Pages

Ahad, 12 Mei 2024

Resipi Sambal Hati Lembu

Bismillahirrahmanirrahim.

Firdaus kata sekarang dia kuat makan. Beratnya pun semakin bertambah. Amie kata, itu normal. Sesuai dengan proses tumbesarannya. Hari ini Firdaus hendak makan ikan goreng tapi kulitnya mesti garing. Ada-ada sahaja gaya selera makan budak satu ini. Amie pula terlupa hendak lumur tepung beras sewaktu perap ikan dengan garam kunyit. Garing jugalah kulit ikan sewaktu Firdaus makan sebab ikan masih panas.

Sajian tengah hari kami di hujung minggu:
  • Nasi Putih
  • Ikan Batu Goreng
  • Sambal Hati Lembu
  • Petola Masak Lemak Putih
  • Telur Masin
  • Sambal Belacan
  • Buah Limau Bali
Sambal Hati Lembu

Hidangan Tengah Hari

Ikan Batu Goreng

Bagi Firdaus, ikan goreng ini hirisannya tebal. Kalau digoreng tidak cukup garing!

Kali ini Firdaus tidak minta ikan goreng berempah seperti kebiasaannya. Jemu agaknya. Jadi goreng garam kunyit sahajalah. Ada lagi pesannya. Kalau goreng ikan potonglah ikan nipis-nipis, jangan tebal-tebal. Aduhai sayang! Yang potong ikan bukan Mommy. Mommy beli yang sudah siap dipotong... ahaks!

Petola Masak Lemak Putih

Pada mulanya Amie masak sayur bening petola tetapi terlebih masin pula! Jadi Amie tuangkan santan. Jadilah Petola Masak Lemak Putih. Selain petola, Amie tambahkan lobak merah, cendawan shiitake dan suhun. Suka sangatlah Firdaus apabila Babanya sudukan suhun ke dalam pinggan nasinya.

Nasi Putih & Telur Masin

Sambal Belacan


Resipi Sambal Hati ini Amie pernah kongsikan di sini: SAMBAL HATI. Kali ini Amie masak versi lain sedikit tetapi Amie gunakan hati lembu juga. Tak ada hati lembu, bahan lain pun boleh digunakan seperti hati ayam, mempedal, perut lembu, paru atau limpa. Tak mahu gunakan bahagian organ dalaman, gunakan isi ayam pun boleh. Isi ikan pun boleh. Terpulanglah ikut cita rasa. Firdaus tidak makan hati lembu, tapi makan banyak kentang!

Resipi Sambal Hati Lembu
Bahan-bahan:
  • 350 gram hati lembu - rebus hingga masak - angkat dan toskan - potong dadu ikut saiz yang disukai
  • 350 gram kentang - kupas kulit - potong dadu ikut saiz yang disukai
  • 150 ml santan kotak / pati santan
  • 2 batang serai - diketuk
  • 1 keping asam gelugur
  • 7 tangkai cili padi
  • 1/2 cawan minyak
  • garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
  • 3 ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah
  • 3 tangkai cili merah
  • 3 tangkai cili hijau
  • 7 tangkai cili padi
  • 2 hiris lengkuas
  • 3 hiris halia
  • 2 cm kunyit hidup
Cara memasak:
  1. Goreng kentang hingga kuning keemasan. Angkat dan toskan.
  2. Goreng hati lembu selama 2 minit. Angkat dan toskan.
  3. Tinggalkan 1/2 cawan minyak bekas gorengan tadi di dalam kuali.
  4. Tumis bahan kisar serta serai hingga terbit minyak.
  5. Masukkan asam keping, garam / gula / perasa pilihan.
  6. Tuangkan santan. Gaul sebati dan biarkan mendidih.
  7. Masukkan kentang, hati lembu dan cili padi.
  8. Kacau rata.
  9. Setelah kuah sambal pekat, padamkan api dapur.
Jemput makan!
Bismillah.


5 ulasan:

  1. Tu cendawan ke dalan sayur lemak petola tu?

    BalasPadam
  2. Sedapnya hati lembu. Tapi takde geng makan di rumah ni, kadang teringin beli je yg dah siap masak.

    BalasPadam
  3. SA x berapa suka hati lembu sebab bila di goreng texture dia keras kan kak amie..tapi kadang2 makan jugak sebab sedap...

    BalasPadam
  4. Oh iyaaa waktu itu saya ikut resep sambal belacan dari kak Amie. Memang sedaaap kak. Saya makan pakai terong goreng dan labu Siam rebus. Anak saya yg bungsu pun suka.

    Tapi saya tak bisa buat basah macam Kaka. Apa Krn tak banyak pakai jus jeruk nipis dan limau yaa?

    BalasPadam
  5. Rajin akak letak 3 jenis cili dalam sambal hati lembu tu. Mungkin nak seimbangkan rasa kepedasannya ya.

    BalasPadam