Pages

Ahad, 26 Mac 2023

Asam Pedas Daging Tetel

Bismillahirrahmanirrahim.
Siapa suka makan daging tetel? Lama jugalah kita tak makan daging tetel. Daging tetel ialah lebihan daging yang mempunyai banyak urat dan lemak. Oleh kerana banyak lemak, jadi kandungan kolesterolnya juga sangat tinggi. Rasanya juga lebih sedap berbanding daging nombor kayangan.... ahaks! Sesekali makan masih boleh diampunkan, tapi kalau selalu sangat memang bahayalah! 

Daging tetel ini boleh diolah menjadi pelbagai menu. Selain asam pedas, daging tetel juga boleh dimasak kari, masak lemak cili padi, masak kicap, masak dalca dan seumpamanya. Amie pilih untuk masak asam pedas. Resipi asam pedas pun ada macam-macam versi. Ikut sukalah mana yang sesuai untuk memenuhi selera masing-masing.

Asam Pedas Daging Tetel

Terlebih dahulu Amie rebus daging tetel sehingga mendidih. Kemudian Amie buangkan airnya dan seterusnya ganti dengan air baharu. Kemudian Amie rebus dengan api besar sehingga mendidih. Selepas itu Amie tutup periuk, dan kecilkan api. Biarkan daging tetel menjadi empuk.

Ketika menumis perencah asam pedas, aromanya memang memenuhi ruang dapur. Kita buka tingkap dapur. Terdengar jiran sebelah rumah bersin beberapa kali! Macamanalah orang tak terbersin sebab terhidu aroma tumisan perencah yang mengandungi pelbagai bahan. Serai, lengkuas dan belacan serta pokok ketumbar dikisar halus bersama cili kering dan bawang! Apabila bersatu dalam kuali sudah tentulah timbul aroma masakan yang semerbak mewangi!

Amie tidak ada tomato yang biasa kita gunakan dalam masakan, jadi Amie gunakanlah tomato ceri.

Resipi Asam Pedas Daging Tetel ini Amie rujuk entri lama di sini: RESIPI SEDAP ASAM PEDAS DAGING TETEL

Asam Pedas Daging Tetel

Bahan-bahan:
  • 400 gram daging tetel
  • 7 biji tomato ceri - belah jangan putus
  • 1 kuntum bunga kantan - belah 2
  • 700 ml air rebusan daging tetel
  • 2 keping asam gelugur
  • 3 helai daun limau purut - buang urat belakang 
  • 4 sudu besar minyak
  • garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
  • 1 pokok ketumbar
  • 3 helai daun limau purut - buang urat belakang
  • 12 tangkai cili kering
  • 5 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 cm lengkuas
  • 2  cm halia
  • 2 batang serai -hiris
  • 3 biji buah keras
  • 2 cm belacan

Cara memasak:
1. Rebus daging tetel hingga mendidih. Buang air rebusan. Gantikan dengan air baharu. Rebus lagi hingga empuk.  Toskan. Simpan air rebusan.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar hingga pecah minyak.
3. Masukkan air rebusan dan daging tetel serta asam keping.
4. Masak sehingga kuah mendidih dan daging tetel lembut sempurna.
5. Seterusnya masukkan bunga kantan,  daun limau purut dan tomato ceri.
6. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
7. Renih seketika dengan api sederhana kecil sehingga kuah pekat dan pecah minyak.
8. Padamkan api dapur dan keluarkan asam keping.


Petang tadi kami berbuka puasa makan nasi lauk Asam Pedas Daging Tetel. Firdaus sampai enghirup kuahnya! Baki asam pedas boleh dipanaskan semula untuk lauk sahur esok pagi. Cuma tambahkan telur dadar dengan masak sayur sahaja.

14 ulasan:

  1. Sedap itu masakan Puan Amie.

    BalasPadam
  2. sedapnya daging tetel👍👍👍👍fav sy ni

    BalasPadam
  3. Sedapnya kak amie, saya suka daging tetel sebab ada rasa kombinasi daging pejal, lemak2 dan urat hehe...bila makan pelbagai tektur masuk ke mulut

    BalasPadam
  4. Cocok ini buat ibu ibu yang suka resep masakan

    BalasPadam
  5. Sedapnya... kalau sy suka sup je... x pernah lg cuba dibuat asam pedas

    BalasPadam
  6. Sy pun suka dgg tetel sebab lemak²-nya tu la hehe... Sedap asam pedas Kak Amie.

    BalasPadam
  7. Biasa kat rumah SA tetel ni masal lompap atupun buat sup...paling selalu buat masak lemak cili api la..letak serai banyak2...buat pedas sikit...erm..dapnyaaaa

    BalasPadam
  8. Adoi, mengancam betul Asam Pedas Tetel tu, jangan kata jran, orang Tanah Jauhar pun ikut bersin.. atchummm!

    BalasPadam
  9. Daging tetel memang sedap tapi tak boleh selalu. Ni lauk asam pedas semalam perangat makan dengan lempeng pun sodap...opsss

    BalasPadam
  10. Sedapnya! Selera makan ni. Saya pun sama. Waktu sahur, walau ada lauk lain, goreng telor dadar juga. :)

    BalasPadam
  11. Uii...sedapnya tetel yang lemak-lemak tu..walau hanya reja-reja/ lebihan daging tapi itu yang sedap.
    Saya pula ada tomato 🍅 tapi takda tomato ceri🤭Kalau dekat boleh tukar-tukar

    BalasPadam