Pages

Ahad, 9 Mac 2014

Nasi Lemak & Udang Goreng Berempah

Selamat berhujung minggu buat semua. Pagi ini cuaca cerah, nyaman dan suasana tenang-tenang saja. Cuma.... hati saja yang kurang tenteram. Amie rasa rakan-rakan yang lain pun sama seperti apa yang Amie rasakan ketika ini. Nampaknya sehingga pukul 2.20 petang ini (ketika entri ini ditulis) belum ada apa-apa sebarang perkembangan mengenai kehilangan pesawat MAS MH370 yang dikatakan hilang secara misteri itu.  Apa pun sama-samalah kita berdoa ke hadrat Ilahi mohon keajaiban akan terjadi ke atas insiden ini.


Hari ini Amie masak nasi lemak untuk family kecil kami. Dengan terhidangnya nasi lemak ini Amie akan gantung periuk sampai ke malam! Encik Suami & anak-anak cukup berselera menikmatinya. Kali ini selain lauk pauk tradisional nasi lemak seperti sambal tumis ikan bilis, telur rebus serta ulam mentimun, Amie tambahkan hidangan dengan Udang Goreng Berempah.



Seperti biasa, Amie masak nasi lemak dengan cara kukus. Resepinya boleh klik DI SINI.

Resepi: Nasi Lemak Kukus
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
6 pot rice cooker beras - bersihkan dan toskan
500ml pati santan kelapa
3 biji bawang putih - hiris halus
3cm halia - hiris halus
2 helai daun pandan - siat-siat
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
1 sudu teh garam

Cara:
1. Didihkan air dalam periuk pengukus.
2. Letakkan kuali di atas dapur, dan masukkan santan kelapa bersama bawang putih, halia, daun pandan, kulit kayu manis dan bunga lawang serta garam. Biarkan mendidih.
3. Masukkan beras dan kacau sekali - sekala sehingga beras kembang dan santan mengering.
4. Pindahkan beras di dalam kuali tadi ke dalam periuk pengukus. Kukus selama 15-20 minit atau sehingga nasi masak.


Masak nasi lemak cara kukus memang sangat Amie gemari sebab tak perlu bimbang nasi lembik atau keras. Cantik saja hasilnya sebab masak gunakan wap. Lagi pun nasi lemak kukus dipercayai lambat basi! Jadi, bolehlah masak lebih supaya anak-anak boleh mengulang makan dan tak payah masak untuk makan malam nanti (malas punya orang!)



Untuk Udang Goreng Berempah, Amie gunakan resepi yang Amie gunakan DI SINI. Kalau boleh nak ratah-ratah saja Udang Goreng Berempah tu... tak payah nak makan dengan nasi!



Resepi: Sotong & Udang Goreng Berempah
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 kg udang - bersihkan - buang kulit - tinggalkan ekor - belah belakang untuk buang urat - dan jika mahu gorengan udang menjadi panjang tidak melengkung bolehlah kelar-kelar sedikit di bawah perut udang
1 cawan tepung gandum
3/4 cawan tepung jagung
10 helai daun kari - gunting halus
1 sudu teh serbuk kari
1 biji telur
1 sudu makan serbuk ENO
1/2 - 3/4 cawan air - 
garam / gula / perasa pilihan
minyak

Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 sudu teh ketumbar biji
1 sudu teh jintan manis biji
1 sudu teh jintan putih biji
Cara:
1. Campurkan tepung gandum dan tepung jagung.
2. Masukkan serbuk kari, daun kari, lada putih, serbuk ENO, garam & perasa pilihan, bahan kisar, telur dan air.
3. Gaul sebati dan biarkan selama 5-7 minit.
4. Panaskan minyak yang banyak untuk menggoreng terendam.
5. Celupkan udang ke dalam adunan dan goreng hingga kekuningan.
6. Angkat dan toskan.




Untuk Sambal Tumis Ikan Bilis Aroma Pandan pula, Amie tambahkan udang kering kisar selain sedikit belacan. Amie gunakan 5 helai daun pandai yang digoreng terlebih dahulu untuk aroma yang lebih menyelerakan! Boleh klik DI SINI untuk resepinya.

Resepi : Sambal Tumis Ikan Bilis Aroma Pandan
Olahan :Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
3 cawan ikan bilis - bersihkan, cuci dan tos - jika suka goreng terlebih dahulu dan ketepikan
5 helai daun pandan - siat-siat dan simpulkan
1 batang serai - dititik
1 labu bawang besar - hiris kasar
1 sudu pati asam jawa (bancuh dengan sedikit air)
garam  dan gula secukup rasa
minyak

Bahan kisar:
20 biji cili kering
5 ulas bawang putih
10 biji bawang merah
1.5 cm belacan
1/2 cawan udang kering - rendam hingga kembang

Cara:
1. Panaskan minyak secukupnya. Setelah benar-benar panas, masukkan daun pandan dan goreng hingga harum dan layu.
2. Masukkan semua bahan kisar dan tumis dengan api sederhana panas hingga pecah minyak. 
3. Masukkan bancuhan pati asam jawa, garam dan gula. Biarkan mendidih sebentar.

4. Masukkan ikan bilis serta bawang besar dan masak dengan api perlahan sehingga kuahnya pekat... tapi kali ini kepekatan yang berbeza disebabkan adanya udang kering!


Dan seperti kebiasaannya nasi lemak tidak lengkap tanpa telur rebus, kacang tanah (Amie gunakan kacang gajus) serta hirisan timun.




Jemput ye.... yang di sebelah udang Goreng berempah dalam gambar di belakang tu kepala-kepala sotong ... Amie goreng sekali gunakan adunan tepung udang goreng. Wokeeeyyy... jumpa lagi! Tinggal dulu sebab Amie nak bermesra-mesraan dengan buah hati pengarang jantung! Siapa lagi kalau bukan bujang kenitku Firdaus!

2 ulasan:

  1. salam kak amie..

    bestnya makan nasi lemak dan udang goreng tu..

    BalasPadam
  2. waduhhhhh menyelerakan sungguh...nampak sedap yg amat, lebih2 lagi tngk udang goreng berempah tu...mekasih atas resepinya...leh cuba nnti..

    BalasPadam