Bismillahirrahmanirrahim.
Tarikh : 28 Disember 2022
Hari: Rabu
Tempat : Madinah al-Munawwarah.
Sebelum pukul lima pagi, kami sudah berkumpul di lobi hotel untuk bersama-sama menuju ke Masjid Nabawi. Para jemaah dinasihatkan memakai baju sejuk kerana suhu serendah 12'Celcius. Barangkali baju yang Amie pakai sudah cukup tebal (ada kain lapis bahagian dalam), jadi Amie tidak memerlukan baju sejuk. Namun begitu, apabila angin bertiup, terasalah dingin yang mencucuk di bahagian wajah dan juga tangan yang terdedah.
Waktu subuh dijadualkan pada pukul 5:41 pagi. Jemaah lelaki dan jemaah perempuan berpisah di pagar 335. Kami membawa kantung dan beg sandang ke dalam masjid. Kantung digunakan untuk mengisi kasut, dan dalam beg sandang kami isi dengan sejadah dan lain-lain barang peribadi.
Puan Yatie, pengiring kami dari Sabah membawa kami memasuki pintu 25, dan kami mencari ruang kosong untuk menunaikan solat. Akhirnya kami terpisah kerana ruangan solat yang berkarpet sudah penuh dan Amie dapat selitkan diri di antara jemaah dari negara lain.
Selain menunaikan solat sunat dan solat fardhu secara berjemaah, solat yang paling ditunggu-tunggu sudah semestinya solat jenazah! Beruntunglah sesiapa yang kembali kepada-Nya dalam urusan ziarah ke Madinah dan disolatkan di Masjid Nabawi oleh ribuan manusia!
Dan... yang dirindui! Air zamzam!
Berhenti seketika di laluan keluar masjid, dapatlah membasahi tekak dengan segelas kecil air zamzam.
|
Masjid Nabawi Sumber: Google |
Sesiapa yang pernah membaca Sirah Teragung Muhammad terbitan Maghfirah Pustaka, sudah tentu telah membelek muka surat 272 yang menyentuh tentang Keistimewaan Masjid Nabawi:
- Abu Hurairah meriwayatkan: Satu rakaat solat di Masjid Nabawi lebih utama daripada 1,000 rakaat solat di masjid lain, kecuali Masjidil Haram. Kerana Rasulullah adalah Nabi Terakhir, demikian juga masjidnya sebagai masjid terakhir.
- Abu Salamah dan Abu 'Abdullah berkata: Kami yakin bahawa Abu Hurairah mengambil pernyataan itu dari Rasulullah, dan kami tidak tergesa-gesa mengatakan bahawa pernyataan itu adalah pendapat Abu Hurairah sendiri. Ketika Abu Hurairah wafat, kami sepakat untuk tidak membacakan hadis tersebut sehingga mendapat kepastian bahawa dia mendengar dari Rasulullah. Kemudian 'Abdullah bin Ibrahim bin Qarizh datang dan kami menyampaikan masalah itu. 'Abdullah bin Ibrahim berkata dengan mengambil dari kata-kata Rasulullah SAW: Sesungguhnya aku adalah Nabi terakhir dan masjidku sebagai masjid yang terakhir. (HR.Muslim)
- Sa'id al-Musayyib meriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seseorang tidak boleh bermusafir dengan niat mengagungkan masjid tertentu, kecuali tiga masjid ini: Masjidil Haram, masjidku (Masjid Nabawi), dan Masjid al-Aqsa. (HR.Muslim)
|
Masjid Nabawi Sumber: Google
Dalam Sirah Teragung Muhammad (halaman 267-268) juga menyentuh tentangn usaha yang dilakukan oleh Rasulullah SAW membina masjid yang dikenali sebagai Masjid Nabawi pada hari ini. Ketika kali pertama menjejakkan kaki di Madinah (ketika itu dikenali sebagai Yathrib), baginda singgah di perkampungan Bani Najjar bersamaan pada hari Jumaat 12 Rabiul Awal tahun pertama Hijriah (27 September 622 Masihi. Di perkampungan Bani Najjar, Rasulullah SAW tinggal di rumah Abu Ayyub Al-Anshari.
