Sejak minggu lepas teringin nak makan sambal goreng bubuh kacang tolo. Sambal goreng campur kacang tolo ini Amie selalu jumpa di majlis kenduri kahwin, atau kenduri - kendara yang lain. Kalau di majlis kahwin, biasanya kacang tolo bercampur di dalam sambal goreng babat. Seronok melihat kaum lelaki tumis sambal goreng babat kacang tolo dalam kawah besar. Di kampung kami, secara tradisinya kalau ada kenduri besar seperti majlis perkahwinan, memang kaum lelakilah yang akan bergotong-royong memasak. Kaum perempuan pula menyiapkan bahan masakan seperti memotong bawang, membuat acar dan menggiling rempah.
Sebenarnya kacang tolo sudah lama Amie beli, tetapi untuk mengolahnya itu yang agak berat timbangan rasa malasnya... ahaks! Tengahari tadi, sebaik sampai ke rumah dari tempat kerja Amie terus ke dapur untuk kemas-kemas banyak bekas makanan yang agak bersepah. Tiba-tiba terjumpa serunding kelapa dalam tupperware. Entah bagaimana, sepantas kilat terlintas dalam kepala untuk buat nasi ambeng! Kebetulan pula ayam sedang dinyahbeku. Apalagi.... bersilatlah di dapur seorang diri untuk menyiapkan lauk-pauk nasi ambeng. Sudah semestinya kacang tolo tidak dilupakan!
Nasi Ambeng |
Kacang Tolo |
Ada nama lain bagi kacang tolo ini. Amie sebut kacang tolo sebab kacang tolo itulah nama pertama yang Amie dengar. Kacang tolo juga dikenali sebagai kacang tunggak atau kacang ketupat. Macamana boleh dapat nama kacang ketupat eeerrkk? Barangkali kacang ini dimasukkan bersama beras atau pulut di dalam kelongsong ketupat! Keluarga sebelah arwah Ayahanda suka masak ketupat pulut (jenis panjang, tapi tak ingat apa namanya), dan di dalamnya ada kacang tolo. Nama lainnya termasuklah kacang mata hitam atau black eyed peas.
Sewaktu arwah Ayahanda berkebun di pinggir bukit menghala jalan masuk ke Puncak Alam dari arah Bukit Hijau, ada beberapa jenis tanaman kacang yang ditanam termasuk kacang hijau dan kacang tolo ini. Masih teringat, kami memetik kacang hijau yang sudah matang. Ketika Bonda masak bubur kacang hijau hasil tanaman kebun kami, memang aromanya tak sama dengan aroma kacang hijau yang Amie masak sekarang. Maklumlah, kacang hijau yang Bonda masak baru dituai segar dari kebun!
Pokok kacang tolo pula, buahnya sangat lebat! Setiap kali arwah Ayahanda suruh Amie jaga tanaman jagung dari dikekah monyet, Amie ambil kesempatan kutip kacang tolo! Biasanya Amie sembunyikan isi kacang tolo dapat saku baju,dan kemudian rebus dengan sedikit garam apabila pulang ke gubuk.
Kita kembali cerita Nasi Ambeng pula.
Sambal goreng (orang sebut sambal goreng Jawa) yang Amie hasilkan ini ringkas sahaja, tetapi setelah tambah itu dan ini, menjadi banyaklah pula. Bahan yang Amie gunakan termasuklah tempe, tauhu basah, lobak merah, kentang, suhun dan petai. Sebenarnya sambal goreng ini tidaklah terhad kepada bahan tertentu sahaja. Terpulanglah nak bubuh apa. Banyak versi sambal goreng di setiap majlis kenduri. Lain daerah, ada versinya yang tersendiri. Cuma, bahan asas yang digunakan untuk mengekalkan kejawaannya, sudah tentu ada tempe, tauhu, suhun serta kentang. Ada sambal goreng versi kering dan ada sambal goreng versi basah.
Sambal Goreng (Jawa) |
Alhamdulillah. Hasrat untuk menyediakan nasi ambeng buat hidangan seisi keluarga dipermudahkan dengan penemuan serunding kelapa dalam tupperware yang telah dilupakan! Aduhai....serunding kelapa! Sebenarnya serunding kelapa ini tersimpan sejak bulan April 2020! Amie simpan di dalam beberapa buah tupperware, dan nampaknya ini adalah tupperware terakhir berisi serunding kelapa! Keadaan dan rasanya masih elok sempurna. Terima kasih Bonda tersayang kerana telah mengajar anakanda membuat serunding kelapa yang tahan hingga berbulan lamanya! Kalau ikutkan tarikh Amie buat serunding kelapa ini pada pertengahan April 2020, bermakna hampir 8 bulan lamanya hayat serunding kelapa tersebut! Resepinya di sini: Resipi Serunding Kelapa Warisan Embah Buyutku
Walaupun serunding kelapa ini masih sempurna keadaan dan rasanya, tetapi Amie panaskan semula dengan menambah sedikit sambal (perencah sambal goreng) untuk menaikkan seri warnanya.
Ayamnya pula, separuh Amie goreng dan separuh lagi masak kicap. Ayam masak kicap ini Amie goreng terlebih dahulu. Lengkaplah sudah nasi ambeng seadanya dengan lauk-pauk:
- Ayam Goreng
- Ayam Masak Kicap
- Sambal Goreng
- Mee Goreng
- Serunding Kelapa
- Rempeyek
Untuk resipi dan cerita-cerita Nasi Ambeng bolehlah klik di sini:
Sekian.
Sembang-sembang nasi ambeng!
Saya salute dengan Amie. Saya tak cukup rajin untuk buat nasi ambeng. Kalau teringin, saya beli saja. Hebat, Amie! Nampak sedap semuanya, terutama sambal goreng jawa. Thumbs up! :)
BalasPadamBuat sambal goreng takde kacang tolo tak complete
BalasPadamSekarang dah jarang2 jumpa kacang tolo dalam ramuan nasi ambeng
BalasPadamTak pernah makan ada Kacang tolo dengan nasi ambeng.
BalasPadamKacang tolo, kacang tunggak, kacang ketupat semua tak pernah dengar. Kalau tak bgtau, saya ingat kacang soya. haha..
BalasPadamSedapnya nasi ambeng. Kena rajin baru menjadi. Banyak benda nak disediakan tu nak masak satu persatu. Bila lengkap barulah sedap. Sambal jawa tu kalau ditambah itu ini bila masak memang banyak jadinya. Puas makan nasi ambeng macam ni :)
bestnya kenduri secara rewang ni, skrg byk yg order catering kan .. huhuh
BalasPadamWahhhh, boleh jual Nasi Ambeng di Lahat Datu ni, Amie
BalasPadamSebagai peminat nasi ambeng, kita bagi Amie 5 bintang!
Nasi ambeng ini seronok dimakan beramai-ramai dalam talam.. memang seronok.. Paling suka sambal jawa tu..
BalasPadammesti sedap air tangan kak amie ni... secantik gambar yg diambilnya... nyum nyum
BalasPadamKacang tolo tu selalunya bila buat lepat pulut campurkan dengannya. Buat sambal goreng pun sodap. Susah kadang nak jumpa kacang tolo ni. emmm nasi ambeng amie mengoda sungguh
BalasPadam