Pages

Jumaat, 15 September 2023

Sotong Masak Lemak Tempoyak Cili Padi

Bismillahirrahmanirrahim.
Nasi sudah tanak. Lauk-pauk sudah terhidang di atas meja. Beberapa kali mengintai pintu pagar dari pintu dapur tetapi tidak terlihat kelibat Encik Suami dan Firdaus. Biasanya pukul 4:45 petang sudah terdengar suara Firdaus yang terburu-buru masu dapur dan bertanya: Mommy masak lauk apa?

Melihat jam sudah menghampiri pukul lima petang, rasa cemas juga orang yang ditunggu tak kunjung tiba. Masuk dapur, keluar dapur! Pukul 5:20 petang! Baru teringat rupanya minggu ini selama empat hari dari Isnin hingga Khamis, Firdaus mengikuti latihan choral speaking di sekolah rendah. Hari ini Firdaus ke sekolah agama dan keluar pada pukul 5:20 petang!

Tepuk dahi! Tanda-tanda kelupaan sudah jelas menunjukkan faktor usia yang semakin senja! Padahal kita ikut Encik Suami hantar Firdaus ke sekolah agama selepas mereka solat Jumaat di Masjid Kampung Bugis.  Allahu Akbar.

Kita beralih cerita di dapur. Salah satu lauk yang Amie sediakan petang ini ialah Sotong Masak Lemak Tempoyak Cili Padi. Sebelum sampai ke rumah petang tadi, kami sempat singgah beli sotong segar. Saiznya kecil-kecil saja. Marilah kita carikan bahan-bahan yang boleh digunakan untuk mengolah sotong supaya menjadi lauk yang sedap.


Sotong Masak Lemak Tempoyak Cili Padi
Bahan-bahan:
  • 15 ekor sotong cumi - bersihkan - kelar sedikit
  • 1 cawan air
  • 1/2  santan pekat
  • 3 batang kacang panjang - hiris serong
  • 2 helai daun kunyit - siat dan simpul
  • 2 batang serai - diketuk
  • 1 keping asam gelugur - jika perlu untuk tambah rasa masam
  • garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
  • 2 ulas bawang putih
  • 3 biji bawang merah
  • 15 tangkai cili padi
  • 2 cm kunyit hidup
  • 4 sudu besar tempoyak
Cara memasak:
  1. Masukkan bahan kisar, serai dan air ke dalam periuk.
  2. Setelah mendidih, masukkan santan pekat. 
  3. Apabila kuah mula mendidih, masukkan kacang panjang dan sotong.
  4. Perasakan dengan garam  / gula / perasa pilihan.
  5. Jika kuah kurang masam, boleh masukkan asam keping.
  6. Apabila sotong sudah kembang, masukkan daun kunyit.
  7. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.
  8. Keluarkan asam keping (jika masukkan asam keping).

Sotong Masak Lemak Tempoyak Cili Padi


Belanja sekeping gambar kelas Firdaus sempena Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan 2023. Mana budak kecil itu ya?


Sebentar lagi sampailah Encik Suami dengan Firdaus.
Jemput makan sama.
Kawan-kawan masak apa hari ini?

8 ulasan:

  1. Uncle ni tempoyak kureng.... tapi sotong lajuuuuu!

    BalasPadam
  2. Hati seorang emak kan...selalu risau akan anak-anaknya.Doa tak pernah putus untuk anak-anak
    Oh,boleh pelbagaikan seafood untuk masak tempoyak yer..Nampak sedap...

    BalasPadam
  3. Menariknya…bolehlah saya cuba masak begini.

    Daus di baris belakang kiri.
    Comelnya semua berbaju tradisional.

    BalasPadam
  4. Dah lama saya tak masak sotong gulai macam ni. Kuah ya yg gurih, pekat dan sedikit asam memang selalu naikkan appetite 😄👍. Apalagi kalo pedas juga.

    BalasPadam
  5. Sesekali masak sotong masak lemak tentu sedap. Kak Amie masak, of courselah sedap! Kadang mungkin kita ni banyak fikir kot kan sampai terlupa. Saya pun kalau encik suami lambat sikit dari kebiasaan pun dah cemas juga.

    BalasPadam
  6. Tentu sedap sotong dimasak lemak cili padi, sy belum pernah cuba.

    BalasPadam
  7. adehhhh kak amie ni saja je tunjuk sotong ya... tahu laa sy dah lama x mkn sotong hahaha

    BalasPadam
  8. SA x ernah masak sotong lemak tempoyak..nampak menarik la Kak Amie..boleh la cuba nanti ni

    BalasPadam