Pages

Isnin, 13 Mei 2024

Resipi Ikan Masak Kicap

Bismillahirrahmanirrahim.

Teringat minggu lepas sewaktu sukan di padang, makan nasi putih lauk sayur betik muda dengan ikan goreng. Sedap betul sayur betik muda yang disagat panjang besar-besar batang mancis. Betik muda itu hanya dimasak tumis sahaja. Jadinya, kelmarin sewaktu beli betik muda kononnya hari ini hendak masaklah. Takut betik muda menjadi mengkal, Amie simpan dalam peti sejuk. Petang tadi apabila dikupasm rupanya luarnya saja nampak muda dengan kulit warna hijau, tapi isinya di dalam sudah tidak muda melainkan tua! Warnanya pun sudah bercamput putih dan kuning. Tapi, masak sajalah sebab teringin!

Firdaus pula pesan samada goreng ikan garing-garing atau ikan dimasak kicap. Amie tak janji hendak masak kicap sebab kena tengok ada atau tidak bahan-bahan untuk masak kicap.

Ikan Dongol Masak Kicap

Hidangan Tengah Hari / Malam

Sebelum Encik Suami dan Firdaus sampai ke rumah, sudah siap hidangan:
  • Nasi Putih
  • Ikan Masak Kicap
  • Betik Masak Tumis
  • Sup Ceker Campur-Campur
  • Sambal Belacan Tempoyak
  • Hirisan Tembikai dan Betik
Sup Ceker Campur-Campur

Seperti biasa, Amie masak sup campur-campur kaki ayam, tambah white fungus, cendawan shiitake, lobak merah dan sawi pahit. Sebenarnya hendak hirup kuahnya... ahaks!

Betik Masak Tumis

Sambal Belacan Tempoyak

Buah Tembikai & Betik

Ikan Dongol Masak Kicap

Resipi Ikan Masak Kicap (Semur)
Bahan-bahan:
  • 2 kepingan ikan dongol seberat 450 gram - boleh gunakan ikan tenggiri / ikan putih / pari / kerapu / jenahak dan lain-lain
  • 4 sudu besar kicap pekat
  • 4 sudu besar kicap lemak manis
  • 1 sudu kecil lada hitam - tumbuk
  • 2 batang serai - diketuk
  • 1 keping asam gelugur
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 3 biji buah pelaga
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 3/4 cawan air
  • minyak
  • garam / gula / perasa pilihan

Bahan hiris:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
2 cm halia

Bahan hiasan:
cili hijau
cili padi

Cara memasak:
1. Lumur ikan dengan sedikit garam dan kunyit. Goreng hingga masak. Angkat dan toskan.
2. Tinggalkan 1/2 cawan minyak bekas gorengan ikan dalam kuali.
3. Goreng kulit kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih dan bunga lawang hingga wangi.
4. Kemudian masukkan bahan hiris serta serai. Tumis hingga bawang layu.
5. Seterusnya masukkan asam keping, gula ,air, kicap pekat dan kicap lemak manis. Biarkan mendidih.
6. Setelah kuah kicap mulai pekat, masukkan ikan goreng, lada hitam, garam / perasa pilihan serta cili hijau dan cili padi.
7. Gaul rata dan kemudian padamkan api dapur.

Komen Firdaus selepas makan:
Terima kasih Mommy. Terima kasih Baba.
Ikan Masak Kicap sedap sangat.
Bolehkah Daus minta sesuatu? Lain kali kalau Mommy masak ikan begini, lebihkan kuahnya. Daus suka sangat kuah kicap!


Jemput makan.
Bismillah.


7 ulasan:

  1. Saya pun selalu buat ikan masak kicap ni, tapi resipi saya tak masukkan 4 sekawan. Tapi kalau ayam masak kicap saya ikut resipi yg Kak Amie share ni.

    BalasPadam
  2. Betik masak tumis tu kegemaran Mak mentua saya... Drpd tak selera makan,.. jenis makan 2 - 3 suap lepas tu dah tak lalu.. dapat lauk betik tumis... eh sepinggan perginya

    BalasPadam
  3. Tak mengkal ya Kak Amie betik tu? $uka benar Daus dgn ikan masak kicap, lagi suka jika mummy letak kicap/kuah byk. Tapi sejak dulu pun ikan masak kicap kuahnya sikit, Daus.

    BalasPadam
  4. Betul Firdaus memang sedap lauk mummy masak tau. Aunty dapat tenung je hehe.

    BalasPadam
  5. Ikan masak kicap menu paling senang..selalu buat untuk menu bekal SA

    BalasPadam
  6. Langsung teringat semur ikan mama kalo lihat menu di atas 😍😍.

    Saya tak terlalu suka ikan, tp kalo ikan dengan daging tebal begitu, memang sukaa

    BalasPadam
  7. uishhhh.. mengundang betul lah sayur tumis betik tu huhu..
    Saya pun suka kuah semur sebab ada rasa pedas lada hitam/putih + manis/masin

    BalasPadam