Rasulullah SAW memilih tempat pembinaan masjid di tempat berhentinya unta baginda. Baginda membeli tanah tersebut daripada dua orang anak yatim. Tempat tersebut terdapat bekas runtuhan bangunan, kuburan orang-orang musyrik, pohon kurma dan pohon lain yang dinamakan gharqad. Para sahabat bergotong-royong menggali kubur-kubur di situ, dan meratakan tanahnya serta memotong pokok kurma dan pohon gharqad. Lalu baginda menetapkan arah qiblat yang ketika itu masih menghadap ke arah Baitul Maqdis.
Dua pinggiran pintu masjid dibuat terlebih dahulu, dindingnya dari batu-bata yang disusun dengan lumpur tanah. Atapnya dari daun kurma, tiangnya dari batang pohon, lantainya dibuat menghampar dari pasir dan kerikil-kerikil kecil. Pintunya ada tiga. Panjang bangunannya dari arah kiblat hingga ke hujungnyakira-kira 100 hasta dan kedua-dua sisinya juga seperti itu. Tapaknya sekitar tiga hasta.
Setelah 12 hari, akhirnya Masjid Nabawi selesai dibina. Baginda memerintahkan Bilal untuk melaungkan azan, yang dikumandangkan sebanyak lima kali sehari sebagai kesaksian bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad sebagai utusan Allah.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! |
|
Pagi pertama di Madinah. |
Selesai solat subuh, kami menuju ke dewan makan untuk bersarapan. Rasa sangat terkejut kerana kami dapati begitu ramai jemaah umrah memenuhi meja makan. Kami berpusing-pusing mencari tempat duduk dan akhirnya duduk di kerusi tanpa meja di satu ruangan yang gelap, tidak berlampu. Tidak lama kemudian ruangan yang gelap tersebut dipenuhi oleh jemaah lain yang tercari-cari tempat duduk.
Memandangkan tempat mengambil makanan pun penuh sesak, jadi kami ambil sahaja makanan yang ada di depan mata seperti telur rebus dan sosej serta segelas air panas untuk dibancuh dengan seuncang teh.
Selepas itu kami menunggu lebih 10 minit di hadapan lift menunggu giliran untuk naik ke bilik. Barangkali inilah antara bentuk cabaran yang perlu kami hadapi (teringat kpesanan mutawif supaya kami banyak bersabar pada malam perjalanan dari Jeddah ke Madinah). Kami naik ke bilik untuk qadha' hajat dan mandi. Sayangnya, tuala yang ditunggu-tunggu masih belum sampai ke bilik!
Kami turun semula ke lobi kerana masa untuk lawatan ziarah sekitar Masjid Nabawi hampir tiba. Kedinginan pagi semakin terasa apabila angin meniup ke arah kami. Sebelum ini tidak dapat bayangkan tanah padang pasir yang gersang menjadi sedingin salji! Pagi ini, dengan izin-Nya jua segala-galanya tidak mustahil.
|
Bersama jemaah Umrah Sabah di perkarangan Masjid Nabawi.
Perkuburan Baqi terletak di sebelah Majid Nabawi
|
Ziarah pertama hanyalah di luar pagar Kuburan Baqi. Kami tidak dapat masuk ke kawasan tersebut, dan difahamkan hanya jemaah lelaki sahaja yang boleh melihat kawasan perkuburan tersebut. Masanya akan diatur oleh Ustaz Ali Amin.
Perkuburan Baqi merupakan tempat disemadikan puteri-puteri Rasulullah, isteri-isteri baginda dan pahlawan Islam. Kami hanya mampu intai-intai sahaja. Banyak anggota keselamatan mengawasi sekitar pagar di situ.
