Pages

Selasa, 21 Januari 2025

Masak dan Makan Tengah Hari di Kampung Laman

Bismillahirrahmanirrahim.
Sehari dua kebelakangan ini Bonda nampak kurang ceria. Alhamdulillah, setelah makan ubat dari malam tadi, hari ini Bonda agak cergas. Ketika kita tertidur di ruang tamu petang tadi, kita nampak Bonda duduk di pintu dapur berbual-bual dengan Encik Suami yang sedang membakar sampah.

Kita masakkan Bonda bubur nasi. Mungkin Bonda tambah selera untuk makan. Ketika bubur sedang mendidih, Bonda minta nasi pula. Amie panaskan lauk ayam masak lemak cili padi dan hidangkan sepinggan nasi serta sup urat keting.

Jadi, setelah bubur nasi sudah masak Amie pun tutuplah api dapur. Mungkin Bonda sudah kenyang. Malam nanti bolehlah masukkan bubur nasi dalam peti sejuk dan esok pagi boleh panaskan semula.

Eh, tidak!
Selepas solat maghrib Bonda minta bubur nasi pula.

Itulah Bonda kami.
Tadi Bonda mengira usianya sendiri. Kata Bonda: Tahun ini umur emak 87 tahun.
Mudah-mudahan Bonda kami sentiasa sihat dan gembira di samping anak, cucu dan cicit yang menyayanginya.

Hari ini sudah tiga hari kami berada di rumah Bonda. Amie ambil alih tugas Wak Niah memasak tengah hari.  Setiap kali hendak masak, Amie tanya Bonda : Hendak makan lauk apa? Bonda kata: Masak sayur bening saja. Itulah masakan kegemarannya sejak dari dulu lagi. Bonda suka hirup kuah sayur bening setiap kali makan nasi.

Sempat pula Amie dan Encik Suami ke Puncak Alam mencari lauk tambahan. Jadi hari ini meriahlah meja makan dengan lauk dari kedai dan lauk dari dapur sendiri:

Lauk dari Restoran Makan Place:
  1. Ayam Masak Lemak Cili Padi
  2. Kerang Goreng Pedas
  3. Sup Urat Keting
  4. Ulam Tenggek Burung
  5. Sambal Kicap
Lauk dari dapur:
  • Ikan Tilapia Goreng
  • Sayur Labu Air Masak Bening
  • Kerabu Mangga

Ayam Masak Lemak Cili Padi

Sup Urat Keting

Kerabu Mangga

Sayur Labu Air Masak Bening

Sambal Kicap



Hidangan Makan Tengah Hari

Waktu makan tengah hari, Bonda lebih suka hirup kuah sayur bening, makan urat keting yang lembut dan tambahkan sambal kicap atas nasinya. Wak Niah yang suruh Amie masak sayur bening labu air. Amie masak sampai labu air sampai lembut untuk memudahkan Bonda mengunyah.


Kelmarin Amie masak lauk dan ada tiga jenis ikan pula. Wak Niah sudah keluarkan ikan patin dan ikan kembung rebus. Amie dan Encik Suami pula ke Puncak Alam untuk membeli barang dapur. Terpandang ikan lampam jawa, belilah seekor. Sampai rumah, terus goreng garing. Wak Niah pesan masakkan Bonda tauhu telur. Katanya, masak bening saja. Baiklah.

Apabila ditambah masakan dari dapur dengan lauk yang dibeli di Warung Tapau Puncak Alam, makan bersusunlah seperti di bawah ini:

Lauk dari dapur:
  • Singgang Ikan Patin dengan Nanas
  • Ikan Lampam Jawa Goreng
  • Ikan Kembung Rebus Goreng
  • Sup Tauhu Telur
Lauk dari Warung Tapau:
  • Siput Sedut Masak Lemak
  • Kerabu Perut
  • Kerabu Taugeh dengan Daun Selom

Siput Sedut Masak Lemak

Kerabu Perut

Kerabu Taugeh & Daun Selom

Sup Tauhu Telur

Ikan Kembung Rebus Goreng



Singgang Ikan Patin dengan Nanas


Rumah Bonda tidak sunyi dari didatangi anak menantu, cucu dan cicit setiap hari. Bonda sselalu ajak mereka makan di dapur. Jadi, apabila masak banyak lauk bolehlah makan bersama-sama.

Hari pertama kami di rumah Bonda, Amie masak sayur petola dengan labu manis. Bonda suka masak lemak putih. Amie tambahkan isi ikan kembung pelaling tumbuk dalam masakan tadi. Abang Farid pula sudah tentulah akan mencari ayam goreng! Jadi goreng ayam jugalah. Bukan sahaja ada ayam goreng tetapi ada tauhu dan tempe goreng juga.



Apabila sudah tersedia tempe dan tauhu goreng, maka wajiblah ada sambal kicapnya pula!

Ayam Goreng

Sayur Lemak Putih Petola & Labu Manis


Ikan Bawal Emas Goreng.



Beginilah suasana makan keluarga di rumah Bonda.


7 ulasan:

  1. Wah....sudah balik Bukit Hijau ye..Alhamdulillah,pasti bonda gembira anakanda yang jauh sudah depan mata..
    Meriahnya menu kampung ...
    Rasa nak join sekali🤭

    BalasPadam
  2. Meriah lauknya tu kak.. pasti Bonda seronok makan ramai-ramai.
    Mudah-mudahan Bonda dan Wak Niah sentiasa sihat dan ceria.

    BalasPadam
  3. Seronoknya bonda akak anak- anak dan menantu berkumpul...SA doakan bonda akak terus sihat seperti biasa...Pak Zain pun x berapa sihat...masakan tu semua menaikkan selera kan kak..

    BalasPadam
  4. Banyaknya lauk-pauk, ada dimasak, ada dibeli. Abg Farid boleh geng dgn Pak Inche yg suka lauk ayam goreng.

    BalasPadam
  5. Kak Amie cobalah Bagi resep sayur lemak putih petola dan labu manis itu. Kliatan sedaaap sangat. Saya pun sukaaa petola. Atau oyong di sini sebut.

    Semoga bunda kak Amie selalu sehat yaaa 🤗🤗

    BalasPadam
  6. waduh, sedap semua lauk kampung tu kak oi

    BalasPadam
  7. fuhhhh kecurrrr tgk kerabu mangga tuuuuu

    BalasPadam