Pages

Ahad, 25 Jun 2023

Asam Rebus Ikan Belanak Memang Sangat Sedap!

Bismillahirrahmanirrahim.
Apa cerita di hari minggu?
Tentu banyak kerja rumah yang hendak dibereskan. Dari mencuci pakaian, mengemop lantai, bersihkan semua ruang dari dapur sehingga ke ruang tamu, halaman rumah dan yang sewaktu dengannya. Menjelang tengah hari nanti sudah tentu sibuk menyiapkan hidangan untuk keluarga. Dan tidak kurang juga yang mengambil kesempatan untuk makan bersama keluarga di luar.

Hari ini kami di rumah sahaja, bergotong-royong bersihkan rumah bersama Encik Suami dan Firdaus. Belum lagi hendak masuk dapur untuk masak tengah hari. Amie kongsikan lauk makan tengah hari kami kelmarin iaitu Asam Rebus Ikan Belanak. Firdaus paling suka hirup kuah asam rebus ikan yang masih panas! 

Asam Rebus Ikan Belanak

Sedap hirup kuahnya yang masam pedas sewaktu masih panas!

Ikan Belanak


Amie gunakan dua ekor ikan belanak segar seberat 800 gram. Petik daun kesum di belakang dapur, dan tambahkan sedikit kunyit hidup serta cili merah. Untuk lebih pedas Amie bubuh 10 tangkai cili padi. Kali ini tidak ada asam keping, jadi Amie gunakan pati asam jawa. Rasanya juga lebih sedap sebab masamnya tidak menyengat seperti asam keping.


Resipi Asam Rebus Ikan Belanak
Bahan-bahan:
  • Dua ekor ikan belanak seberat 800 gram - bersihkan - potong ikut suka
  • 10 tangkai / pucuk daun kesum
  • 10 tangkai kacang bendi - potong 2-3
  • 10 biji tomato ceri
  • 2 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan sedikit air
  • 1 liter air
  • garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar kasar:
  • 2 tangkai cili merah
  • 10 tangkai cili padi
  • 3 ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah
  • 1 sudu kecil belacan
  • 2 cm kunyit hidup
Cara memasak:
  1. Jerang periuk di atas api dapur. Tuangkan bahan kisar bersama air.
  2. Biarkan sehingga mendidih. Masukkan pati asam jawa yang telah dibancuh dengan air.
  3. Masukkan ikan belanak bersama daun kesum, kacang bendi dan tomato ceri.
  4. Setelah kuah asam rebus mendidih sekali lagi, dan ikan belanak masak, taburkan garam / perasa pilihan.
  5. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.

Baki Asam Rebus Ikan Belanak.

Sewaktu sarapan pagi tadi, Firdaus tanya masih adakah lagi lauk asam rebus ikan belanak kelmarin? Kita pun faham, budak kecil ini hendak hirup kuah asam rebus ikan! Malam tadi Encik Suami simpan baki asam rebus ikan dalam peti sejuk. Ada bahagian ekor yang masih tinggal, dan Amie panaskan semula. Dapatlah Firdaus hirup kuahnya!

Asam Rebus Ikan : Menu sihat dan berkhasiat!

Senanglah kerja masak-memasak sebab Firdaus tak cerewet memilih lauk! Biasanya asam rebus ikan begini orang-orang dewasa dan berumur sahaja yang suka, tapi budak kecil macam Firdaus pun suka!

Sekarang sudah pukul 11:15. Jom masuk dapur.

8 ulasan:

  1. Simple dan sihat 🩷 Suka jugak menu mcm ni. Perut pun tak rasa bloated.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Suka hirup kuahnya yang pedas-pedas masam.

      Padam
  2. Style asam rebus yang simple tapi sedap. Ayah saya pun suka asam rebus style macam ni.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hirup kuahnya yang masih panas, memang tak hengat hihihiii!

      Padam
  3. Panaskan perut dengan masakan ni.. arrr sedap!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, betul. Kita kasi panas perut biar tak kembung.

      Padam
  4. Menu yang simple tapi bertambah nasi ini..

    BalasPadam
  5. Mengimbau memori ikan belanak ni..masa SA satu family tinggal di PD dulu Pak Zain lepas office hour jer pi menjala kat laut..memang banyak dapat ikan belanak ni...biasa goreng, masak lemak cili api, goreng kicap dan besar2 maam ni bakar cicah air asam

    BalasPadam