Untuk selanjutnya, Amie tunggu sahajalah cerita daripada Encik Suami yang akan melawat masuk kawasan Perkuburan Baqi bersama jemaah lelaki.
|
Kedudukan makam Nabi Muhammad SAW : di bawah kubah hijau. |
|
Sumber: Google |
Adab menziarahi makam Rasulullah, mengucapkan salam dengan suara yang rendah seperti berikut:
السَّلَامُ عَلَيْكَ يَا رَسُوْلَ اللهِ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ.
Selamat atasmu wahai Rasulullah dan rahmat Allah serta keberkahan-Nya atasmu”
Dan jangan lupa ucapkan sekali untuk kedua-dua sahabat baginda iaitu Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar Al-Khattab yang dimakamkan bersebelahan makam baginda.
Kami dibimbing sepenuhnya oleh Ustaz Ali Amin sewaktu ziarah makam Nabi Muhammad SAW. Pagi itu bertambahlah pengetahuan kami dengan tazkirah yang diberikan oleh beliau.
|
Bergambar ramai di makam Rasulullah SAW. |
Walaupun suhu sejuk, tetapi apabila matahari memancar memang terasa bahang kepanasannya! Kenalah cari juga tempat untuk berlindung dari terik matahari.
Antara pemandangan di sekitar Masjid Nabawi yang sempat Amie rakam pada pagi itu.
Di segenap penjuru banyak terdapat bangunan terutamanya hotel.
Kami dibawa melawat ke sebuah masjid yang terletak berhampiran dengan Masjid Nabawi iaitu Masjid Al-Ghumamah, salah sebuah masjid yang bersejarah di Madinah.
|
Masjid Al-Ghumamah |
Di Masjid Al-Ghumamah ini Rasulullah SAW pernah mendirikan solat sunat istisqa' iaitu solat meminta hujan setelah berlakunya kemarau panjang. Masjid ini kekal berdiri sehingga sekarang dan apabila berziarah ke sini, sudah tentu mutawif akan bercerita kepada para jemaah tentang peristiwa tersebut.
Selesailah lawatan ziarah kami di sekitar Masjid Nabawi pada pagi pertama setibanya di Madinah. Masing-masing dalam keletihn dan perlu berehat buat seketika bagi mengembalikan tenaga untuk aktiviti seterusnya.
Jom kita gerak balik ke hotel, sambil tangkap gambar-gambar dalam perjalanan pulang.
Terserempak dengan jemaah dari negara-negara lain.
|
Ada juga yang menggunakan khidmat 'buggy' untuk lawatan ziarah sekitar Masjid Nabawi. |
Sekian, cerita hari pertama di Madinah yang sejuk di pagi hari, dan panas di tengah hari. Selawat dan salam ke atas junjungan besar, Muhammad SAW.
Alhamdulillah kembara jiwa moga Allah permudahkan semua urusan di sana
BalasPadamAmin ya Allah.
PadamNampak panas cuaca tanpa awan...
BalasPadamTerima kasih kak Amie untuk gambar-gambar yang cantik..
Sama-sama Yaya.
PadamMemang langit biru tanpa cela, panas di padang pasir.
alhamdulillah., aminn
BalasPadamTerima kasih Wak.
PadamDingin subuh meniup namun terik matahari membawa pergi hawa sejuk ya, Kak Amie. Baca kisah umrah Kak Amie bagai membawa sy ke sana.
BalasPadamWaktu pagi memang terasa sejuknya SK. Tapi apabila matahari muncul, memang perit jugalah panasnya, maklum pancaran terus memanah bumi tanpa saringan awan!
Padamindahnya...
BalasPadamtq krn kongsi.
x pernah jejak kaki lagi :)
in shaa Allah.
Allahuakbar terimbau-imbau kenangan 2017 dahulu. Mudahan ada rezeki dapat pergi lagi
BalasPadamsubhaallah cantiknya masjid nabawi tu kak...
BalasPadamTeringat bait nasyid Panggilan Haji...dendangan Asiah Jamil
BalasPadam🎼" Masjidil nabawi terletak makan rasul...
Taman Raudhah tempat himpun doa..🎶