah kenapalah ada bezanya namanya itu. Apa pun resepi kepedel@cempedel ini Amie dapat daripada kakak ipar Amie yang memang keturunan Melayu Cocos tulen ketika kami sama-sama masak di dapur tempohari.


Resepi: Kepedel@Cempedel
Sumber : Mynah Rilay

Bahan-bahan:
1 mangkuk isi ikan tenggiri @ 600 gram yang telah direbus
1 mangkuk kelapa parut ambil isi yang putih
5 biji bawang merah
3 biji bawang putih
1/2 sudu lada putih 
garam & serbuk perasa pilihan
1 biji telur
minyak

Cara:
1. Tumbuk bawang putih serta bawang merah serta lada putih hingga lumat. 
2. Masukkan sedikit demi sedikit kelapa parut bersama isi ikan dan tumbuk hingga halus. 
3. Keluarkan dan gaul sebati bersama garam dan serbuk perasa pilihan.
4. Pecahkan sebiji telur dan gaul  bersama bahan tumbuk sehingga sebati.
5. Buat kepal-kepalan berbentuk lonjong sehingga habis.
6. Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali. Goreng kepedel@cempedel sehingga timbul ke atas permukaan minyak.
7. Pastikan setelah keseluruhan kepedel@cempedel berwarna kuning keemasan, barulah di angkat dan ditoskan minyaknya.


Kalau Encik Suami bawa pulang nasi berkat memang Amie cari kepedel@cempedel. Kalau kita pecahkan kepedel ini, memang berderailah isinya dan bila digaul dengan nasi jadilah sebahagian dari lauk nasi itu.


Inilah rupa nasi berkat masyarakat Melayu Cocos. Lauk-pauknya biasanya pelbagai dan tidak  semestinya sama. Bagaimanapun kebiasaannya, nasi berkat mengandungi nasi putih di bahagian bawah dan lauk-pauknya terletak di bahagian atas dengan beralas daun pisang. Antara lauk-pauknya termasuklah ayam goreng, sambal goreng, serunding, telur masin atau telur dadar goreng dan juga kepedel@cempedel. Lauk-pauk juga boleh dipelbagaikan bergantung kepada penyediaan tuan rumah. Ada kalanya makanan laut juga diletakkan termasuk ikan goreng, sotong atau udang.


Lauk-pauknya memang meriah tetapi bahan-bahannya juga mudah diperolehi. Sekurang-kurangnya dengan adanya nasi berkat di sini, terubatlah sedikit rasa rindu Amie dengan nasi ambeng! Bezanya nasi berkat di sini diisi dalam sebuah pinggan plastik dan hidangan lengkap ini dibawa pulang oleh kaum bapa atau kaum lelaki yang turut sama bertahlil. Rasanya nasi ambeng tidak dibubuh dalam pinggan, dan nostalgia lalu mengingatkan Amie tentang nasi ambeng yang diletak di sebuah talam besar serta dibahagi-bahagikan dalam setiap kumpulan. Tuan rumah pula sediakan daun pisang untuk bungkus nasi ambeng! Oh...! Tak sabar nak balik Selangor...nak makan nasi ambeng!

Rabu, 15 Februari 2012

Gugus Anggur Di Celah Ranting

Salam sayang buat teman-teman blogger dan pengunjung yang dirindui. Petang ini Amie bawa rakan-rakan berkunjung ke belakang dapur Amie, melihat gugus-gugus anggur yang sedang membesar terselit dan menyelit di celah ranting dan ada yang tertutup oleh daun-daun anggur yang lebar dan besar.


Jom kita tengopk-tengok gugus-gugus anggur kami di Amie's Little Cottage. Tidak ada sebarang syarat, peraturan atau larangan di kawasan tanaman anggur kami. Kalau boleh petik, petiklah anggur yang masih muda tu...mmmm rasanya tentulah masam! Kena tunggu sebulan lagi supaya anggur masak dan berubah warna hijau kepada ungu tua! Rasanya tentulah manis.....

Sabtu, 11 Februari 2012

Terima Kasih Teman-Teman Tersayang!

Salam pagi Sabtu buat semua rakan pengunjung yang disayangi. Harap semuanya sihat dan riang ria bersama yang tersayang! Rindu rasanya kerana terlalu lama menyepikan diri. Insya-Allah, apabila kekangan waktu dapat diatasi Amie akan kembali memeriahkan dunia masakan tanahair kita! Sama-sama menyumbang resepi dan berkongsi menu.


Ehsan: Google

Terima kasih yang tidak terhingga di atas ucapan takziah daripada rakan-rakan blogger dalam catatan Selamat Beristirehat Ayahanda!. Mudah-mudahan Allahyarham ayahanda mentua Amie di tempatkan dalam kalangan mereka yang dikasihi-Nya! Amin.

Rabu, 8 Februari 2012

Selamat Beristirehat Ayahanda!

Beliau seorang insan yang sangat kami kagumi. Beliau tidak banyak bersuara apalagi mencela  orang. Sikapnya yang sentiasa merendah diri, ringan tulang dan banyak terlibat dengan kerja kebajikan dalam masyarakat kampung sentiasa menjadi sebutan dan rasa keharuan dalam kalangan ahli keluarga kami dan juga masyarakat setempat. Tidak pernah kami mendengar sebarang rungutan, penat atau lelah ketika penduduk kampung meminta sebarang pertolongan terutama dalam hal ehwal keagamaan, kenduri-kendara, mengurus jenazah, atau mengurus pernikahan. Itulah ayahanda mentua Amie, bekas Imam Qariah Kampung Cocos, seorang jurunikah dan bekas kakitangan Majlis Ugama Islam Lahad Datu. Ayahanda kesayangan kami..... Bintang Kinabalu (BK) yang telah kembali ke rahmatullah pada pukul 8 malam, pada tarikh 2 Februari 2012, dalam usia 78 tahun, selepas waktu Isya' menjelang malam Jumaat, 5 hari lepas. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di hadapan seluruh keluarga di Hospital Lahad Datu.


Gambar ayahanda tercinta, Tuan Imam Haji Rilay Bin Abip, sempat Amie rakam kali terakhir pada tahun 2011. 

Oleh kerana kebiasaannya ayahanda mengetuai bacaan tahlil setiap hari Khamis malam Jumaat di rumahnya, jadi kesempatan itu tetap ayahanda lakukan walaupun sedang menghadapi masalah sesak nafas di hospital. Ayahanda sempat mengangkat tangan berdoa, sementara Encik Suami mengampu tubuhnya yang agak lemah. Selesai berdoa, Encik Suami terasa ayahanda seakan menjatuhkan tubuhnya di atas ribanya dan menarik nafas sebanyak dua kali. Walaupun pada ketika itu Encik Suami menyedari ayahanda sudah tiada tetapi dia mengharapkan akan berlaku keajaiban. Sesungguhnya ajal dan maut itu di tangan Allah, tidak terlewat atau tercepat walau sesaat. Bantuan pernafasan diberi tetapi ayahanda sudah kembali kepada-Nya! 

Jenazah ayahanda dikebumikan tepat bersebelahan dengan pusara Allahyarhamah bonda mentua pada pagi Jumaat 3 Februari 2012. Memang rasa sangat terharu kerana 5 tahun yang lalu, ayahanda membaca talkin di atas pusara Allahyarhamah bonda mentua! Pagi Jumaat yang mulia itu, dengan rasa sayu dan pilu, kami tinggalkan pusara ayahanda dan bonda! Moga mereka bertemu di sana! Al-Fatihah!