Nampaknya tenaga dan keringat kami banyak tercurah di Silver Cave pada awal pagi dan kemudian santai-santai menyaksikan nelayan tradisi menangkap ikan dengan menggunakan burung cormorant dari atas rakit bambu.
Seterusnya kami di bawa ke restoran yang sama tempat kami makan pada malam sebelumnya. Kalau sebelum ini kami makan di tingkat atas, kali ini kami dibawa menuruni anak tangga seolah-olah menuju ke terowong bawang tanah pula.
Nampaknya hidangan sudah tersaji di atas meja, siap dengan secerek Chinese Tea panas. Alhamdulillah.
Sepanjang kami berada di keempat-empat wilayah China ini, tidak pernah sekali pun kami dihidangkan dengan air sejuk. Sedikit-sebanyak kami memahami budaya masyarakat Cina dalam amalan pemakanan mereka. Masyarakat Cina percaya minuman sejuk boleh mengganggu penghadaman makanan panas. Selain hidangan sup, mereka akan menyediakan minuman panas seperti teh yang dikatakan mampu membantu proses pencernaan terutama apabila memakan makanan yang berminyak.
Apa yang menambah seronok dan enak makan di restoran Muslim Chinese ialah apabila adanya cili atau lada kicap! Itulah pengganti sambal belacan...wakakaaaaaa! Rindu sambal belacan ke? Tidak juga. Inilah peluang dan kesempatan untuk menikmati masakan di negara orang, dan juga mengenali budaya tempatan. Istimewanya masakan yang tidak pedas atau berempah selama kami makan di negara ini, tidaklah menjadikan perut meragam! Alhamdulillah. Mudah-mudahan perjalanan kami sentiasa dipermudahkan. Aamiin.
Inilah restoran halal, tetapi tak tahu apa namanya.
kerana semuanya ditulis menggunakan huruf Cina kecuali tulisan halal itu.
Mari kita lihat lauk-pauk yang dihidangkan di atas meja bulat bersama semangkuk nasi. Oh! Nasi yang kami selalu makan memang sedap sungguh. Butirannya agak bulat dan sedikit melekit. Apalagi bila dihidang panas! Seperti biasa, memang lauk yang terdiri daripada sayur-sayuran hijau lebih banyak dihidangkan berbanding daging atau ikan. Masakannya begitu ringkas, dan rasanya hampir kesemua restoran tempat kami makan, hidangan sayuran hijau tidak ditambah dengan pelbagai perencah. Barangkali, kaedah memasak begini merupakan satu cara untuk mengekalkan vitamin yang terdapat pada sayur tersebut. Cuba lihat gambar sayur brokoli di atas. Rasanya tidak ada apa-apa bahan campuran lain selain garam dan juga sedikit minyak untuk menumis, atau sedikit perasa lain selain garam.
Kacang panjang ini dipotong kecil-kecil dan dimasak bersama hirisan daging.
Kentang ini rasa berempah sedikit, mungkin dibubuh jintan putih kerana aromanya menjurus ke arah jintan putih. Terdapat sedikit campuran capsicum merah dan capsicum hijau.
Sup yang dihidangkan ini nampak cantik! Sayur kubis kuning dihiris halus. Kemudian dihias dengan taburan daun bawang dan nampak buah goji yang berwarna merah timbul di permukaan sup.
Seperti biasa, setiap hidangan yang disajikan mesti ada seekor ikan!
Kali ini hidangan ikan kukus halia.
Kuih yang comel ini berinti kacang salut tepung pulut.
Selain telur dadar, ayam goreng juga turut disajikan!
Selepas makan tengahari kami segera berangkat menuju ke stesen keretapi berkelajuan tinggi di Guilin. Kami akan menaiki HSR pada pukul 3:20 petang menuju ke Guangzhou.
Tinggallah gunung-gunung karst yang cantik dan aneh bentuknya ini, juga tinggallah ladang-ladang sayur saujana mata memandang, ladang tebu, ladang limau, dan juga sawah padi yang luas terbentang.
Kalau ada sumur di ladang,
Bolehlah kami menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Bolehlah kami berkunjung lagi.
Entri berkaitan travelogue ke China 4 Wilayah:
Betul lah kata pepatah jauh berjalan luas pemandangan..
BalasPadam