Pages

Sabtu, 29 Jun 2024

Ikan Tenggiri Masak Cuka

Bismillahirrahmanirrahim.

Tengah hari tadi sempat masak untuk hidangan keluarga kecil kami. Amie masak bahagian ekor tenggiri, kerat jadi lima keping. Rasa teringin hendak makan Ikan Tenggiri Masak Cuka. Masakan begini memang sangat digemari Fuad. Seawal tingkatan satu Fuad sudah pandai masak lauk sendiri sebelum ke sekolah. Salah satunya ialah ikan masak cuka. Sewaktu Amie kongsikan Ikan Tenggiri Masak Cuka dalam group keluarga, cepat-cepat Fuad respon!

Ikan Tenggiri Masak Cuka

Hidangan Tengah Hari

Sepanjang pagi hingga ke tengah hari, bumi LD dibasahi hujan. Beberapa hari lepas ada beberapa kawasan di LD yang dilanda banjir. Hari ini tidak nampak sinar mata hari. Suasana kelam dan awam masih mendung.

Di meja, sudang terhidang:
  • Nasi Putih
  • Ikan Tenggiri Masak Cuka
  • Sambal Sotong
  • Bunga dan Pucuk Petik Tumis dengan Udang Geragau
  • Limau Sunkist
  • Jus Epal Hijau dengan Asam Boi
Jus Epal Hijau dengan Asam Boi

Walaupun hujan turun, apabila nampak jus epal hijau dengan asam boi memang nak terkam juga! Terima kasih Encik Suami yang membantu menyediakan satu jug jus epal hijau. Melihat jus buah seperti hendak berbuka puasa pula rasanya.

Sambal Sotong

Bunga dan Pucuk Betik Tumis dengan Udang Geragau

Ikan Tenggiri Masak Cuka

Oleh kerana tidak merancang hendak masak cuka, jadi gunakan sahajalah bahan yang ada di dapur. Hasilnya memanglah menggamit selera. Apabila timun bertemu bawang dan juga, timbullah aroma seakan-akan acar. Aduh...enaknya!

Resipi Ikan Tenggiri Masak Cuka
Bahan-bahan:
  • 5 keping ikan tenggiri - bahagian ekor - lumur dengan sedikit garam kunyit - goreng hingga masak - ketepikan
  • 1 cawan hirisan lobak merah
  • 1 cawan hirisan timun (buang biji)
  • 15 tangkai cili padi merah
  • 15 ulas bawang putih saiz kecil - kupas
  • 1 labu bawang besar - mayang kasar - bahagi 2
  • 2 cm halia - hiris
  • 1 sudu kecil biji sawi
  • 5 sudu besar cuka
  • 4 sudu besar minyak
  • 1 cawan air
  • garam / gula / perasa pilihan
Cara memasak:
  1. Tinggalkan 4 sudu besar minyak bekas gorengan ikan tenggiri di dalam kuali.
  2. Masukkan biji sawi dan biarkan seketika.
  3. Seterusnya masukkan hirisan halia, bawang putih dan 1 bahagian bawang besar.
  4. Setelah terbit aroma, masukkan cili padi, lobak merah dan timun.
  5. Kacau sebati.
  6. Tuangkan air.
  7. Biarkan sehingga mendidih.
  8. Kemudian masukkan ikan tenggiri goreng.
  9. Tuangkan cuka, garam / gula / perasa pilihan.
  10. Biarkan mendidih sekali lagi.
  11. Setelah cukup rasa, padamkan api dapur.
Semenjak Fuad sambung belajar di Kolej Matrikulasi Labuan pada 2016, jarang sangatlah Amie masak ikan bercuka kecuali waktu Fuad balik bercuti. Jadinya, apabila masak hari ini Firdaus pula yang teruja. Masuk saja dapur terus Firdaus tanya : Apa yang Mommy masak bau wangi ni?

Waktu makan, Firdaus menambah-beberapa kali nasi dalam pinggan dan menghabiskan tiga keping ikan tenggiri. Katanya, sedap betul ikan tenggiri dengan kuahnya! Kepingan ikan tenggiri pun tidaklah begitu besar sebab potongan bahagian ekor.

Jemput makan sama!


8 ulasan:

  1. Terima kasih resepi kak Amie.

    Teringin nak cuba masak ikan tenggiri masak cuka.

    BalasPadam
  2. Sedapnya semua menu. Paling sedap sedut jus asam boi tu sejuk2.

    BalasPadam
  3. Sedapnya tengok menu Kak Amie. Lapar pula tengah malam ni hahaha

    BalasPadam
  4. Sedap ikan masak cuka tu 😋😋
    Saya suka masak untuk sahur.

    BalasPadam
  5. Wahhh.. Abg Fuad pandai masak ya. Untung Aseeyah dan Hamzah.

    BalasPadam
  6. Lauk favorite ni, lama tak makan. Tapi yang Kak Amie masak ni lagi sedap.

    BalasPadam
  7. Kak Amie ajar la macam mana nak buat masak cuka dan sambal sotong yang pekat likat macam tu..SA selalu buat x menjadi la kak

    BalasPadam