Pages

Sabtu, 29 Jun 2024

Resipi Sotong Masak Lemak Tempoyak Cili Padi dengan Belimbing Buluh

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ini tidak turun menoreh, jadi bolehlah bersiaran di pagi hari. Entri kali ini merupakan entri tertunggak. Sudah siap masukkan gambar tetapi hanya disimpan sahaja. Apabila melihat semula tarikh gambar diambil, rupanya hidangan tengah hari pada hari Ahad lepas.

Amie fokuskan kepada resipi Sotong Masak Lemak Tempoyak Cili Padi dengan Belimbing Buluh. Bukan sedap meratah sotongnya, tapi sangat menikmati kuah lemak tempoyak cili padi dan juga belimbing buluh! Ditambah pula ada aroma daun kunyit. Walllaaaa... enak banget toh!

Sotong Masak Lemak Tempoyak Cili Padi dengan Belimbing Buluh

Hidangan Tengah Hari / Malam

Hidangan Tengah Hari:
  • Nasi Putih
  • Ikan Layar Masak Lada Hitam
  • Sotong Masak Lemak Tempoyak Cili Padi dengan Belimbing Buluh
  • Sayur Cangkuk Manis Tumis Udang Kering
  • Buah Betik & Mangga Manila
Ikan Layar Masak Lada Hitam

Setiap kali masak ikan layar sudah tentu teringat Fuad. Terbayang ketika makan bersama, sambil menyuap nasi ke mulut, Fuad akan memandang-mandang ikan layar dalam mangkuk hidangan. Kami selalu tertawakan Fuad dengan usikan : Fuad takut ikan layar habis!

Sekarang Firdaus pula yang suka sangat makan ikan layar!

Cangkuk Manis Tumis Udang Kering

Dahulu senang hendak masak cangkuk manis. Banyak dijual di pasar sayur. Kalau makan di kedai nasi ayam pun, memang akan ada menu sayur cangkuk manis ditabur ikan masin tumbuk. Sekarang tidak lagi jumpa di kedai makan. Sekarang, memang jarang sangat nampak di pasar sayur. Hanya sekali-sekala sahaja nampak di pasar raya. Harganya pun mencecah lebih RM20.00 untuk sekilogram. Di sini cangkuk manis hanya dijual pucuknya sahaja. Bahagian pucuk iaitu batangnya yang lembut dan ada beberapa helai daun muda sahaja. Jadi kalau hendak masak, hanya patahkan pucuk menjadi dua.

Cangkuk Manis Tumis Udang Kering

Betik dan Mangga Manila

Sotong Masak Lemak Tempoyak Cili Padi dengan Belimbing Buluh

Resipi Sotong Masak Lemak Tempoyak Cili Padi dengan Belimbing Buluh
Bahan-bahan:
  • 10 ekor sotong - bersihkan - potong ikut suka
  • 10 biji belimbing buluh - belah 2
  • 2 helai daun kunyit - siat dan simpul
  • 2 batang serai - diketuk
  • 1 cawan santan pekat
  • garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
  • 3 sudu besar tempoyak
  • 20 tangkai cili padi
  • 3 ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah
  • 2 cm kunyit hidup
  • 1 cawan air
Cara memasak:
  1. Masukkan bahan kisar dan serai ke dalam periuk.
  2. Biarkan sehingga mendidih.
  3. Masukkan santan pekat, sotong dan belimbing buluh.
  4. Sentiasa kacau sehingga sotong berubah bentuk (kembang) dan santan mula mendidih.
  5. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
  6. Padamkan api dapur.

Hidangan tengah Hari

Kawan-kawan, apa agaknya juadah tengah hari ini untuk keluarga tersayang? 

8 ulasan:

  1. Tak pernah lagi makan tempoyak.. Tak tau bagaimana rasanya

    BalasPadam
  2. semua nampak sedap. menggoda sungguh pada pandangan mata

    BalasPadam
  3. akak, cantik sangat talam buluh tu kak.. teringat arwah nenek dulu2.. guna ni untuk jemur ikan kering atas atap... lepas tu kucing larikan.. lady la tukang kejar kucing tu.. sian kucing tu.. huhuhu

    BalasPadam
  4. Menarik juga kelar² sotong begitu.

    BalasPadam
  5. Oh, belumlah terlalu lama entry ni tersimpan dalam draft. Tak sangka, sotong pun boleh masak tempoyak. Ikan layar tu yg siripnya besar macam layar, kan. Selalu nampak kat Pasar tapi takut nak beli.

    BalasPadam
  6. Ya allah..sedap betul menu kak ammi ni....

    BalasPadam
  7. Saya masih agak bingung ikan layar 😄. Nampak sedaaap tapi kak. Masakan sotongnya pun menggoda sangat. Memang lah kalo dah pakai belimbing wuluh, pasti rasa dia JD asam segar.

    BalasPadam