Pages

Ahad, 3 Februari 2013

Nasi Lemak Sambal Kupang

Assalamualaikum.
Selamat berhujung minggu buat semua rakan pengunjung. Hari ini Amie masak Nasi Lemak Sambal Kupang. Anak-anak pun asyik bertanya, bila nak makan nasi lemak... jadi Amie rasa hidangan ini sesuai disediakan pada hari Ahad memandangkan semua ahli keluarga berkumpul, dan sudah semestinya masing-masing menggalas tugas gotong-royong membersihkan rumah! Hidangan nasi lemak memang tinggi kalorinya, dan kurang sesuai dijadikan menu setiap hari memandangkan gaya hidup kita yang berbeza dengan gaya hidup zaman ayahbonda dan nenda kita. Kalau dahulu, nasi lemak dijadikan bekalan untuk bekerja di sawah, ladang dan menoreh getah, jadi memang tidak timbul masalah lemak dan kandungan gula yang tinggi dalam darah disebabkan mereka gunakan semula tenaga yang tersimpan dalam badan. Tapi berbeza dengan kita pada hari ini.... nak keluarkan peluh pun terpaksa melakukan senaman, tapi itu pun asyik berkira kerana kesibukan itu dan ini he he ehhhh.....


Pagi ini Encik Suami dan anak-anak membersihkan rumah dari awal pagi. Masing-masing sudah dibahagikan tugas termasuk mencuci pakaian (mesin basuh yang cuci), menjemur pakaian, menyapu segenap sudut rumah, mengelap habuk pada almari, dindang dan kerusi meja, membersihkan rumput-rampai di sudut halaman yang sekangkang kucing, dan mengemaskini perpustakaan kecil kami. Jadi, memang banyak juga tenaga yang diperlukan untuk menyelesaikan tugas-tugas tersebut. Dengan alas perut nasi lemak sudah tentu kabohidrat dan gula dapat disalurkan menjadi tenaga, lagilah kalau berpeluh-peluh!



Seperti biasa, memang kena lebihkan sedikit penyediaan nasi lemak sebab anak-anak tidak cukup makan sekali! Kali ini Amie gandingkan dengan Sambal Kupang, tapi kena sediakan juga Sambal Ikan Bilis maklumlah anak-anak biasa makan nasi lemak dengan sambal ikan bilis dan tak biasa dengan sambal kupang. Selain itu, seperti adat kebiasaan lauk-pauk nasi lemak sudah tentulah ada telur rebus, hirisan mentimun, ikan bilis goreng dan kacang tanah goreng.... tapi Amie gunakan kacang gajus.

Oleh kerana olahan lauk nasi lemak boleh dipelbagaikan mengikut kreativiti, Amie pun terlupa entah berapa kali berkongsi resepi nasi lemak. Kalau rajin bolehlah klik resepi-resepi nasi lemak Amie seperti





Banyak juga rupanya koleksi nasi lemak Amie! Biasanya nasi lemak yang Amie hasilkan dimasak dengan cara kukus. Bezanya masak kukus dengan masak tanak biasa sudah tentulah cara kukus nasi akan lebih tahan lama, tidak lembik dan tidak keras sebab dimasak dengan wap. Apa pun, Amie perturunkan sekali lagi resepi cara kukus tersebut seperti di bawah ini:

Resepi : Nasi Lemak
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
6 cawan beras (Amie guna beras wangi) - cuci dan toskan

600ml santan (terpulang pekat atau cair - kalau pekat hasilnya lebih berlemak)

3 cm halia (dihiris atau diketuk pun boleh)
3 biji bawang putih (dihiris atau diketuk pun boleh juga)
2 kuntum bunga lawang
5 cm kulit kayu manis
sehelai daun pandan (disiat-siat dan disimpul)
sedikit garam

Cara:
1. Didihkan air dalam periuk pengukus.
2. Didihkan santan di dalam kuali bersama halia, bawang putih, bunga lawang, kayu manis dan daun pandan.
3. Masukkan beras dan sedikit garam. Kacau sekali - sekala sehingga beras kembang dan santan kering.
4. Masukkan beras tadi ke dalam periuk pengukus.
5. Kukus 20-25 minit atau sehingga nasi benar-benar masak.




