Pages

Jumaat, 26 April 2013

Ayam Percik Kelantan: MALAYSIAN FOOD FESTIVAL (KELANTAN MONTH)

Assalamualaikum.
Bertemu kembali di petang Jumaat nan mendung tapi nyaman di Amie's Little Kitchen. Untuk paparan petang ini Amie kongsikan menu Ayam Percik Kelantan. Setelah mempelajari serba sedikit tentang resepi Ayam Percik Kelantan, Amie dapati terdapat 2 jenis iaitu ayam percik kuah putih yang tidak menggunakan cili dan satu lagi kuah pedas yang menggunakan cili dan warnanya merah lada. Untuk kiriman hidangan ketiga ke  Malaysian Food Festival (Kelantan Month) Amie cuba versi kuah putih seperti di bawah ini. Dan satu lagi, Amie juga dapati ada 2 versi cara masakannya iaitu direbus dahulu kemudian dibakar, dan satu lagi terus dibakar tanpa direbus terlebih dahulu. Amie pilih cara kedua, iaitu terus dibakar.


Amie gunakan resepi dari buku masakan Aneka Masakan Kelantan oleh Nik Malawati Nik Othman. Ketika kakak ipar mula masak untuk hidangan tengahari di dapur, Amie turut  menyelit-nyelitkan diri menyediakan Ayam Percik Kelantan. Selepas solat Zohor, Encik Suami pulang sebentar dan bersama anak-anak turut menikmati hidangan ini. Walaupun kali pertama mereka mencubanya, semua bersetuju mengatakan sangat sedap... termasuk kakak ipar Amie yang sukakan rasa kuahnya! Apa tidaknya... kuahnya yang lemak manis, rasa sedikit asam gelugur memang menyelerakan ditambah pula dengan aroma serai bercampur halia serta rempah ketumbar dan jintan!



Resepi : Ayam Percik Kelantan
Sumber : Aneka Masakan Kelantan oleh Nik Malawati Nik Othman

Bahan-bahan:
1/2 ekor ayam - dipotong 4
4 cawan santan pekat
1 sudu makan gula pasir
1-2 keping asam gelugur
garam

Bahan A - ditumbuk
1 inci halia
1 ulas bawang putih
1 sudu kecil garam

Bahan B - kisar halus
10 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia
4 batang serai

Bahan C - disangai dan dikisar halus
1/2 sudu makan jintan manis
1/2 sudu makan jintan putih
1 sudu makan ketumbar

Cara:
1. Perap ayam dengan Bahan A - Amie perap 30 minit.
2. Bakar hingga separuh masak.
3. Satukan Bahan B, Bahan C, asam gelugur dan santan serta perasakan dengan garam dan gulanya.
4. Masak sambil dikacau selalu hingga pekat dan berminyak.
5. Bahagikan kuah ini kepada 2 bahagian.
6. Celup ayam dan kuah pertama dan bakar semula. Ulangi proses tadi sekali lagi.
7. Kuah yang sebahagian lagi dicurahkan ke atas ayam semasa menghidang.



Nampaknya tocang Amie dah bertambah lagi satu  ni Kak Nor @ Secubit Garam ha ha hah... dah pandai dah memilih-milih ni... Nak bakar ayam saja tak mahu rebus dulu... lepas tu nak yang berkuah putih pulak tu! Seronok rasanya masih berkesempatan menyumbang resepi untuk memeriahkan lagi suasana Malaysian Food Festival (Kelantan Month) yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk sampai ke penghujungnya! Buat rakan-rakan yang berminat untuk menyertai MFF (Kelantan Month) ini bolehlah berkunjung ke My Kitchen Snippets  untuk maklumat lanjut. Terima kasih sekali lagi buat penganjur MFF ini iaitu Gertrude Wan Patane dan sifu masakan yang Amie kagumi iaitu Kak Nor @ Secubit Garam. Tak boleh ingat Kak Nor selalu tau... sebab tangan ni gatal asyik nak masak saja bila terbayangkan Kak Nor... takut nanti MFF penuh dengan masakan kita pulak...hi hi hiiii! Apa pun Amie hanyalah mak budak yang cuba belajar masak-masak...

"I am submitting this post to Malaysian Food Fest, Kelantan Month hosted by


11 ulasan:

  1. wah ayam percik lagi kat dapur kak amie plak ye..nyummy..

    BalasPadam
  2. Assalam amie, sedap nampak ayam percik tu,saya pun suka yg kuah putih sebab lagi ori rasa dia. Hurmm terasa lemakmasin n manis kuah tu

    BalasPadam
  3. dapur kak amie nie sentiasa je berasap,x mcm dapur saya....hihihih...

    BalasPadam
  4. Kak Amie.. sedap sekali keliatan nya.. masih ada kah... kejap lagi melly datang yah..hehe

    BalasPadam
  5. Norzila,
    ni versi Kelantan... kuah putih punya, orang kata ini yang ori.

    Roza,
    waalaikumussalam.... memang sedapkan Rosa... seronok memasaknya, harum bau kuahnya!

    Myda,
    sama-samalah kita mengasapkan dapur Myda he he hehh.

    Melly,
    oh Melly sayanggg... tinggal kenangan Melly... nanti kakak buat lagi ye, cepat2 datang yah...

    BalasPadam
  6. whoaaa.. sedap nihh!! terliur habis tun nengok nyer.. tun dh lama x makan ayam percik.. tunggu blk kg mintak mama buatkan lah ^^

    BalasPadam
  7. Terima kasih info ini. nak cuba nanti...

    BalasPadam
  8. Tun,
    air tangan mama mesti sedapkan Tun... tiada tandingannya!

    Azatie,
    terima kasih Tie.

    Nurafidah,
    sama-sama kasih, silakan...

    BalasPadam
  9. Amie, ayam percik Kelantan memang sedap, ummi pun suka. Kalau Amie yang masak, ummi lagi suka, hehe. Good luck ye Amie.

    BalasPadam