Pages

Isnin, 11 November 2024

Masak Kari Daging Gaya Emak Mentua

Hari ini Firdaus tidak ke sekolah agama kerana calon SRU sedang menduduki peperiksaan bermula 11 hingga 15 November 2024. Jadi selepas sekolah rendah, Firdaus pulang ke rumah. Kita pula, cuti peristiwa setelah bertungkus-lumus menjayakan Majlis Hari Apresiasi Kokurikulum pada hari Sabtu lepas. Dapatlah kami makan tengah hari.

Kita masakkan Firdaus kari daging kegemarannya. Suka sangatlah budak kecil itu makan! Tapi yang dia makan banyak bukannya kari daging!

Kari Daging Gaya Emak Mentua


Selain kari daging kita panggang seekor ikan bolu. Ikan bolu ini tiada tulang. Memang kami beli yang sudah dibuang tulang dan masak sayur sawi tumis air. Ada lebihan ayam panggang yang dibawa dari Hutan Rekreasi Taliwas, kita panaskan dalam air fryer.

Betik pemberian pekerja pembersihan sekolah pada hari Jumaat lepas.

Sayur sawi tumis air kegemaran Encik Suami.

Ikan Bolu Panggang

Ikan bolu panggang inilah yang Firdaus habiskan seorang. Katanya sedap sangat dimakan dengan sambal. Sambal itu pula jiran sebelah yang bagi. Walaupun pedas, tapi Firdaus tetap menambah-nambah! Encik Suami apabila melihat Firdaus lahap sangat makan ikan bolu, mengalahlah si bapa. Kebetulan ada seekor ikan cencaru panggang yang juga lebihan panggang-panggang dari Hutan Rekreasi Taliwas. Itulah yang Encik Suami makan.

Nasi Putih

Kari Daging Gaya Emak Mentua

Gaya emak mentua kita masak yang kita maksudkan ialah tuang perahan air limau nipis di akhir masakan. Proses memasak seperti biasa. Kita rebus dahulu daging hingga empuk dan gunakan air rebusan daging sebagai kuah. Kita tambahkan serbuk cili, dan bukannya cili kering kisar seperti kebiasaannya.

Bahan-bahan:
  • 500 gram daging bahagian peha - hiris nipis / ikut saiz yang digemari - rebus hingga empuk 
  • 3 cawan air rebusan daging
  • 3 biji kentang - kupas kulit - belah 4
  • 4 sudu besar serbuk kari ayam / daging 888
  • 2 sudu besar serbuk cili
  • 1 cawan santan pekat
  • 2 pelepah daun kari - lurutkan
  • 4 sudu besar minyak
  • garam / gula / perasa pilihan secukupnya
  • 1 atau 1/2 biji limau nipis - ambil jusnya lebih kurang satu sudu besar
Bahan kisar / tumbuk:
  • 3 ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah
Bahan penumis:
  • 1 labu bawang besar - hiris kasar
  • 2 cm halia - hiris halus / batang mancis
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • 3 biji buah pelaga
Cara memasak:
  1. Panaskan minyak dan masukkan bahan penumis. Tumis hingga terbit aroma dan bawang besar menjadi kekuningan.
  2. Masukkan bahan kisar dan kacau rata, dan kemudian masukkan daun kari.
  3. Seterusnya masukkan serbuk rempah kari. 
  4. Tambahkan sedikit air rebusan daging dan perlahankan api dapur.
  5. Kemudian masukkan daging bersama kentang dan lebihan air rebusan daging.
  6. Taburkan sedikit gula.
  7. Tambahkan santan pekat.
  8. Perasakan dengan garam / perasa pilihan secukupnya.
  9. Biarkan seketika dengan api kecil sehingga terbit minyak.
  10. Akhir sekali, tuangkan jus limau nipis. Kacau sekali dua dan padamkan api dapur.

Limau Nipis


Ketika entri ini sedang ditaip, Firdaus baru balik dari bermain di rumah kawannya, Khalid. Sudah siap mandi. Tiba-tiba dia bertanya: Mommy, ada ikan lagi tak? Daus hendak makan nasi dengan ikan dan sambal. Oh, sambal pemberian jiran sebelah rumah memang masih ada. Ikan bolu? Ya, ada seekor lagi tetapi masih beku. Rezeki kamu Firdaus. Nanti Mommy masuk dapur panggang lagi ikan bolu.

21 ulasan:

  1. Yummm sedapnya semua, terutama Kari Daging tu.

    BalasPadam
  2. Tentu best makan ikan tak bertulang, ditambah pulak ada kari daging. Daus seleranya macam orang tua ya, hihi.

    BalasPadam
  3. Ya allah...lauk pauk ni menyelerakan sungguh. Dihidangkan pula atas nyiru (betul tak nama dia?).Klasik jadinya....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, betul hidang atas nyiru.
      Pinggannya tak berapa nak klasik hihihi.

      Padam
  4. Aduh lihat sahaja sudah tahu mesti sedap ni!

    BalasPadam
  5. Cikgu...

    Dengan bangganya kita nk bgtau kita dah merasa ikan bolu tanpa tulang ni...memang tak boleh move on..sedap

    BalasPadam
    Balasan
    1. Di mana pula Mama Cella jumpa ikan bolu tanpa tulang tu?

      Padam
  6. memang kena sangat semua menu tu nampak sedap dan menyelerakan.

    BalasPadam
  7. Seronok masak kalau ada orang yang suka makan masakan kita. Berselera makan hilang penat kita. Banyak makanan favourite Firdaus sebab mommy masak semuanya sedap-sedap. Kita tengok pun terliur. Best makan ikan tak ada tulang. Tapi tak pernah lagi makan ikan bolu. Menarik presentation Ikan Bolu Panggang Kak Amie tu ha. Firdaus pun request sekali lagi ye.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah.
      Setuju Fizah.
      Hilang semangat nak masak kalau tak ada yang nak makan.

      Padam
  8. Semua nampak sedap...wah...bukan main lagi Firdaus berselera makan ye...

    BalasPadam
  9. Menariknya ikan bolu panggang tu tambah-tambah sudah dibuang tulang.
    Nampak macam kat Econsave ada jual, lain kali nak try juga lah.
    Tapi kat situ tak ada lah pulak jenis yang dibuang tulang.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Iya, saya pernah nampak ikan bolu @ susu di Econsave Puncak Alam dan Econsave Jeram Sungai Buluh. Saisnya agak kecil dan memang masih utuh seekor, tidak dibuang tulang.

      Padam
  10. Kari orang dulu-dulu wajib ada rempah sekawan tu selalunya kan kak... tengok menu akak tak pernah tak menyelerakan

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul Dana.
      Tapi air tangan orang dulu-dulu memang sedaplah!

      Padam
  11. Ikan bolu ini ikan bandeng kan ya kalo tak salah saya. Saya baru mau makan kalo tulangnya dah dipresto hingga lunak atau dicabut. Selagi masih bertulang , memang tak nak, Krn trauma pernah nyangkut di tenggorokan 🤣.

    Pandai daus suka ikan. Anak saya yg suka ikan hanya anak pertama. Itu pun tak semua jenis ikan. Anak kedua pula tak nak samasekali 😅. Kecuali sudah diolah menjadi makanan lain. Macam otak2 atau pempek.

    BalasPadam