Pages

Khamis, 19 Januari 2023

Bermunajat di Raudhatul Jannah

Bismillahirrahmanirrahim.
Sejak peristiwa LAUT AIR MATA DI SUBUH HARI, kita berasa semakin kerdil di sisi-Nya. Kita rasa iman kita sebenarnya sangat rapuh! Namun pada masa yang sama tetap bergantung harap kepada-Nya walaupun sedar kecintaan itu tidak seteguh mana! Dalam titis air mata yang berjuraian di pagi yang sangat dingin, kita sedar tidak memiliki apa-apa yang patut dipersembahkan kepada-Nya!

Meski ku rapuh dalam langkah
Kadang tak setia kepada-Mu
Namun cinta dalam jiwa
Hanyalah pada-Mu

Tarikh : 31 Disember 2022
Hari : Sabtu


Seawal pukul empat pagi, Encik Suami sudah mengejutkan kita dari tidur untuk bersiap-siap ke Masjid Nabawi. Seperti hari kelmarin, kita mencari tempat solat di perkarangan masjid, tujuan untuk memudahkan pergerakan ke Pagar 335 seperti yang dijanjikan. Mengenangkan barangkali Puan Yatir solat di dalam masjid dan perlu ambil waktu untuk ke Pagar 335, jadi kita pun ambil kesempatan solat jenazah. Kemudian kita menuju ke Pagar 335. Nampaknya tiada Puan Yatie dan sesiapa jemaah wanita kumpulan kami di situ. Setelah beberapa minit menunggu, kita pun baca sekali lagi mesej untuk memastikan nombor pagar yang betul. Rupanya Pagar 338!

Kita bergegas lari ke Pagar 338, dan Puan Yatie sudah menunggu di situ. Seterusnya kami cepat-cepat bergerak menuju Pintu 38 pula. Kami melalui empat kali pemeriksaan oleh pengawal-pengawal lelaki dan wanita. Perjalanan kami dari Pagar 338 ke Pintu 38 mengambil masa selama 22 minit setelah pemeriksaan demi pemeriksaan dilalui. Puan Yatie menunjukkan surat yang dibawanya kepada para pengawal yang menjaga pagar tertentu. 

Sempat juga melihat jemaah wanita yang bertengkar dengan pengawal kerana tidak dibenarkan masuk. Allahu Akbar! Bukan mudah rupanya untuk masuk ke Raudhah. Keadaan tidak seperti pengalaman umrah dahulu.

Akhirnya setelah melepasi beberapa halangan dan sekatan untuk pemeriksaan, kami dapat berdiri di hadapan Pintu 38 pada pukul 7:05 minit pagi. Ketika itu kami dapat melihat jemaah wanita dari dalam bergerak keluar, dan dengan sabarnya kami terus menunggu giliran kami pula. Pada masa yang sama, sambil berdiri masing-masing cuba memberi fokus tujuan masuk ke Raudhah. Tidak putus-putus zikir dan istighfar dan selawat yang dibisikkan oleh bibir masing-masing.

Pukul 7:05 minit pagi.

Ada pun tempoh kami berdiri di luar, menunggu jemaah keluar dari dalam Raudhah kira-kiranya dari lampu di belakang kubah hijau (makam nabi) masih bernyala, sehinggalah dipadamkan. Ketika ini  jam sudah menunjukkan pukul 7:21 pagi. Puan Yatie mengingatkan supaya kami tunaikan sekali solat dhuha di Raudhah.

Pukul 7:21 minit pagi.



Setelah dibenarkan masuk, dan ketika itu pukul 7:21 pagi, kami pun mempercepatkan langkah dengan berlari-lari anak untuk segera sampai ke barisan hadapan.


Penghadang laluan ke Raudhah masih ditutup kerana jemaah lelaki dikatakan sedang keluar melalui kawasan tersebut. Kami menanti, berdiri dan beratur dengan sabar. Suasana tenang, tiada tolak-menolak dan himpit-menghimpit.


Suasana di dalam masjsid ini lebih tersusun, kerana terdapat satu barisan panjang jemaah yang menggunakan kerusi roda! Ruangan mereka terpisah dengan jemaah wanita yang berjalan kaki.



Sempat rakam suasana jemaah wanita yang sabar menanti giliran masuk ke Raudhah.


