Pages

Rabu, 2 September 2020

Tugu Peringatan Mat Salleh ( Mat Salleh Memorial Monument)

Jumpa lagi. Sudah masuk bulan September rupanya! Agak lama juga tidak sapu sawang di sini. Mudah-mudahan selepas ini ada banyak kesempatan untuk menulis. Amie sambung catatan perjalanan yang terhenti menjelang hari-hari terakhir ulang tahun kemerdekaan negara kita pada 31 Ogos 2020 lepas! Kali ini Amie paparkan perjalanan di sekitar Tambunan dengan melawat Tugu Peringatan Mat Salleh yang terletak di Kampung Tibabar. Peminat sejarah tanahair sudah tentunya tidak akan melepaskan peluang untuk berkunjung ke sini. 

                  

Bila berkesempatan berkunjung ke tugu ini, teringat kisah sejarah tentang pejuang-pejuang negara yang mempertahankan tanahair dari terus dibelenggu oleh penjajah di Tanah Melayu. Tidak putus-putus rasa syukur kepada Allah kerana atas jasa dan pengorbanan mereka, kini kita hidup aman makmur walaupun usia negara kita masih muda, 63 tahun. Bayangkan sejak kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka,  terus dijajah, beralih kuasa dari Portugis bertukar tangan ke Belanda, British dan Jepun! Selama 446 tahun nenek moyang kita tidak berputus asa  memperjuangkan tanahair sehinggalah berkerajaan sendiri! Generasi muda masa kini janganlah hendaknya melupakan pengorbanan pejuang negara yang dianggap penderhaka oleh penjajah! Masih terngiang-ngiang di telinga guru Sejarah menyebut nama Dol Said yang mempertahankan kedaulatan di Naning. Datuk Maharaja Lela pula menentang Brirish kerana memperkenalkan cukai baharu serta campur tangan adat resam orang-orang Melayu. Nama-nama tokoh pejuang negara yang kekal terpahat dalam ingatan sudah tentulah termasuk Tok Janggut, Datuk Bahaman, Haji Abdul Rahman Limbong dan lain-lain. Begitu juga dengan Rentap di Sarawak yang menentang pentadbiran James Brooke. Tidak dilupakan  Antanum dan Mat Salleh di Sabah. Sebagaimana pejuang-pejuang yang lain, Mat Salleh bangkit menentang perubahan yang dibawa oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British ke atas penduduk tempatan Sabah kerana sistem cukai yang tinggi dan sangat membebankan. Beliau tidak sanggup melihat bangsanya ditindas oleh orang asing.

Pihak syarikat British mengenakan cukai tinggi bagi menampung perbelanjaan mereka membina laluan kereta api dari Teluk Brunei hingga ke Pelabuhan Cowie, dan juga talian telegraf dari Labuan hingga ke Sandakan yang bertujuan bagi memudahkan perhubungan mereka dan juga penduduk tempatan. Dalam membina laluan kereta api dan talian telegraf ini, di samping mengenakan cukai yang tinggi bagi membangunkan negeri Sabah, pihak Syarikat Berpiagam Borneo Utara British juga dikatakan menggunakan penduduk tempatan sebagai buruh paksa. Sistem buruh paksa ialah satu sistem yang mana sekumpulan orang dipaksa bekerja untuk sebuah syarikat dan sebagainya, dengan tiada bayaran upah atau gaji.

Sistem cukai baru telah diperkenalkan iaitu cukai barang-barang keperluan harian penduduk di Sabah, seperti beras. Cukai beras merupakan tambahan 5% daripada harga beras. Sistem cukai beras ini mendapat bantahan awal daripada kaum Cina, yang mana mereka, diwakili oleh Persatuan Bangsa Cina Borneo Utara pada tahun 1898, telah menghantar kawat bantahan ke London, memohon agar pihak Syarikat mempertimbangkan masalah kenaikan harga cukai beras. Masalah cukai beras ini dikatakan menjadi faktor yang mempengaruhi Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya. Mereka berpendapat bahawa “beras ialah makanan asasi semua orang” dan pihak Syarikat British telah menghina penduduk-penduduk tempatan dengan mengupah sebilangan pemimpin tempatan sebagai pengutip cukai bagi pihak syarikat. Pengutip-pengutip cukai ini telah menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengenakan cukai yang lebih tinggi.

Selain cukai beras, Syarikat Berpiagam Borneo Utara British juga mengenakan cukai sistem lesen mandatori kepada penduduk-penduduk tempatan yang memiliki perahu. Perahu merupakan alat kenderaan bagi tujuan perhubungan penduduk pada ketika itu. Dengan adanya lesen perahu ini, penduduk negeri Sabah berasa dibebani oleh peraturan lesen perahu yang diperkenalkan oleh pihak Syarikat. Penduduk-penduduk negeri Sabah berasa tidak puas hati dengan peraturan-peraturan baru yang diperkenalkan oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British. Mereka berpendapat bahawa pihak Syarikat membuat peraturan-peraturan yang sangat membebankan mereka. Hal ini membangkitkan kemarahan pemimpin-pemimpin tempatan kerana syarikat asing itu ingin memecahbelahkan penduduk negeri Sabah.

Sumber : Mat Salleh

Sebelum tiba di Tugu Peringatan Mat Salleh, kita nikmati dahulu pemandangan sawah padi yang terbentang menghijau di sepanjang jalan!

Tak jemu mata memandang!

Rasa ingin berlama-lama di sini mencari sudut yang sesuai merakam keindahan Kampung Tibabar, tetapi apakan daya, masa tidak mengizinkan untuk terus berada di sini.



Ayuh Firdaus!
Ini peluang, dan pendedahan awal untuk mengetahui sejarah tanahair dari usia kecil.



Maksud yang tertulis pada Tugu Peringatan Mat Salleh ini lebih kurang begini:
'Tugu ini menandakan tapak kubu Mat Salleh yang telah ditawan oleh Pasukan Bersenjata Morth Borneo Constabulary pada 1 Februari 1900. Dalam masa pertempuran itu, Mat Salleh telah mengetuai pemberontakan selama enam tahun menentang Pentadbiran Chartered Company menemui ajalnya.'

Selesailah lawatan singkat ke Tugu Peringatan Mat Salleh di Tambunan.

Bila kaki hendak melangkah keluar pagar, tiba-tiba Fairuz melambai sambil menunjukkan sesuatu di belakang tugu. Katanya: Mommy. Ini buah tarap. (Gambar) Kita mengucap! Rupanya Fairuz tidak boleh bezakan mana satu buah tarap dan mana satu buah nangka!

Ini buah nangkalah dik!

Aduhai! Barangkali ada juga anak-anak lain yang tidak boleh bezakan buah nangka dengan buah cempedak pula! Ada-ada saja Fairuz ini...ahaks!

Tinggalkan nama dan tandatangan buat kenangan!

Terima kasih pejuang negara!
Jasamu sentiasa dikenang!
Sebelum meninggalkan Tugu Peringatan Mat Salleh, sempat rakam lagi beberapa keping gambar pemandangan sawah padi di sekitar.


Inilah pokok nangka yang dikatakan pokok buah tarap oleh Fairuz.

Petang itu kami teruskan perjalanan ke lokasi berikutnya.

Ke mana pula selepas ini?
Ikut sajalah van di depan itu!

Entri berkaitan perjalanan Lahad Datu - Tambunan - Keningau - Tenom - Kundasang:

1 ulasan:

  1. MasyaAllah sukanya tengok permandangan indah kehijauan sawah macam ni. Suasana kampung yang menenangkan.

    BalasPadam