Pages

Ahad, 9 Julai 2023

Resipi Ikan Patin Masak Asam Pedas Yang Sedap!

Bismillahirrahmanirrahim.
Jumpa lagi di petang minggu yang nyaman. Cuaca di LD nampak cerah dari pagi. Alhamdulillah. Lebih kurang sebulan yang lalu kita berhadapan dengan suhu yang tinggi, dan sekarang keadaan sudah kembali normal.

Encik Suami kata petang nanti pergi ke kampung. Seperti biasa memang akan ada makan-makan keluarga. Oleh kerana masih ada baki PULUT TIGA RASA, Encik Suami kata tak perlulah masak untuk tengah hari. Jadi, kami habiskanlah pulut dengan rendang rusa.

Sebelum jalan-jalan ke kampung, Amie kongsikan resipi Ikan Patin Masak Asam Pedas. Lauk ikan patin ini dimasak beberapa hari yang lalu. Oleh kerana Amie masak waktu petang, jadi dapatlah makan bersama Firdaus. Ketika itu Firdaus balik dari sekolah agama, dan terus masuk dapur. Seperti biasa bertanyalah soalan yang sama: Mommy masak apa?

Amie suruh Firdaus buka tudung saji. Dan terdengarlah suaranya berseru dengan gembira : Wow! Mommy masak asam pedas! Sedapnya!

Ikan Patin Masak Asam Pedas

Ikan Patin Masak asam Pedas dengan Nanas

Masakan asam pedas ikan patin ini, selain daun kesum dan bunga kantan, Ame tambahkan hirisan nanas. Amie ambil bahagian bawah nanas yang agak masam. Amie masukkan juga sekeping asam gelugor untuk sempurnakan rasa asam pedas. Sebelum masukkan ikan patin, Amie keluarkan dahulu asam gelugor supaya rasanya tidak terlalu masam.

Ikan Patin Sungai Segama

Ikan patin yang Amie beli dari seorang rakan sekerja ini datangnya dari Sungai Segama. Harga sekilogram RM13.00.  Amie beli dua ekor seberat 1.5 kilogram. Bukan senang hendak dapat bekalan ikan patin sebab penduduk tempatan lebih berminat dengan ikan air masin berbanding ikan air tawar. Jadi, sesekali jika ada ikan patin naik dari sungai, maka peminat air tawar terutamanya orang dari Malaya sudah tentu tidak lepaskan peluang untuk membelinya. Menyesal pula beli hanya dua ekor. Apabila Amie hendak tambah lagi, habis pula ikan patin dibeli oleh kawan-kawan yang lain.


Resipi Ikan Patin Masak Asam Pedas
Bahan-bahan:

  • 1 ekor ikan patin seberat 700 gram - bersihkan (buang urat hanyir) - potong ikut saiz yang disukai
  • 1 kuntum bunga kantan - belah 4
  • 10 tangkai  daun kesum
  • 1 batang serai - diketuk
  • 7 biji tomato ceri - belah tak putus
  • 1 cawan hirisan nanas (masam)
  • 1 keping asam gelugur
  • 1/2 cawan minyak
  • 800 ml air
  • garam / perasa pilihan 
Bahan kisar:
  • 10 tangkai cili kering jenis pedas
  • 3 ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah
  • 1 sudu kecil belacan
  • 2 cm kunyit hidup
  • 1 cm halia
  • 1/2 sudu kecil lada hitam
Cara memasak:
  1. Panaskan minyak. Masukkan serai dan bahan kisar.
  2. Tumis dengan api sederhana hingga terbit minyak.
  3. Kemudian masukkan air dan diikuti dengan hirisan nanas dan asam keping.
  4. Biarkan masak mendidih sehingga nanas layu.
  5. Keluarkan asam keping.
  6. Masukkan bunga kantan, daun kesum dan ikan patin.
  7. Setelah kuah asam pedas mendidih sekali lagi dan ikan patin sudah masak, masukkan tomato ceri dan taburkan garam / perasa pilihan.
  8. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.

Ikan Patin Masak Asam Pedas untuk Firdaus.

Kuah Ikan Patin Masak Asam Pedas ini kelihatan berlinang-linang dengan minyak. Sebenarnya sebahagian besar minyaknya datang daripada lemak ikan patin. Khabarnya lemak yang terkandung dalam ikan air tawar ini merupakan lemak jenis tidak tepu, atau dengan kata lain jenis lemak baik.  Ini berita baik untuk yang mempunyai kolesterol tinggi. Hal ini keranan kandungan lemak tidak tepu ini dapat membantu menyeimbangkan kandungan kolestrol baik dan juga kolesterol jahat di dalam tubuh, sehingga dapat membantu menurunkan kolestrol jahat.

12 ulasan:

  1. Ooooo... Daus ni minat Fatin rupanya.... Eh, Patin!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Dia minat masakan ikan yang masam-masam pedas.

      Padam
  2. Kalau ikan patin sungai memang sedap.
    Kat sini sampai rm20 sekg harganya

    BalasPadam
    Balasan
    1. Di LD bekalan ikan laut banyak.
      Ikan air tawar memang kurang peminatnya.
      Itu pasal susah nak jumpa talapia, keli dan yang sewaktu dengannya.

      Padam
  3. Menarik sungguh hasil masakan kak Amie 😋
    Siap letak nenas, bertambah sedap.

    BalasPadam
  4. good idea bagi nenas. boleh relate rasa dia, sedap

    BalasPadam
  5. Woow warnanya cakep...sebetulnya saya gak terlalu suka ikan patin karena terlalu berlemak..tapi liat masakan kakak koq jadi ngiler ya...

    BalasPadam
  6. Saya belum pernah makan patin masak asam pedas.. menarik juga untuk dicuba ni.

    BalasPadam
  7. Murahnya harga ikan patin kat sana. Kata biras sy yg org Pahang, ramai org kena tipu dgn harga patin. Padahal ikannya murah aje tapi boleh jadi smpi RM60 seekor. Sedap nampaknya bila patin dimasak asam pedas.

    BalasPadam
  8. nampak fresh-fresh lagi ikannya tu kak oi

    BalasPadam
  9. Asam pedas dah jadi lauk kegemaran saya dah kak Amie. Bukan main seronok lagi Firdaus bila mommy masak lauk sedap. Kita yang masak pun happy bila orang lain seronok tak sabar nak makanan masakan kita.

    BalasPadam
  10. Sy x pernah rasa ikan patin... certain org sarawak ni ada pantang larang x boleh mkn ikan patin.. sy jd terbiasa x makan... lgpun di sarawak ni mmg x pernah jumpa org jual ikan patin

    BalasPadam