Akhirnya dapatlah 'menggapai' Raudhah, walaupun terpaksa meloloskan diri dan 'mengecilkan' diri, berhimpit-himpit untuk sampai ke barisan hadapan. Apabila sudah sampai di kawasan ini, sudah sampai giliran dan ada ruang, jangan tangguh-tangguh lagi, solatlah! Solatlah seberapa banyak yang kita mahu. Menangislah, tumpahkanlah air mata sepuas-puasnya di hadapan-Nya! Di sujud terakhir itu, berdoalah sebanyak-banyaknya, memohonlah apa yang ingin dihajati! Kerana sesungguhnya di sinilah tempat yang paling mustajab untuk memanjatkan doa.

Tidak cukup berdoa di sujud akhir, kita menadah tangan setelah selesai melaksanakan solat-solat taubat, solat dhuha dan solat hajat. Tiba-tiba bahu kita ditepuk oleh seseorang:

Ibu! Ibu!
Bangun! Bangun!
Haram! Haram!

Rupanya pengawal wanita mengarahkan agar kita segera tinggalkan tempat tersebut. Kita pun bingkas bangun dan tempat solat kita diambil oleh jemaah lain pula. Pengawal wanita akan segera menghalau sekiranya terlihat kita duduk berdoa di situ. Jadinya, supaya tidak dihalau maka berdoalah lama-lama di dalam sujud akhir. 

Sempat  rakam setelah suasana agak tenang, dan jemaah mula bersurai untuk keluar.


Jam menunjukkan angka 7:53 ketika kita hendak meninggalkan Raudhah dan mencari jalan menuju Pintu 40. Teringat pesan mutawif, jemaah perlu berkumpul di lobi hotel pada pukul lapan pagi untuk aktiviti ziarah luar. Kita pun berlari-lari anak meninggalkan Pintu 40. Entah di mana kawan-kawan yang empat orang lagi. Mungkin sedang berasak-asak mencari tempat atau menunggu giliran untuk solat di Raudhah. Semoga Allah permudahkan urusan mereka.

Termengah-mengah jugalah berlari-lari anak meninggalkan Pintu 40 untuk kembali ke hotel. Tepat pukul 8:12 minit pagi kita tiba di lobi hotel. Encik Suami sedang menunggu di situ dan kami terus menuju ke bas yang disediakan. Tidak sempatlah bersarapan di dewan makan, sebaliknya makan kurma dan minum air zamzam sahaja ketika berada di dalam bas.

Terima kasih Puan Yatie, ambilkan gambar sebaik sahaja keluar dari Raudhah.

Mudah-mudahan banyaklah iktibar yang diperolehi dari pengalaman memasuki Raudhah pada kali ini. Sesungguhnya kita bukanlah sempurna namun kita boleh berusaha untuk menuju ke arah kesempurnaan. 
Terima kasih Allah!
Terima kasih Allah!
Terima kasih Allah!


Maafkanlah bila hati
Tak sempurna mencintai-Mu
Dalam dadaku harap hanya
Diri-Mu yang bertahta

Detik waktu terus berlalu
Semua berakhir pada-Mu
#OPICK#

7 ulasan:

  1. semoga semua urusan dipermudahkan

    BalasPadam
  2. Alhamdulillah.. dapat Cikgu Amie dan rakan2 bersolat di Raudhah

    BalasPadam
  3. Alhamdulillah syukur dapat juga kak amie sujud di raudhah...Allahuakbar rezeki Allah siapa yang sangka.saya juga terasa sebak dan sayu ada atau tidak rezeki saya untuk sampai ke sana juga

    BalasPadam
  4. Alhamdulillah syukur Allah mudahkan urusan amie untuk sampai ke Raudhah. Mudahan ada lagi rezeki menjejaki Raudhah. Aammin

    BalasPadam
  5. baca cerita k amie ni terus teringat ms ziarah Raudhah dulu. tp kami bersesak2 dlm masjid. bila pintu dibuka, menderu2 berlari masuk ke Raudhah. tak ada sekatan utk berlama-lamaan kat situ. tp ya laa....masa merubah segalanya...

    Alhamdulillah dpt juga kak amie 'bertemu' Rasulullah SAW....

    BalasPadam
  6. Alhamdulillah....
    Allah mendengar doa dan memakbulman hajat untuk masuk ke taman raudhah..
    Teringat lagu nasyid Panggilan Haji

    BalasPadam
  7. nanti nak baca balik post kak amie mana la tahu ada rezeki saya ke sana

    BalasPadam