Resepi : Sambal Kupang & Sambal Ikan Bilis
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:

1 .5 cawan isi kupang & 1 cawan ikan bilis goreng

1 batang serai - dititik
1 labu bawang besar - hiris kasar - bahagi 2
1 cawan hirisan petai - bahagi 2
1 sudu pati asam jawa (bancuh dengan sedikit air)
garam  dan gula secukup rasa
minyak

Bahan kisar:
30 biji cili kering
5 biji bawang putih
10 biji bawang merah
1.5 cm belacan

Cara:
1. Panaskan minyak secukupnya. 
2.Masukkan semua bahan kisar dan tumis dengan api sederhana panas hingga pecah minyak. 
3. Masukkan bancuhan pati asam jawa, garam dan gula. Biarkan mendidih sebentar.
4. Bahagikan sambal kepada 2 bahagian - 1 bahagian untuk sambal kupang dan 1 bahagian lagi untuk sambal ikan bilis.
5. Dalam sebuah kuali baru, masukkan ikan bilis goreng, hirisan petai dan hirisan bawang besar. Masak seketika sehingga pekat. Tutup api.
6. Dalam kuali asal, masukkan isi kupang, bawang besar da hirisan petai. Masak seketika sehingga pekat. Tutup api.




Jadi, dapatlah dua jenis sambal - Sambal Kupang (gambar di atas nu....) dan Sambal Ikan Bilis (gambar atas ni.......)


Jangan lupa, hidangkan bersama telur rebus, hirisan timun dan kacang tanah goreng...dan apa sahajalah lauk-pauk yang disukai. Jumpa lagi....

11 ulasan:

  1. wow..akak boleh bukak kedai the variety of nasi lemak...memang banyak jenis..

    BalasPadam
  2. mmg terbaik la.nak buat nasi lemak nnt rujuk blog ni je.sambil2 baca td dok berangan gak ni...bestnye kalau buka restoren jual aneka nasi lemak fuhhh ,angan2 je la ni hehhe

    BalasPadam
  3. Ya, kita ubah suai nasi lemak ikut cara. Saya punya, terus jadi menu Nasi Lemak Masak Sendiri.

    Saya guna ricecooker jer. Belum berani amik risiko mengukusnya. hehehe

    Sambal Kupang belum pernah try, sebab susah nak dapat kupang yg kering (and mahal juga, saya ni tak boleh sikit).

    Saya nak try masak Sambal Kerang la nanti.

    BalasPadam
  4. sedapnya.. rajin betul kak amie ni.. bertuah suami & anak2.. hehe..

    BalasPadam
  5. Rajinnya akak mengukus ye....tp hasiilnya dah tentu la bestkan...

    Sy guna ricecoker je msak nadi lemak nie....malas nak kukus2 ni....hehe...

    BalasPadam
  6. Faa...
    Faa laa pelanggan pertama kakak nanti ye..

    Inazamri,
    memang minat dengan pelbagai lauk hidangan nasi lemak Ina...

    Azieazah,
    ni Amie gunakan kupang segar ni... agaknya sebab Amie dah biasa kukus kot.

    BalasPadam
  7. May,
    hari cuti saja sempat masak begini May.

    Asyifa,
    tak apa Asyifa... Amie memang dah biasa guna pengukus, mengukus ni pun belajar dari mak mentua ni.

    BalasPadam
  8. White Cappuccino,
    kebetulan terjumpa kupang ni...

    BalasPadam
  9. Hebat!, pelbagai variasi nasi lemak hasil air tangan dan kreativiti Amie.

    BalasPadam
  10. Kita pon ada isi kupang tp scwn jer..bru nk buat ns lemak,.huhu

    BalasPadam