Pages

Jumaat, 8 Disember 2023

Ikan Bolu @ Ikan Susu Kuah Kuning

Bismillahirrahmanirrahim.
Bertemu lagi di petang yang redup, dingin dan mendung setelah kekenyangan makan nasi lauk Ikan Bolu Kuah Kuning. Masakan ini sangat terkenal di Sabah terutamanya di bahagian pantai timur seperti di Tawau, Lahad Datu, Sandakan dan daerah-daerah lain. Kalau singgah di warung atau restoran yang menyajikan lauk begini, memang terus rasa berselera hendak menikmatinya! Masakannya ringkas sahaja, tetapi keenakannya mampu 'menutup' ayam goreng.... ahaks! Itu pada perasaan kita saja kot.

Ikan bolu (baulu) yang ada kalanya kita panggil dengan nama ikan susu, dan ikan bangos (Filipina), bandeng (Indonesia) milkfish (Inggeris) ini mempunyai ceritanya yang tersendiri. Dahulu memang tidak pandai makan ikan bolu, tetapi lama-kelamaan setelah beberapa kali jiran sebelah rumah hulur, akhirnya kita cuba makan dan terus jatuh cinta! Kisahnya ada di sini: IKAN SUSU PANGGANG.

Dan untuk resipi yang seterusnya, Amie banyak kongsikan dalam entri yang lepas-lepas dan antaranya  seperti di bawah ini:

Ikan Bolu Kuah Kuning

Ikan Bolu @ Bandeng @ Bangos @ Milkfish

Amie kongsikan resipi Ikan Bolu Kuah Kuning. Biasanya kalau makan di warung atau restoran, hanya ditambah tomato dan bawang besar, tetapi di dapur sendiri Amie tambahkan nanas. Cili padinya pula, sama seperti di kedai makan, sebiji-sebiji campak masuk periuk. Jadinya, tidaklah rasa pedas pada kuah melainkan jika hendak pedas picit sahaja cili padi itu ketika makan nasi.

Resipi Ikan Bolu Kuah Kuning
Bahan-bahan:
  • 1 ekor ikan bolu seberat 600 gram - bersihkan - potong enam bahagian
  • 2 batang serai - ketuk
  • 2 biji tomato - belah 2
  • 6 keping hirisan nanas setengah masak
  • 10 biji cili padi hijau merah
  • 2 keping asam gelugur
  • 2 sudu kecil serbuk kunyit
  • 3 ulas bawang putih - hiris
  • 1 labu bawang besar - hiris
  • 2 cm halia - hiris
  • 4 sudu besar minyak
  • 1 liter air
  • garam / perasa pilihan
Cara memasak:
  1. Panaskan minyak.
  2. Tumis bawang putih, bawang besar, serai dan halia hingga layu.
  3. Tuangkan air dan masukkan nanas. Biarkan hingga mendidih dan nanas menjadi layu.
  4. Masukkan asam keping, ikan bolu dan cili padi serta serbuk kunyit.
  5. Setelah kuah mendidih sekali lagi dan ikan bolu masak, masukkan tomato, taburkan garam / perasa pilihan.
  6. Kacau kuah beberapa kali dan padamkan api dapur.
Ikan Bolu Kuah Kuning

11 ulasan:

  1. Lebih kurang macam masak pindang ye, cuma letak nanas. Tak pernah makan ikan bolu.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul tu Nur.
      Cuma di sini dipanggul masak kuning atau kuah kuning sebab bubuh kunyit kot.

      Padam
  2. tetap kelihatan amat menyelerakan. mcm tak pernah tengok ikan ni kat sini ataupun saya tak kenal. heheheee

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sesetengah tempat mungkin tidak ada ikan ini.

      Padam
  3. Saya pula masak lemak ikan masin + nenas hari ni. Tak sama resepi tapi warna kuningnya sama haha...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sedapnya ikan masin masak lemak dengan nanas!

      Padam
  4. Rasa macam pernah makan ikan ni dulu dikedai India. Dimasak kari. Lupa pula samada itu ikan susu atau nyuk2

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ikan susu ada tulang-tulang halus macam ikan terubuk.

      Padam
  5. Macam masak kengsom jika letak nenas. Kalau tak ada nenas macam masak singgang.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Itulah kan SK. Kalau ada kangkung memang jadi kengsom terus.

      Padam
  6. Oalaaaah ikan bandeng toh kak 😁. Tadi saya pikir ikan apa. Kalo bandeng saya menyerah lah nak makan 😂. Tak tahaaaan durinyaa, di sela daging pun ada, halus pula tuh 🤣🤣.

    Makanya kalo di Indonesia, bandeng paling sering di presto, supaya durinya lunak semua. Di Semarang ada kuliner bandeng presto, jadi memang sampai duri lembuut bisa dimakan, jadi tak takut. Kalo durinya dah lunak, saya mau makan.

    BalasPadam