Pages

Isnin, 5 Februari 2024

Pinasakan Sada @ Pinarasakan Sada Bosungan

Bismillahirrahmanirrahim.
Jom kita masak resipi tradisi kaum Kadazan - Dusun. Kita masak yang mudah-mudah saja iaitu Pinasakan@ Pinarasakan Sada Bosungan atau Ikan Basung Masak Ampap. Banyak kali jugalah Amie makan Pinasakan Sada, tetapi kebanyakannya makan hasil bukan olahan sendiri melainkan di restoran di Kundasang dan juga Kota Kinabalu.  Ada yang kami makan dengan nasi linopot, dan ada juga dengan ambuyat seperti berikut:
Pinasakan Sada @ Pinarasakan Sada Bosungan (Ikan Basung Masak Ampap)

Pinasakan Sada atau Ikan Masak Ampap ini sangat terkenal dalam kalangan masyarakat Kadazan-Dusun di Sabah. Biasanya ikan yang digunakan ialah ikan basung atau dalam bahasa kita disebut ikan selayang. Bagaimanapun ikan lain boleh juga digunakan. Setelah beberapa kali kami makan Pinasakan Sada, kuahnya ada yang agak cair dan ada juga kelihatan berminyak. Biasanya yang lebih cair dihidangkan untuk dimakan bersama ambuyat. Ada juga yang ditambah samada dengan buah bambangan, mangga, belimbing buluh atau juga kulit buah takob-akob iaitu sejenis asam kering di Sabah. Takob-akob juga dikenali dengan nama arui-arui. Di tempat kita disebut asam kandis dan dikatakan keluarga buah manggis dan asam gelugur.

Ada yang suka masak hingga kuahnya kering dan ada yang tinggalkan sedikit kuah. Untuk hasil masakan yang lebih kering, biasanya dibahagian bawah kuali atau periuk, mereka bubuh susunan serai atau daun kunyit. Kemudian barulah disusun ikan di atasnya. Tujuannya ialah supaya ikan tidak hangus apabila kuahnya mengering.

Haa... begitulah ceritanya tentang Pinasakan @Pinarasakan Sada Basungan. Rasanya seperti Bonda kita masak begini waktu kita kecil dulu. Kalau arwah Ayahanda beli ikan selayang atau ikan kerisi berkati-kati, Bonda akan masak begini. Bubuh kunyit hidup tumbuk, bubuh garam kasar, bubuh asam jawa! Eh, macam samalah! Bonda masak alas daun lengkuas dan biar sampai kering. Ada perkataan Bonda gunakan apabila kuah ikan sudah kering. Bonda kata 'GEMPI', dan entah apa maksudnya. Kalau gempi, ikan lebih sedap kata Bonda. Esoknya dan esoknya lagi Bonda akan panaskan ikan tadi dan bubuh sedikit air. Memang masih elok hingga tiga empat hari, dan makin sedap ikan olahan Bonda.

Ikan Basung @ Selayang A

Sebelum itu Amie hendak kongsikan jenis ikan basung yang biasa kita makan. Ikan basung ini juga dikenali sebagai ikan:
  • Ikan Selayang
  • Selayang Jarum
  • Sardin
  • Tumoh (Bajau)
  • Selayang Lampai
  • Ikan Curut
Di Indonesia, ikan basung @ selayang dikenali dengan nama:
  • Ikan Layang Benggol
  • Ikan Korok
  • Ikan Layang Jepang
  • Ikan Layang Lidi
  • Ikan Layang Deles
Sumber : Talk About Fish

Wokey!
Sekarang kita lihat gambar Ikan Basung @ Selayang A di atas dan Ikan Basung @ Selayang B di bawah. Ada beza tak di antara kedua-duanya? Atau nampak sama saja.

Ikan Basung B

Ikan Basung Bulat

Ikan Basung @ Selayang A kalau di LD dipanggil Ikan Basung Bulat. Warnanya gelap sedikit dan bentuknya lebih kurus panjang berbanding Ikan Basung @ Selayang B. Ikan Basung @ Selayang B warnanya lebih cerah dan putih sedikit dan lebih pendek berbanding Ikan Basung @ Selayang A yang lebih langsing.

Ikan Basung @ Selayang B lebih dikenali dengan nama Ikan Basung Pondan. Kenapa dan mengapa dipanggil pondan, Amie tak tahu ... ahaks!

Kata peniaga ikan, Ikan Basung Bulat lebih sedap berbanding Ikan Basung Pondan. Barangkali disebabkan rasanya, maka Ikan Basung Bulat harganya lebih mahal RM2.00 daripada Ikan Basung Pondan!

Ikan Basung Pondan

Jadinya, kali ini Amie dapat kongsikan beza ikan basung @ selayang bulat dengan basung @ selayang pondan. Nanti kalau hendak beli ikan selayang, bolehlah bezakan jenis mana yang katanya lebih sedap. Tapi memang betullah. Ikan basung @ selayang bulat lebih lemak, dan basung pondan agak tawar sedikit.

Mari kita sediakan bahan-bahan untuk hidangan Pinasakan Sada @ Pinarasakan Sada Bosungan. Perkara pertama sudah tentulah bahan perencahnya yang terdiri daripada kunyit hidup, halia dan serai serta bawang dan juga cili padi. Jika ada bahan seperti mangga, bambangan atau belimbing buluh bolehlah masukkan dalam masakan. Jika tiada, cukuplah gunakan asam keping atau bancuhan air asam jawa.

Oleh kerana ketika hendak masak, hujan turun dengan lebatnya. Amie tak jadilah hendak ke belakang dapur untuk ambil daun kunyit buat alas ikan di dalam kuali. Hendak susun serai pun, hanya ada dua batang. Itu pun jimat-jimat guna sebab mahal. Allahu... kita beli serai empat batang RM1.70 sen! Jadi kita potong serai sebatang jadi tiga! Isshhh...issshhh apalah barang dapur yang tak mahal sekarang ini.

Kunyit hiidup dan halia.

Cili Padi

Bahan perencah : Serai, halia, kunyit, asam gelugur, bawang putih, bawang merah dan cili padi.

Untuk rasa asli masakan tradisi ini, eloklah kita tumbuk saja dalam lesung.


Untuk masakan ini Amie gunakan tujuh ekor ikan basung. Lima ekor ikan basung bulat dan dua ekor ikan basung pondan. 

Resipi Pinasakan Sada @ Pinarasakan Sada Bosungan
Bahan-bahan:
  • 7 ekor ikan basung - bersihkan - tos
  • 2 cawan air
  • 1 batang serai - diketuk - potong 3
  • 3 keping asam gelugur
  • 2 sudu besar minyak
  • garam / perasa pilihan
Bahan tumbuk kasar / tidak terlalu lumat:
  • 3 cm kunyit hidup
  • 3 cm halia
  • 3 ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah
  • 12 biji cili padi
Cara memasak:
  1. Letakkan kuali di atas dapur.
  2. Susun ikan basung @ selayang.
  3. Letakkan bahan tumbuk di atas ikan.
  4. Di atas bahan tumbuk tadi, letakkan pula serai, asam gelugur dan juga garam / perasa pilihan.
  5. Tuangkan air.
  6. Tuangkan minyak.
  7. Nyalakan api. Tutup kuali.
  8. Biarkan masakan sehingga mendidih.
  9. Buka penutup kuali. Terbalikkan ikan. Tutup semula kuali.
  10. Jika suka berkuah, padamkan api dapur sebelum kuah mengering.

Nampak tak beza ikan basung bulat dengan ikan basung pondan. Ikan basung pondan Amie letak di tepi sekali. Matanya lebih besar dan kulitnya lebih putih berbanding ikan basung bulat.


Amie tak mahu banyak kuah, jadi Amie tuang dua cawan air saja. Air tidak tenggelamkan ikan. Jangan lupa tuangkan minyak. 


Beginilah lebih kurangnya cara hendak masak ikan basung.

Tutup kuali hingga kuah mendidih.

Buka penutup kuali. Dan bolehlah terbalikkan ikan.

Setelah diterbalikkan, tutup semula kuali.

Ikut sukalah hendak berkuah atau kering. Amie tinggalkan sedikit kuah.

Inilah hasilnya Pinasakan Sada @ Pinarasakan Sada Bosungan dengan sedikit kuah.


Pinasakan Sada @ Pinarasakan Sada Bosungan ini sedap dinikmati dengan nasi putih panas. Oh, ya! Memang benarlah Ikan Basung Pondan lebih tawar berbanding Ikan Basung Bulat yang rasa lebih lemak. Apa pun apabila sudah jadi lauk, kedua-duanya tetap sedap!

15 ulasan:

  1. Unik cara masakannya... mcm steam pun ada tp ada perencahnya... mst sedap mkn dgn nasik putih je

    BalasPadam
  2. Oh, macam tu cara masakannya. Kira lepas letak ikan² tu, tutup kuali, bolehlah buat kerja masak lain sebab tak perlu dikacau². Kelakarlah, ada pulak ikan yang pondan. Mesti ada ambil apa² supplement tu, jadi kulitnya putih sikit, hahahah.

    BalasPadam
    Balasan
    1. SK lagi lawak. Pandai pula ikan pondan ambil supplement nak bagi kulit putih hahahahaa!

      Padam
  3. meresap hingga ke dalam daging tu bila masak sampai kering gini... aduha ngapenya la nampak ikan nya basung pondan heheheh

    BalasPadam
    Balasan
    1. Haaa... baru ingat maksud gempi! Meresap hingga ke dalam.
      Tak tahulah peniaga ikan bagi nama begitu.

      Padam
  4. nampak mcm sgt sedap la kak emie.. kami mmg suka makan masak2 tanpa santan.. yang pasti pinggan kak emi gune memang cantiklah..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sedap aromanya gabungan kunyit hidup, serai dan halia.

      Padam
  5. Bila tengok resipi ni rasa nak mencuba pula. Lagi satu teringin nak makan ambuyat.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya tahu makan ambuyat tapi tak pandai nak buat sendiri.

      Padam
  6. Ini sehaaat sangat. Masak pun mirip cara steam dan rebus. Bumbu2nya juga rempah ❤️❤️. Tak kuatir kolesterol dan lainnya 👍. Saya jadi dpt knowledge baru ttg masakan khas Sabah 👍

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang masakan yang menyihatkan kan Fanny.
      Di Sabah terdapat lebih 40 suku kaum. Memang macam-macam makanan dan masakannya.

      Padam
  7. unik resepinya. ingat minyak tu guna untuk menumis

    BalasPadam
  8. Senang cara penyediaannya. Boleh cuba. Unik nama menu dia. Pinggan pun unik kena pulak tu dengan hidangan menunya.

    BalasPadam